Seandainya anda merancang percutian ke Terengganu, GUA cadangkan anda menginap di Sutra Beach Resort & Spa yang terletak di Kampung Rhu Tapai, Merang. Hotel bertaraf tiga bintang ini menjanjikan sebuah percutian hebat. Di sini anda bakal mendapat ketenangan fikiran yang maksimum.
Satu keistimewaan hotel ini ialah, ia mempunyai kolam renang yang cukup luas. Kedudukannya yang menghadap laut pasti membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk berendam di dalamnya. Sambil berenang bolehlah jamu mata dengan keindahan pantai dan laut yang membiru. Jadi, pakaian renang mesti dibawa jika mahu bercuti ke sini.
Menawarkan 48 buah bilik standard, 68 buah bilik deluxe dan empat buah suites, penginapan di sini dilengkapi dengan kemudahan yang selalu ditawarkan oleh hotel-hotel dalam kelasnya. Kalau ingin menghabiskan masa dengan insan tersayang, lebih baik menginap di bilik deluxe atau suite yang mempunyai balkoni menghadap laut. Jika hanya bercuti bersama teman-teman sekerja, mungkin memadai mengambil bilik standard yang tidak kurang selesanya.
Paling penting, ia sesuai dengan bajet anda. Harga bilik di sini bermula daripada RM210 hingga RM760. Bagaimanapun, pada musim tengkujuh, harga bilik ditawarkan lebih rendah. Menurut Pengurus Besar resort ini, Malizan Hj. Zakaria, pada bulan November hingga Mac, bilik standard cuma berharga RM120++, manakala bilik deluxe RM150++ dan tawaran ini termasuk hidangan sarapan pagi untuk dua orang.
Bagaimana pula dengan aktiviti yang tersedia di resort ini?
Pasti ada yang ingin memanjangkan langkah apabila singgah di negeri yang terkenal dengan Nasi Dagang ini. Sebenarnya banyak lokasi menarik yang boleh dilawati memandangkan resort ini hanya 35 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.
Antara tempat yang boleh anda lawati di Kuala Terengganu ialah Taman Tamadun Islam, Muzium Terengganu, Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung), Pantai Batu Buruk, Bukit Puteri dan tidak ketinggalan Pasar Payang untuk mendapatkan pelbagai cenderamata menarik.
Jika anda gemar selam skuba, lebih baik anda ikuti trip ke Pulau Bidong untuk melakukan aktiviti ini. Memang pulau ini tidak sepopular Pulau Redang, Kapas atau Perhentian, tetapi GUA difahamkan, hidupan marin dan batu karang di perairan Pulau Bidong cukup cantik untuk diintai. Kalau tidak mahu menyelam, boleh juga menjenguk tinggalan sejarah di mana suatu ketika dahulu pulau ini pernah didiami oleh pelarian perang Vietnam dari tahun 1975 hingga 1991.
sumber dari: gua-testing.altmedia.my
No comments:
Post a Comment