Pages

Wednesday, 1 August 2012

adakah ramadhan kita tahun ini berhasil





Apakah buah hasil ibadah di bulan Ramadhan?

Allah menjawab: 

“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” 
(Al-Baqarah: 183)

Ramadhan melahirkan kesedaran bahawa manusia dimuraqabah (diperhatikan) oleh Allah. Tiada yang memerhatikannya selain Allah.

“Ramadhan datang kepada kamu. Ia adalah bulan keberkatan. Allah akan mendatangi kamu pada bulan ini, menurunkan rahmatNya, menghapuskan dosa dan memperkenankan doa. Allah melihat perlumbaan kamu di bulan ini dan berbangga dengan perlumbaan kamu itu di hadapan malaikatnya. Tunjukkanlah kebaikan dari dirimu di hadapan Allah. Sesungguhnya orang yang celaka adalah orang yang diharamkan dari mendapat rahmat Allah.” 
(Riwayat Tobroni)

Seseorang menahan diri dari lapar dan dahaga … kerana Allah. Tidak minum dan makan walau pun secara rahsia … kerana Allah. Menjaga pandangan dari melihat sesuatu yang haram … kerana Allah. Berusaha untuk solat dan membaca al-Quran … kerana Allah. Tiada tolakan selain dari tolakan mencari kurniaan yang ghaib. Semua orang akan menjaga diri masing-masing tanpa tolakan luar. Kesedaran ini hidup di bulan Ramadhan. Kesedaran ini adalah sumber asasi pembinaan sifat taqwa.
Tetapi akan ada pelbagai ujian bagi seseorang yang berpuasa untuk mencapai sifat taqwa.
Berhati-hatilah dari melakukan perkara laqho, perbuatan lucah dan bertengkar.

“Apabila kamu berada di hari Ramadhan, janganlah lakukan perbuatan lucah dan jangan meninggikan suara. Apabila seseorang mencela atau menyerang kamu, katakan kepadanya: Aku sedang berpuasa.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jauhkan diri dari membatalkan puasa tanpa sebab yang syar’ie.

“Sesiapa yang berbuka di bulan Ramadhan tanpa rukhsah (keringanan syarak), Allah akan merendahkannya dan tidak menerima puasa gantinya walaupun dia berpuasa ganti sepanjang hayatnya.” 
(Riwayat Abu Daud)

Apabila kita berjaya mencapai sifat taqwa di bulan Ramadhan, kejayaan yang hakiki pula selepas itu adalah apabila kita berjaya mengekalkan sifat tersebut di bulan-bulan seterusnya.

Omar bin Abdul Aziz berkata: 

“Taqwa kepada Allah tidak diukur dengan puasa di siang hari, qiam di malamnya atau gabungan kedua-duanya. Tetapi taqwa kepada Allah adalah dengan menunaikan segala kefardhuan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. Sesiapa yang dikurniakan taqwa selepas itu, maka dia berada di kebaikan dan menuju ke kebaikan.”

Berusahalah agar kita keluar dari madrasah Ramadhan dengan membawa hasilnya.

“Sesungguhnya Jibril menyatakan kepadaku: “Jauhlah sesiapa yang hidup di bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” Lalu aku mengatakan: “Amin.” 
(Riwayat al-Hakim)




sumber dari: krimdhl.wordpress.com

No comments:

Post a Comment