Pages

Wednesday, 1 August 2012

ramadhan bulan keberkatan






Ramadhan adalah bulan keberkatan dan rahmat. Ia adalah bulan keampunan dan penerimaan amal. Ia adalah bulan manusia melepaskan diri dari azab neraka. Berpuasa di siangnya adalah fardhu. Menghidupkan malamnya adalah kecintaan Allah. Ia adalah penyempurna kepada rukun-rukun Islam. Tanpanya tidak akan sempurna agama seseorang.

Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Islam dibina di atas lima asas; persaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” 
(Riwayat Bukhari).

Lima rukun Islam inilah asas kebaikan seseorang manusia di dunia dan penyelamat mereka di akhirat nanti.

Amru bin Murrah al-Jahni r.a. bertanya kepada Rasulullah: 

“Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mendirikan solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa dan menghidupkan bulan Ramadhan. Siapakah aku?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dari kalangan siddiqin dan syuhada’.” 
(Riwayat Ibn al-Bazar dan Ibnu Hibban).

Penduduk Langit Menyambut Ramadhan

Kehadiran bulan ini disambut oleh penduduk langit.
Langit akan dibuka sepanjang bulan Ramadhan. 

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan, akan dibuka semua pintu langit. Ia tidak akan ditutup walau pun satu pintu sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan.” 
(Riwayat Baihaqi)

Pintu syurga akan dibuka.
Pintu neraka akan ditutup.
Semua syaitan akan dirantai.

“Apabila tiba Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dirantai.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Syurga akan berhias dan bersedia untuk menyambut muslim yang berpuasa dengan penuh keimanan.

“Umatku diberikan lima perkara di bulan Ramadhan dan tidak pernah pemberian itu diberikan kepada umat sebelumku ……. Sesungguhnya Allah mengarahkan syurgaNya dan berkata: “Bersedialah dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka sudah hampir meninggalkan keletihan dunia menuju kerehatan di rumahKu dan menuju kemuliaanKu.” 
(Riwayat Baihaqi)

Penyeru dari langit akan menyeru penduduk dunia pada setiap malam.

“Seorang penyeru langit akan berseru pada setiap malam sehingga ke waktu fajar: “Wahai pencari kebaikan! Bergembiralah. Wahai pencari kejahatan! Menjauhlah. Adakah sesiapa yang meminta ampun!? Allah akan mengampunkannya. Adakah sesiapa yang bertaubat!? Allah akan menerima taubatnya. Adalah sesiapa yang ingin memohon!? Allah akan mengabulkan permohonannya. Adakah sesiapa yang meminta!? Allah akan memperkenankan permintaannya.” 
(Riwayat Baihaqi)

Bagaimana Sambutan Penduduk Bumi?

Malangnya sambutan penduduk bumi tidak sama di antara seorang dengan yang lain.
Ada yang menyambutnya dengan debaran seumpama menanti kekasih yang dirindui dan amat sedih ketika berpisah meninggalkannya. Mereka mengisi Ramadhan dan mengambil peluang bertaqarrub kepada Allah di bulan ini.

“Sesiapa yang menghampiri Allah di bulan ini dengan satu amalan sunat ia seumpama mereka melakukan satu amalan fardhu di bulan yang lain. Sesiapa yang mengerjakan satu amalan fardhu, ia seolah-olah mengerjakan 70 amalan fardhu di bulan yang lain. Di bulan ini, orang yang mengimaninya akan ditambah rezeki.” 
(Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Tetapi tidak kurang yang akan kerugian selepas Ramadhan berlalu meninggalkannya.

“Ramai yang berpuasa tidak mendapat habuan dari puasanya kecuali lapar. Ramai yang solat malam tidak mendapat habuan dari solat malamnya itu kecuali keletihan berjaga.” 
(Riwayat al-Hakim)



sumber dari: krimdhl.wordpress.com

No comments:

Post a Comment