16 Ramadhan 1432H. [MOD] -
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
الٓمٓ ﴿١﴾ ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ
فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ
اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah !
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya
menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama
meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan
menjauhi segala yang ditegahNya.
Hadirin yang dirahmati Allah,
17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat
bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran,
Kalam Allah s.w.t. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan
malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dikira sebagai ibadat
dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah
An-Nas.
Sidang Jumaat Sekelian,
Penurunan Al-Quran secara sekaligus dari Luh
Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada 17 Ramadhan. Al-Quran
seterusnya diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut
ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun. Firman
Allah s.w.t.:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ
ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ
وَٱلْفُرْقَانِ
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq
dan batil” - Surah al Baqarah ayat 185.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Berapa ramai di kalangan umat Islam yang
benar-benar menyedari bahawa al-Quran adalah merupakan mukjizat yang paling
besar diberikan oleh Allah kepada manusia. Kehebatan bahasanya, keindahan
ayatnya dan keunggulan isi kandungannya menjadikan al-Quran tidak mampu
ditandingi oleh mana-mana kitab lain. Cabaran Allah terhadap manusia dari zaman
berzaman tidak pernah disahut sehingga ke hari ini.
وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّمَّا نَزَّلْنَا
عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم
مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ﴿٢٣﴾
Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang
kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu
surah yang setanding dengannya serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang
kamu sembah) selain daripada Allah jika kamu orang yang benar - Surah al Baqarah
: 23.
Saudara Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Al-Quran telah terbukti berjaya membentuk para
sahabat menjadi generasi al-Quran yang unik ( جِيْلُ الْقُرْآنِ الْفَرِيْد ) di
bawah pentarbiahan secara langsung oleh Rasulullah saw. Generasi ini telah
membawa panji-panji kebenaran Islam sehingga dikecapi oleh umat manusia sejagat.
Generasi ini berjaya membebaskan manusia
daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah.
Generasi ini telah berjaya mengeluarkan segala bentuk penindasan dan kezaliman
sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam.
Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh
kepada Al-Quran telah diakui oleh Perdana Menteri Britain yang pertama
sebagaimana ungkapannya:
“Selama mana kitab ini (Al-Quran) berada di
tangan orang Islam, maka selama itulah Eropah tidak akan dapat menguasai Timur
Tengah”
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu
apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat mengadu
segala masalah yang kita hadapi.
Kita hanya mampu merayu kepada musuh agar tidak
menzalimi kita kerana kita tidak dapat mengharapkan bantuan daripada
negara-negara umat Islam yang lemah dan berpecah belah. Kekuatan umat Islam
tidak akan dapat dikembalikan selama mana kita tidak menjadikan al-Quran sebagai
perlembagaan hidup kita.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat Islam
hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa
adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar.
Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :
a. Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu
mendengarkannya.
b. Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c. Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d. Tidak membenarkan isi kandungan
Al-Quran.
e. Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f. Berpaling daripada Al-Quran kepada yang
lain
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita selalu mengatakan kita berpegang teguh dan
tidak meninggalkan al-Quran. Kita sering mendengar ungkapan mengajak manusia
kembali kepada al-Quran. Namun kita masih melihat berbagai tindakan kita yang
bercanggah dengan al-Quran. Kita seringkali memutuskan sesuatu dan kemudiannya
mencari dalil keharusannya di dalam al-Quran.
Dalam urusan kehidupan seharian selain
persoalan ibadat, kita sering kali tidak bertanya apa kata al-Quran
seolah-olahnya urusan kehidupan tidak ada kena mengena dengan al-Quran. Kita
mengatakan bahawa isi kandungan al-Quran adalah yang terbaik tetapi kita masih
memilih untuk melaksanakan peraturan yang bercanggah dengan al-Quran.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi
kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang
meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan
di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.
Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada
membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami.
Daripada memahami kepada membenarkannya.
Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya
dan mengutamakannya daripada segala yang lain daripadanya. Jika kita masih masih
memandang serong apatah lagi menentang ajaran al-Quran maka Ramadhan sebenarnya
memang bukan untuk kita, maka bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari
Allah swt.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ
الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak.
sumber dari: idhamlim.blogspot.com
No comments:
Post a Comment