Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagiMu Ya Allah.kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan.Maha Suci Engkau dengan sifat Penyayang,nikmatMu tidak pernah berkurang walaupun kami sering lupa untuk mensyukuri segala ganjaran dariMu..
Ramadhan pada tahun ini adalah yang paling indah dalam hidup saya,Alhamdulillah.Sungguh terlalu banyaknya nikmat Allah buat hambaNya.Bertahun-tahun saya berdoa moga Allah kurniakan kesempatan untuk merasai berpuasa di Madinah,bumi kecintaan Rasulullah SAW.Alhamdulillah,dengan izinNya hajat saya dimakbulkan.
Seawal di bulan Syaaban,suami sering mengingatkan saya,tanamkan azam untuk beribadah sebanyak-banyaknya pada bulan Ramadhan ini.Tidak cukup dengan itu,promosi Ramadhan di televisyen sangat mengujakan.Stesen Radio juga tidak ketinggalan,"Ramadhan Karim,Ramadhan Karim.."Subhanallah,suasana begini benar-benat membentuk peribadi dan motivasi seorang muslim agar berlumba-lumba dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjunjung tinggi sunnah Rasulullah SAW.
Benar,suasana Ramadhan di Madinah cukup berbeza.Kami suami isteri mempatrikan azam,sebolehnya Ramadhan kali ini adalah yang paling baik yang pernah kami lalui,insyaAllah.Tidak sabar rasanya untuk menempuh bulan Ramadhan di Madinah.Ramadhan kali ini istimewa kerana saya menyambutnya dengan anakanda kesayangan saya,Muhammad Muadz.Saya juga berusaha mendapatkan maklumat untuk Penyusuan anak pada bulan Ramadhan agar projek penyusuan untuk anakanda tersayang berjalan lancar.
Ramadhan tiba..Dengan suhu panas di Madinah ketika itu yang mencecah 40 hingga 50 darjah celcius,ianya satu cabaran buat kami untuk menempuh puasa di sini.Subhanallah,terkenang Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat berperang dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan.Saya kini berada di tempat yang sama,merasai kepanasan yang sama.Tetapi Baginda dan para sahabat teguh membawa panji Islam,mencapai kemenangan biarpun dalam kepayahan dan kesusahan.Ya Rasulullah..sungguh aku rindu akan dirimu..
Pada malam terawih yang pertama,manusia berbondong-bondong mengerjakan solat Isyak dan terawih di Masjid Nabawi.Saya menguatkan semangat menolak stroller Muadz,mencari ruang-ruang kosong untuk kami bersolat.Subhanallah,lautan manusia memenuhi Masjid Nabawi,sangat sesak.Rasa seronok terbit di hati saya menyaksikan pesta Ibadah sedang berlangsung dengan jayanya!
Akhirnya,saya dan Muadz ketemu juga ruang untuk bersolat.Hujung sekali di tepi pagar Masjid Nabawi.Kalau pada hari-hari biasa mana mungkin kami bersolat di tempat itu kerana Masjid Nabawi ini sangat luas,tetapi pada bulan Ramadhan ini fenomenanya berbeza.Segenap ceruk masjid pasti akan diduduki orang.
Kasihan melihat anakanda Muadz..berpeluh-peluh dan merah mukanya mengharungi kepanasan walaupun pada malam hari..Saya menyapu air di kepala Muadz tiap kali habis solat 2 rakaat.Barulah nampak dia segar.Walaupun kepanasan,anak kecil yang berusia 3 bulan setengah ini masih mampu mengukir senyuman dan tidak menangis selama saya bersolat lebih kurang 2 jam.Alhamdulillah,saya bersyukur Allah permudahkan saya untuk mengerjakan ibadah walaupun bersama anak kecil.Saya sentiasa bisikkan pada Muadz,"Muadz,kita sabar ye nak.Allah akan bagi pahala yang banyak bila kita sabar.Muadz kuat semangat.Muadz anak yang soleh,Allah sayang orang yang sabar.Muadz jangan nangis ye.Ummi nak solat,Muadz anak yang baik kan?"Dan seolah memahami kalam umminya,Muadz menguntum senyum dan bermain sendiri sehinggalah saya tamat bersolat witir,Alhamdulillah..
Solat terawih yang berlangsung selama 2 jam itu terasa hanya sekejap berlalu.Imam yang memimpin solat terawih adalah Syeikh Huzaifi,Syeikh Solah Budair,Syeikh Ali Syeikh dan Syeikh Imad.Selesai solat witir kami terus pulang dan kebiasaanya kami akan menempuh kesesakan lalu lintas yang dahsyat di kawasan parking bawah tanah Masjid Nabawi.
Pengalaman berbuka puasa di Masjid Nabawi juga adalah momen-momen indah di dalam hidup saya.kami perlu bertolak dari rumah seawal jam 6 petang supaya sempat berbuka puasa di masjid.Subhanallah,setiap hari Masjid Nabawi sangat sibuk dan sesak.Hari pertama kami hanya sempat berbuka dengan dadih,kurma dan air zam-zam kerana tikar-tikar yang menyediakan makanan berbuka sudah penuh.Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan kembara ibadah terawih dan witir pada malam harinya.Saya minum air zam-zam sebanyak-banyaknya supaya memperoleh tenaga berganda dan susu yang cukup untuk Muadz.Syukur Alhamdulillah,walaupun tidak berbuka dengan makanan yang mewah-mewah,perut rasa kenyang dan paling penting,diri terasa akan keberkatannya.
Setiap hari di sekeliling Masjid Nabawi akan disediakan hamparan-hamparan makanan untuk berbuka puasa.Cukup meriah!Tersedia nasi arab,ayam dan roti Al-Baik dan macam-macam lagi.Penuh di sekeliling masjid.Tak termasuk lagi di dalam masjid.Kata abang,di dalam masjid,makanan yang disediakan adalah tamar,dadih dan roti.Pilihlah yang mana kita suka.Bagi saya,walaupun jemaah umrah yang datang tidak membawa kewangan yang cukup,tapi mereka tidak akan kelaparan selama berada di Madinah.Rezeki ada di mana-mana.Insan-insan di sini juga sangat dermawan dan pemurah,tidak lokek untuk membantu.
Pernah suatu hari,saya dan suami agak kelewatan untuk berbuka di Masjid Nabawi.Sampai sahaja di hadapan tempat parking Masjid Nabawi,Jaga yang menjaga tempat tersebut melarang kami untuk masuk kerana kawasan parking sudahpun penuh.Lagi setengah jam lagi untuk berbuka,suami mencari tempat lain untuk kami berbuka puasa.Sampai di pertengahan jalan,azan berkumandang dan kami mengambil keputusan untuk berbuka di tepi jalan,di hadapan Mat'am(kedai makan) warga Bangladesh.Kelihatan ramai pekerja Bangladesh yang berbuka di mat'am tersebut.suami saya masuk ke kedai makan itu untuk membeli air mineral.Tetapi apabila masuk ke kedai tersebut,pekerja kedai berkata kedai itu tidak menjual minuman ketika itu.Beliau membungkus nasi-nasi,buah tembikai,manisan dan jus percuma untuk kami berbuka.Subhanallah,terasa betapa bersyukurnya kami.
Suatu hari yang lain,kerana kesesakan jalan,kami sekali lagi sampai lewat di Masjid Nabawi.Saya pula bersegera menolak stroller Muadz untuk tiba di kawasan solat wanita dan berbuka puasa di sana.Tetapi sebelum sempat sampai ke tempat yang dituju,azan berkumandang dan ketika itu saya berada di kawasan solat lelaki,yang terhidang hamparan-hamparan juadah yang pelbagai.Seorang lelaki Arab berlari menuju ke arah saya,memberikan saya tamar dan air zam-zam.Tidak lama kemudian,datang pula seorang anak kecil lelaki sekitar umur 3 tahun,menghulurkan saya air mineral dan roti.Alhamdulillah,saya benar-benar terharu.Walaupun kami tidak pernah mengenali,namun atas dasar ukhwah dan saudara seaqidah,mereka menghulurkan apa jua yang mereka ada ketika itu.
Ramadhan yang indah,hari-hari terasa diri ini cukup kerdil apabila berpeluang menjejakkan kaki di bumi kecintaan Rasulullah SAW.Setiap hari dalam rakaat witir yang terakhir kami akan membaca doa Qunut.Allahu Akbar,diri insan mana yang tidak mengalirkan air mata tika mendengar bait-bait indah doa yang dibaca.Air mata berderaian tumpah apabila mengaminkan doa Syeikh Solah Budair.Sungguh doa yang dilafazkannya itu amat menggetarkan hati terutama apabila memohon agar Allah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa,menghancurkan musuh-musuh Islam.Bergema seluruh Masjid Nabawi dengan lafaz 'Amin' dan serentak dengan itu kedengaran tangisan sebak hamba-hamba Allah yang mengaminkan..Allahu Akbar,lebih sebak bila terasa Rasulullah SAW sangat dekat dengan kita dan kita kini sedang menyambung rantai-rantai perjuangan Baginda.
Suatu malam,saya tidak sempat untuk menunaikan witir kerana perlu pulang segera.Saya melalui kawasan solat lelaki dan ketika itu solat witir sedang didirikan dan doa Qunut sedang dibacakan.Mendengar doa,'Amin' yang bergema dan tangisan dari hamba-hamba Allah ketika itu,tiba-tiba lutut saya menjadi lemah.Saya terpaku,tidak mampu untuk berjalan,sebaliknya berhenti dan menadah tangan..mengaminkan doa itu hingga ke ayat yang terakhir..sungguh hati hamba amat mengharapkan keredhaan Tuhannya.Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan kurniaan Allah yang Maha Agung?
Kembara Ramadhan kami di Madinah berakhir pada 21 Ramadhan kerana selepas itu kami pulang ke Malaysia untuk berhari-raya bersama keluarga.Semoga Allah mengurniakan lagi kami peluang untuk berpuasa di sini suatu hari nanti.
Amin.
sumber dari: ainunmardhiahismail.blogspot.com
No comments:
Post a Comment