Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya
kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup
manusia.
Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan
tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbualan. Tidak
pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini
mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami
perasaannya. Itulah kelapa tua.
Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau
orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai
bila ditiup angin.
Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu
tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam ini dari
kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang
panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena
jolok-jolok macam tu.
Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok
beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu
pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat
puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Kalau
calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai
otak.
Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ
sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan
dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk.Proses ini bukan sekadar
sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit
sabutnya.Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit
dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang
tinggal.
Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah.
Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai
seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan
parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka
tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya
yang putih bersih.
Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau
sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa
tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.
Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam
perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari
tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang.
Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang
tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.
Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air
ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya.
Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan.
Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini
sudah menjadi cecair yang putih.
Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga.
Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup
kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanaslah santan itu
hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke
seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:
Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?
Orang di dapur hanya menjawab, Gulai ikan
bawal.Gulai dapat nama.
Ikan bawal dapat nama.Orang kata, Oh! Sedap
gulai ni.Oh! Sedap ikan bawal ni.
Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja.
Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji
kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang,
tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.Alangkah indahnya kalau kita
dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja.
Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta'abbud kepada
Tuhan.
Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada
dalam perhatian Tuhan Yang Maha ESA.
sumber dari: azilamohamed.blogspot.com
No comments:
Post a Comment