Pages

Wednesday, 15 February 2012

sayangi anak kita





SEMUA ibu bapa mahukan anak-anak berjaya menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Mereka juga mengharapkan anak menghormati ibu bapa, menjaga solat, berbudi bahasa, rajin, berpelajaran dan berkerjaya. Menurut Perunding Motivasi MAP Training, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, jika kita mahukan anak-anak yang hebat, ibu bapa perlu menjadi manusia hebat yakni tidak jemu berkorban untuk anak-anak.
Pertama, pengorbanan masa untuk anak-anak kerana bagi mereka nilai sebuah kasih sayang itu diukur daripada nilai masa yang diluangkan bersama. “Ini kerana ada ketika anak ingin sampaikan atau ceritakan sesuatu tanpa kehadiran adik-beradik lain,” katanya. Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan dengan tidak meluangkan masa bersama anak-anak sebelum berdepan dengan permasalahan. Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia, berkata jangan hanya sedar kesilapan apabila anak-anak bermasalah. “Ketika itu keadaan sukar untuk dikawal dan pemikiran anak sudah terbentuk dengan pelbagai andaian serta persepsi negatif. “Sebelum nasi menjadi bubur berikan masa yang cukup untuk bersama dengan anak-anak. “Ambil tahu perkembangan mereka, persekolahan, kawan-kawan, hobi dan segalanya berkaitan kehidupan mereka,” katanya.


Kedua, korbankan perasaan dan ego kita kerana ada ketika anak-anak melakukan sesuatu yang melukakan hati serta mengecewakan kita. “Namun, sebagai ibu bapa kita tidak boleh berputus asa kerana kesilapan, kesalahan dan kegagalan adalah guru penting mendidik anak-anak menjadi dewasa,” katanya. Anak-anak memerlukan kita dari semua aspek termasuk untuk memahami jiwa dan pemikiran selain menjadi pendengar serta penasihat yang baik.

Ketiga, korbankan kehendak kita demi kebaikan anak kerana biasanya kemahuan anak bertentangan dengan kehendak kita. “Misalnya, anak lebih berminat dengan bidang kemanusiaan sedangkan kita mahukan mereka menjadi jurutera. “Begitu juga dalam soal memilih sama ada mahukan anak ke sekolah harian atau ke sekolah berasrama penuh. “Cuba ambil kira pandangan anak, kerana sebarang keputusan dan tindakan yang diambil pastikan kesannya positif terhadap anak,” katanya.

Keempat, korban keseronokan kita demi keseronokan anak dan kerana setiap anak mempunyai keunikan berbeza. Setiap anak berbeza dari segi daya intelek, bakat, kebolehan dan kecenderungan. “Justeru, kita perlu belajar menyukai apa yang anak kita gemar untuk memupuk kehebatan anugerah Allah. “Jika kita tiada kebolehan, cukup dengan sokongan moral kerana anak-anak memerlukan kehadiran ibu bapa dalam perkara yang mereka lakukan,” katanya. Katanya, anak-anak mahu kita bangga dengan mereka. Oleh itu puji apabila perlu dan bantu setakat yang terdaya.

Kelima, korbankan wang ringgit kerana ramai ibu bapa yang mahu anak mereka berjaya, tetapi sukar membuat pelaburan. “Harga sebuah kejayaan bukanlah murah kerana ia membabitkan wang tetapi jangan bimbang pelaburan hari ini akan memberi pulangan esok hari,” katanya.

Jadilah ibu bapa yang prihatin akan keperluan mereka serta membuktikan betapa anak-anak yang dulunya lemah dan sederhana pencapaiannya meningkat secara mendadak prestasi pelajaran selepas ibubapa faham akan tangungjawab sebagai mentor kepada mereka dirumah, semoga kita dapat lahirkan anak yang cemerlang dari segi pendidikan dan kerohaniah.

No comments:

Post a Comment