Pages

Saturday, 21 January 2012

kelebihan puasa hari Arafah





Puasa Arafah adalah puasa pada 9 Zulhijjah. Ulama telah bersepakat bahawa puasa Arafah adalah puasa yang paling afdhal berbanding hari-hari yang lain. Sabda Nabi: “Aku berharap daripada Allah dengan puasa hari Arafah, akan dihapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” [Muslim]. Puasa Arafah mengangkat darjat, memperbanyak kebaikan dan menghapus dosa.


Dosa yang dimaksudkan di dalam hadis adalah selain dosa besar. Dosa kecil pula akan terhapus jika kita meninggalkan dosa besar. Firman Allah: “Jika kamu meninggalkan dosa-dosa besar yang dilarang keatas kamu, nescaya kami menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kecil).” [an-Nisa`4:31]. Sabda Nabi: “Solat lima waktu, antara dua Jumaat dan antara dua Ramadhan, menghapuskan dosa diantara keduanya, jika dia meninggalkan dosa-dosa besar.” [Muslim].


Disunatkan puasa hari Arafah bagi orang yang tidak melakukan haji. Manakala jemaah haji hendaklah memberi perhatian kepada ibadah dan doa, tidak menyibukkan diri dengan makan dan minum sehingga merugikan masanya. Dari Abi Hurairah: “Rasulullah melarang puasa hari Arafah di Arafah.” [Ahmad dan ibnu Majah. Kesahihannya dipertikaikan]. Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah dengan makna yang sama. Disokong dengan hadis Bukhari dan Muslim: “Orang ramai mengadu berkenaan puasa Nabi pada hari Arafah, maka dikirimkan kepada Nabi satu mangkuk susu. Baginda minum susu tersebut pada waktu Dhuha hari Arafah dan orang ramai menyaksikannya.” [Bukhari dan Muslim]. Maka dengan itu, Nabi telah menghilangkan keraguan berkenaan hukum puasa Arafah bagi yang melakukan haji. Kata sebahagian ulama: larangan dalam hadis di atas membawa maksud haram. Kata ibn al-Qayyim: “Antara petunjuk Nabi adalah tidak berpuasa pada hari Arafah di Arafah.”


Kata al-Mundziri: “Ulama berkhilaf berkenaan puasa hari Arafah di Arafah. Kata ibnu Umar: “Nabi tidak berpuasa, Abu Bakar, Umar dan Usman juga tidak berpuasa. Maka aku juga tidak berpuasa.” Abdul Razzaq menyebutnya dengan lafaz: “Aku mengerjakan haji bersama Umar dan dia tidak berpuasa. begitu juga Usman. Maka aku juga tidak berpuasa, tidak menyuruh dan tidak menegahnya.” Kata `Ato`: “Barangsiapa yang tidak berpuasa hari Arafah dengan tujuan menjadi lebih bertenaga untuk berdoa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa.” [Musannaf Abdul Razzaq 4:284,285].

Kata as-Sa`ati dalam al-Fath ar-Rabbani: “Antara yang berpendapat dengan sunat tidak berpuasa bagi yang berada di arafah adalah para imam; Abu Hanifah, Malik, as-Syafi`e, Sufian al-Thauri dan jumhur ulama. Ia juga adalah pendapat Abu Bakar, Umar, Usman dan ibnu Umar. Kata as-Sa`ati: “Pendapat ini yang paling adil disisiku.”


Sekiranya hari Arafah (9 zulhijjah) atau `Asyura` (10 zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat, harus berpuasa pada hari Jumaat tersebut. Larangan berpuasa pada hari Jumaat yang disebut didalam hadis adalah sekiranya puasa itu kerana dan pada hari Jumaat sahaja tanpa ada sebab yang lain. Bagi hari Arafah, adalah lebik afdhal kita berpuasa sehari sebelum hari Jumaat tersebut sebagai jalan untuk beramal dengan kedua-dua hadis. Sebaliknya kita dilarang untuk berpuasa sehari selepas hari Arafah kerana hari tersebut adalah hari raya. Hari raya adalah hari yang diharamkan berpuasa sama ada bagi jemaah haji atau bukan berdasarkan hadis Abi Said bahawa Rasulullah melarang berpuasa pada dua hari raya; raya Fitri dan raya Korban. [Muttafaq alaih].

No comments:

Post a Comment