SEMPENA hari
yang digazetkan sebagai hari pertama diturunkan al-Quran kepada baginda nabi
Muhammad s.a.w. iaitu 17 Ramadan, bagus jika difikirkan semula apa ertinya wahyu
Allah kepada manusia. Kepada kita yang
ajam (bukan Arab) kebanyakannya mempunyai masalah memahami terus ayat-ayat Allah
itu kecuali meneliti pula terjemahan sejadinya dalam Bahasa Melayu.
Di balik usaha segolongan memahami al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan, ada pihak-pihak lain hanya menggunakan al-Quran sebagai penawar penyakit fizikal dan mental. Jika difikirkan di rumahnya ada hantu, maka dibacakan surah Yassin atau ayat Qursi. Untuk yang hendak mengambil peperiksaan di sekolah, ada yang membaca surah Yassin pada setiap minggu demi membantu kelancaran dirinya dalam menjawab peperiksaan. Berdasarkan kepada jaminan Allah mengenai kebajikan (pahala) di akhirat untuk pembaca al-Quran, maka banyak antara kita yang berlumba-lumba membaca al-Quran sekalipun tidak memahami ertinya,(terutama pada bulan Ramadan ini).
Sejarahnya,
al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat berdasarkan isu atau keperluan
yang berlaku pada zaman Rasulullah.
Seperti dipersetujui, ayat pertama di Gua Hira ialah berkenaan membaca
atau iqra! Tepatnya, surah
al-Alaq merupakan kumpulan wahyu pertama.
Iqra, bukan sekadar membaca malah satu gesaan kepada muslim untuk
berilmu. Maka sepatutnya, setiap muslim
menjadikan ilmu sebagai salah satu keutamaan dalam hidup. Sudah bekerja dan pendapatan besar pun, ilmu
perlu dicari terutama berkaitan hal akidah dan ibadah.
Mari
perhatikan beberapa permulaan atau ayat-ayat awal surah dalam al-Quran mengenai
tujuan al-Quran disampaikan kepada manusia.
Ayat kedua
surah al-Baqarah (maksudnya):
Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan
padanya, menjadi petunjuk kepada mereka yang
bertaqwa.
Ayat ketiga
surah ali-Imran maksudnya):
Dia menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu
dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan
Injil.
Ayat kedua
surah al-A’raf (maksudnya):
Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu,
maka janganlah ada kesempitan dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi
peringatan dengan kitab itu, dan menjadi pelajaran kepada orang-orang yang
beriman.
Ayat pertama
surah Yunus (maksudnya):
Alif lam ra, inilah ayat-ayat al-Quran yang
mengandungi hikmah.
Ayat pertama
surah Hud (maksudnya):
Alif lam ra, inilah satu kitab yang ayat-ayatnya
disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari
sisi Allah yang maha bijaksana dan maha tahu.
Ayat pertama
surah Yusuf (maksudnya):
Alif lam ra, inilah ayat-ayat kitab (al-Quran) yang
nyata (daripada Allah).
Ayat pertama
surah ar-Ra’d (maksudnya):
Alif lam ra, ini adalah ayat-ayat al-Kitab
(al-Quran). Dan kitab yang diturunkan kepadamu daripada tuhanmu itu adalah
benar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepada
al-Quran).
Ayat pertama
surah Ibrahim (maksudnya):
Alif lam ra, (Inilah kitab) Kitab yang Kami
turunkan kepadamu supaya mengeluarkan
manusia daripada gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin
Tuhan yang Maha kuasa lagi Maha Terpuji.
Ayat pertama
surah al Hijr (maksudnya):
Alif lam ra,
ini adalah sebagian daripada ayat-ayat al-Kitab (yang sempurna) iaitu
Quran yang memberi penjelasan.
Demikianlah
beberapa penjelasan tujuan al-Quran diturunkan yang tercatat pada awal
surah-surah. Jelasnya wahyu Allah ini
untuk menjadi pedoman hidup yang membawa hidup sejahtera dunia dan akhirat.
Pasti akan
berlaku pertentangan antara fikiran, sikap dan perilaku kita sebagai manusia
dengan kehendak-kehendak al-Quran. Oleh
itu, jelaslah al-Quran tetap berfungsi sebagai panduan atau pedoman hidup kepada
yang percaya atau beriman. Percaya tanpa
soal, atau ‘kami dengar dan patuh!’
sumber dari: suparjo.blogspot.com
No comments:
Post a Comment