Pages

Tuesday, 27 September 2011

tukar keluhan ke syukur

Makhluk yang namanya manusia pasti pernah mengeluh. Sedar atau tidak, mengeluh itu sendiri adalah sifat asli manusia. Hanya sahaja, frekuensi dan kualiti keluhannya yang membezakan antara satu personaliti dengan personaliti lainnya. Biasanya perbezaan ini berkait dengan taraf kefahaman dan cara pandang seseorang tentang sesuatu masalah yang sedang dihadapinya. Sabar, ikhlas dan seberapa besar keinginan untuk mengubah sebuah keadaan menjadi lebih baik, biasanya akan meminima-kan isyarat-isyarat keluhan. Sebaliknya, sikap pesimis dan buruk sangka terhadap kejadian yang sedang menimpa secara automatik akan menimbulkan keluhan-keluhan yang kemudiannya beralih menjadi penyesalan.

Secara sejatinya mengeluh adalah rasa tidak puas, tidak ikhlas menerima sebuah ketentuan yang terjadi, baik dari segi fizikal mahupun spritual. Ketika kita sakit kita berkeluh kesah, atau menyalahkan orang lain. Atau ketika ditimpa musibah kita mempersoalkan rahmat Allah, manakala kepada majikan jika gaji kecil kita mempersoalkan reputasi syarikatnya. Jika anak-anak nakal dan bermasalah ada juga yang menyalahkan isteri sebagai tidak pandai mendidik dan sebagainya. Kita juga kecewa dan kesal apabila h/p tidak terjawab atau berbalas.
Itulah sebahagian contoh kecil yang merupakan sebuah manifestasi dari perasaan tidak puas yang akhirnya membuahkan keluhan. Fenomena di negara yang kita cintai ini juga melalui denai ketidak-puasan hati di mana-mana akibat penyalahgunaan kekuasaan, korupsi-kolusi dan nepotisme dan banyak lagi kriminal politik yang semuanya menunjukkan pada satu hal : ketidakpuasan! Sebuah potret masyarakat yang diwarnai dengan berbagai keluhan.
Allah Taala menyukai hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan dan bersabar ketika ditimpa sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan. Masalahnya apabila seseorang itu hanyut dalam keluhan, panca-inderanya pun tidak mampu memainkan fungsinya untuk melihat, mendengar, mencium dan merasakan nikmat yang bertebaran diberikan oleh Allah Taala. Hatinya serta merta buta dari mengingat dan bersyukur atas nikmat Allah yang tiada batas.
Pada zaman Umar Al Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi BaituLlah yang maksudnya,

"Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit".
Doa beliau didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Saidina Umar hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda tersebut dan bertanya,

"Mengapa engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tidak ada permohonan lain yang engkau mohonkan kepada Allah?".
Pemuda itu menjawab,

"Wahai Ya Amiral Mukminin! Aku membaca doa itu kerana aku takut dengan penjelasan Allah dalam surah Al A’raf ayat 10, Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami hasilkan bagi kamu di muka bumi (sumber) penghidupan. Tetapi amat SEDIKIT kamu yang bersyukur. Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit itu, lantaran terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah".
Semoga kita menjadi hamba-hamba yang dikategorikan sedikit oleh Allah dalam ayat tersebut. Dengan selalu menjaga ikhlas dan sabar terhadap segala kejadian atau ketentuan yang diberikan oleh Allah. Dan berprasangka positif bahawa apa yang telah terjadi adalah yang terbaik menurut Allah, sehingga hanya rasa syukur sahaja yang terlintas dibenak, terucap dibibir dan terlihat dari tindakan kerana sesungguhnya jika kita bersyukur maka Allah akan menambah nikmat-Nya dan jika kita ingkar, sesunggunya azab Allah sangat pedih (Rujuk Surah Ibrahim ayat 7).

No comments:

Post a Comment