Pages

Tuesday, 24 July 2012

amalan bersedekah di bulan ramadhan



ramadhankareem41


SALAH satu amalan yang digalakkan untuk dilaksanakan dalam bulan Ramadan ini ialah amalan bersedekah, menderma, berwakaf atau menolong orang lain sama ada secara individu, membantu organisasi atau membantu pihak yang memerlukan bantuan khususnya dalam bentuk wang, harta benda ataupun perkhidmatan.

Istilah yang digunakan untuk amalan ini, khususnya dalam bulan Ramadan dipanggil amalan “al-jud”. “Al-jud” adalah perkataan bahasa Arab dan secara literal ia bermakna banyak pemberian, banyak bersedekah dan banyak berehsan kepada fakir miskin di bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya amalan “jud” ini salah satu amalan dan ibadat yang dituntut dan ia telah menjadi amalan Rasulullah sepanjang bulan Ramadan kerana amalan ini akan mendapat ganjaran dan rahmat daripada Allah dengan ganjaran yang besar. Ini jelas seperti hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dari Saad bin Abi Waqash, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah sangat banyak pemberiannya, menyukai banyak pemberian, lagi Maha Pemurah, menyukai kemurahan tangan hamba-hamba-Nya.”

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, barangkali kita mempunyai sedikit sebanyak kemewahan harta, wang ringgit atau mampu menyumbangkan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu kepada golongan-golongan yang memerlukan. Amalan atau sikap seperti ini amatlah dituntut sekali dalam Islam.

Orang-orang miskin sama ada di kampung, bandar, rumah-rumah anak yatim, rumah orang tua, rumah kebajikan, badan-badan amal yang banyak di negara ini, kesemuanya amat mengharapkan bantuan, derma sumbangan atau sedekah daripada kita yang berkemampuan. Negara dan penduduk negara ini rata-rata masih hidup mewah, walaupun kita sedang menghadapi zaman kegawatan ekonomi tetapi keadaan ini tidak banyak menyekat atau menjadi satu alasan untuk kita atau orang-orang yang berkemampuan untuk tidak bersedekah atau menderma kepada golongan yang memerlukan.

Kalau kita tidak mampu bersedekah secara banyak, atau dalam kuantiti yang besar, barangkali telah disediakan beberapa pilihan atau kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi tertentu untuk memudahkan kita menyumbang atau beramal jariah.

Sebuah riwayat Bukhari dan Muslim dari ibn Abbas yang bermaksud,

“Sesungguhnya Nabi SAW orang yang paling murah tangannya, baginda paling bermurah pada bulan Ramadan, ketika Jibril datang kepada Rasulullah untuk mendengar bacaan Al-Quran Nabi, Rasulullah lebih cepat memberikan sesuatu, melebihi kecepatan angin berhembus, di bulan Ramadan baginda tidak meminta sesuatu tetapi baginda sentiasa memberikan sesuatu kepada orang lain.”

‘Role model’ umat Islam dalam segala aspek kehidupan adalah Rasulullah SAW. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam ayat 21 surah al-Ahzab yang bermaksud,

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu orang-orang yang ingin mengharapkan rahmat Allah”



sumber dari: batu.jim.org.my

No comments:

Post a Comment