Ramadhan sudahpun masuk ke fasa pertengahannya dan dalam masa ini Umat Islam sudahpun terbiasa berpuasa dan meningkatkan ibadah-ibadah sunat demi mengejar ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah. Badan kita sudah dibiasakan dengan perut yang lapar dan badan yang penat berpuasa serta diri yang disibukkan dengan amal ibadah. Namun begitu, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa kita meneliti hikmah-hikmah yang tersembunyi di dalam bulan ini.
Sepatutnya bulan Ramadhan menjadi bulan yang sangat produktif kepada Umat Islam di mana sahaja mereka berada. Kita jangan lagi dimomokkan dengan pandangan bahawa apabila datang bulan Ramadhan Umat Islam akan menjadi lemah disebabkan berpuasa kerana tidak makan dan tidak minum. Malah, kita minta pula diberi keringanan dalam kerja-kerja dengan alasan puasa membataskan kita melakukan aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja berat yang sebenarnya sudahpun menjadi rutin harian kita di luar Ramadhan.
Lebih sedih lagi apabila orang bukan Islam yang sudah tinggal lebih 50 tahun bersama kita di Malaysia masih belum tahu menghormati bulan Ramadhan sebagai bulan yang mulia bagi Umat Islam. Mereka memandang serong kepada umat Islam di bulan puasa yang dizahirkan melalui kata-kata mereka dan iklan-iklan di televisyen yang seolah-olah umat Islam sangat lemah dan lembik di bulan Ramadhan (dan kita mengiyakannya!!). Lebih jauh dari itu, mereka masih lagi belum terkesan dengan hasil-hasil yang sepatutnya lahir dari Umat yang ditarbiyyah di bulan Ramadhan bertahun-tahun lamanya!!
Jangan mudah salahkan mereka kerana mereka mungkin belum diberi pengetahuan yang baik tentang Ramadhan. Tapi mulalah menilai diri kita sejauh manakah kita mendapat kesan dari Ramadhan dan menzahirkannya dalam kehidupan sehingga orang bukan Islam mendapat tempiasnya.
Jalan penyelesaiannya hendaklah bermula dengan diri Umat Islam itu sendiri. Mereka sendiri perlu memahami dengan jelas maksud, kepentingan dan hikmah-hikmah bulan Ramadhan. Kita tidak boleh lagi berpada dengan hanya berpuasa di siang hari dan mendirikan solat Tarawih di malam hari sebagai satu rutin di bulan Ramadhan tanpa mengambil iktibar dari kebaikannya dan membinanya dalam diri sehingga seterusnya mampu istiqamah meneruskannya di 11 bulan lain di luar Ramadhan.
Kita tidak mahu lagi wujud dualisme yang membezakan kita di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan. Semasa Ramadhan kita kuat melakukan ibadah tetapi tidak di luar Ramadhan. Semasa Ramadhan kita menzahirkan diri kita lemah dan lembik kerana berpuasa manakala di luar Ramadhan kita menjadi kuat dan rajin bekerja ATAU lebih malang lagi sama lemah dan lembik kerana tidak bersemangat dan bermotivasi untuk bekerja. Itu satu SILAP BESAR dalam kita menanggapi Ramadhan.
sumber dari: ismaaustralia.com
No comments:
Post a Comment