Pages

Friday, 16 September 2011

ulam -khasiat

Secara amnya ulam tidak ditanam secara komersial. Ulam hanya ditanam secara kecil-kecilan disekitar rumah untuk dimakan sendiri atau dipetik daripada yang tumbuh meliar. Ulam yang ditanam untuk kegunaan sendirian biasanya adalah dari jenis semusim dan mudah ditanam seperti pokok Ulam Raja, selom dan kacang kelisa. Ulam yang berasal daripada pokok saka biasanya dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan semulajadi seperti hutan atau dusun. Antara ulam yang termasuk dalam kumpulan ini adalah jering, pucuk putat, kerdas dan rebung. Terdapat juga yang ditanam untuk kegunaan lain seprti untuk buahnya, tetapi sebahagiannya diambil untuk dimakan sebagai ulam seperti jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda dan pucuk jambu golok (gajus).

Bagaimanapun, peningkatan permintaan yang disumbang oleh kegiatan pemasaran dan pengedaran yang lebih meluas, seperti di pasar tani dan pasar minggu telah menggalakkan para petani-petani untuk mula menanam ulam-ulam secara meluas atau komersial.

 

Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan kalium (K) di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Sebagai contoh, daun kaduk didapati mempunyai kalsium (Ca), fosforus (P), dan besi (Fe) yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain.

Ulam juga membekalkan serat yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus.



Ulam juga memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu dan kini pakar pengkaji perubatan barat juga turut mengakui khasiat ulam sebagai tambahan yang baik untuk badan. Sebagai contoh, pegaga kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjanakan kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Ulam jering pula mengandungi sejenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Selain itu juga jering boleh menjadi penawar yang berkesan pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Daun kaduk pula mempunyai kandungan kalsium yang tinggi yang diperlukan oleh badan untuk memperkuatkan tulang, dan mengelakkan daripada penyakit osteoporosis terutama dikalangan kaum wanita.

No comments:

Post a Comment