ISLAM adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kebaikan daripada amalan Islam merentasi keturunan, jantina, pangkat dan bangsa. Allah SWT berfirman: Tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya': 107)
Apabila ajaran Islam diamalkan, kebaikannya akan dapat dirasai oleh orang Islam dan bukan Islam. Islam mengiktiraf hak orang bukan Islam yang bekerjasama dan berada di bawah pemerintahan orang Islam.
Orang bukan Islam yang dijaga haknya oleh Islam disebut sebagai kafir zimmi. Zimmi secara umumnya merujuk kepada orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan orang Islam dan memberikan taat setia kepada pemerintahan Islam, walaupun mereka tetap dengan agama mereka.
Kebebasan yang diberikan oleh kerajaan Islam untuk mereka menganut agama masing-masing tanpa dipaksa memeluk Islam. Mereka bebas beramal dengan anutan selagi mana tidak mengganggu amalan Islam.
Kebebasan beragama
Kebebasan beragama tanpa paksaan ini dapat dilihat dari peristiwa yang berlaku kepada Umar bin Al-Khattab ketika seorang perempuan musyrik datang menemui beliau untuk meminta pertolongan.
Lalu Umar menyerunya untuk memeluk agama Islam. Tetapi perempuan tersebut menolaknya. Kemudian, Umar memberikan pertolongan kepada perempuan tersebut dan menunaikan hajatnya.
Akan tetapi, beliau merasa bimbang kalau-kalau sikapnya itu boleh dianggap sebagai paksaan kepada perempuan tersebut.
Maka Umar beristighfar atas perbuatannya dan berkata: "Ya Allah, aku telah membimbingnya dan bukan memaksanya."
Beliau lantas membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama. (al-Baqarah: 256)
Justeru, kita tidak boleh memaksa orang yang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Bahkan, Islam juga meletakkan kesamarataan kepada orang yang bukan Islam dalam persoalan hak dan tanggungjawab.
Pemerintahan dan masyarakat Islam perlu menjaga hak dan kehormatan mereka sebagaimana mereka juga perlu menjaga hak dan kehormatan masyarakat Islam.
Ini kerana, masyarakat Islam dan bukan Islam berkongsi aspek kemanusiaan yang menjamin hak masing-masing.
Larangan berbuat zalim
Nabi SAW melarang kita menganiayai orang bukan Islam dan berbuat zalim kepada mereka.
Baginda bersabda: "Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah (orang kafir zimmi), maka aku (Nabi SAW akan menjadi pembelanya. Dan sesiapa yang memusuhi ahli zimmah, maka aku akan memusuhinya." (riwayat At-Tabrani)
Oleh itu, harta orang bukan Islam perlu dipertahankan sebagaimana kita mempertahankan harta orang Islam.
Orang Islam dilarang mencuri, merompak dan merosakkan harta orang bukan Islam. Demikian juga, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali menipu ketika menjual barangan mereka kepada orang bukan Islam.
Jangan disebabkan berlainan agama menghalalkan segala penganiayaan dan kezaliman. Orang Islam juga wajib mempertahankan maruah orang bukan Islam sekiranya ia diancam.
Oleh itu, orang Islam tidak wajar sama sekali mendedahkan aib, memfitnah dan mencerca orang yang bukan Islam. Orang Islam dan orang bukan Islam tidak dilarang sama sekali untuk bekerjasama dan saling bantu-membantu selagi mana menghormati hak masing-masing.
Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya menghormati ajaran agama-agama lain walaupun mereka tidak mengakui akan kebenaran agama tersebut.
Hormati perayaan
Suatu ketika, Rasulullah SAW berdiri dengan penuh hormat apabila melihat jenazah seorang Yahudi di bawa di hadapan Baginda.
Para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, itu adalah jenazah orang Yahudi. Baginda lantas menjawab, Bukankah dia juga seorang manusia? (riwayat Bukhari)
Masyarakat Islam juga menghormati perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat bukan Islam. Bahkan, mereka berhak untuk diberikan cuti bagi menyambut perayaan dalam agama mereka.
Pada zaman Nabi SAW, baginda tidak memanggil orang bukan Islam untuk perbicaraan pada hari perayaan mereka.
Nabi SAW bersabda: "Dan bagi kamu wahai sekalian Yahudi memiliki hari khusus, bahawa kamu tidak akan diganggu pada hari Sabtu." (riwayat Tirmidzi)
Demikianlah beberapa hak masyarakat bukan Islam yang perlu ditunaikan demi menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk.
Ini membuktikan bahawa Islam tidak pernah melarang kita untuk memberikan pertolongan, bantuan dan bertolak-ansur terhadap masyarakat bukan Islam.
Islam mengutamakan kasih-sayang dan perdamaian daripada permusuhan dan peperangan.
Oleh itu, marilah kita menjaga hubungan perdamaian ini dengan mewujudkan suasana hidup yang dihiasi perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, walaupun hidup dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama.
sumber dari: myadha.blogspot.com
No comments:
Post a Comment