Venetian, namanya sahaja sudah terkenal seantero dunia sebagai sebuah kasino tersohor di Macau. Selain kasino, Venetian juga menempatkan sebuah hotel bertaraf 5 bintang dan juga sebuah pusat membeli belah yang mempunyai reka bentuk dan konsep yang sangat unik. Sebenarnya, konsep Venetian ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan First World Hotel di Genting di mana hotel, pusat membeli belah dan kasino berada di dalam satu bangunan.
Kepada peminat drama korea seperti adik aku yang k-pop itu mestilah teruja sangat nak berkunjung ke tempat ni disebabkan tempat ini merupakan salah satu lokasi penggambaran drama Boys Over Flower yang meletup-letup dan menjadi kegilaan ramai tu. Pada mulanya kami nak cari lokasi penggambaran sebenar, iaitu di atas sebuah jambatan dalam bangunan ni, tapi akhirnya putus asa sebab banyak sangat jambatan, tak tahu yang mana satu.
Ada gondola juga, macam Genting
Kedai-kedai berjenama
Kami takda lah membeli apapun, orang kata window shopping sahaja. Ambil angin, makan angin je lah. Tapi aku mencari juga kejutan untuk suami. Dia tak tahu ada kedai pasukan kegemarannya kat sini. Dalam diam aku pusing-pusing juga mencari kedai ni, saja mahu buat dia ‘menggila’ sebentar.
Dalam kumpulan kecil kami, ada seorang penyokong tegar pasukan ini
Apa lagi bila sudah ketemu, langsung teruja dan aku membiarkan sahaja keterujaannya itu. Agak lama jugalah aku menanti dan melayan ‘kegilaan’ beliau sambil pusing-pusing satu kedai. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membeli sehelai baju dan cenderahati. Bukan senang nak datangkan, jadi biar puas hati.
T.e.r.u.j.a bagi sesiapa yang fanatik
Dah puas berjalan-jalan, kaki pun dah sakit, hari dah semakin senja, kami pun mahu berangkat pulang. Kali ni kami tidak mahu berjalan kaki lagi, penat. Lagipun kami terfikir untuk pulang terus ke hotel. Cukup rasanya perjalanan sehari ini. Kami naik shuttle bus percuma yang disediakan oleh Venetian, terus ke Terminal Feri. Beberapa pick-up point disediakan untuk memudahkan pelancong mengunjungi Venetian seperti Terminal Feri, Sands, Taipa dan beberapa tempat lagi.
Pemandangan waktu hampir malam di Macau
Waktu malam di Macau
Malam terakhir di Macau kami habiskan dengan berjalan-jalan kosong di sekitar bandar ini. Semakin gelap, cahaya lampu kasino satu demi satu mulai kelihatan. Aku anggarkan di sini ada ratusan kasino, yang setiap hari menagih taruhan. Mungkin setiap malam, ratusan ribu dollar telah menjadi pertaruhan dan kemenangan para pemain. Jalan raya tidak begitu sesak, ramai orang berjalan kaki di kiri dan kanan, terburu-buru bagai mengejar sesuatu. Persepsi kami, ya.. ini hanya persepsi pertama yang tidak benar, semua manusia ini mahu menuju ke kasino. Mungkin penat dan lelah bekerja seharian mahu dihilangkan dengan cara ini. Memilih untuk menang, walau kebarangkaliannya hanya 0.01%.
Kadang-kadang kami keliru, sama ada bangunan yang indah ini adalah pusat membeli belah atau kasino. Kami juga tidak pasti, mungkin setiap kasino ada pusat membeli belah. Sesiapa yang menang boleh terus menghabiskan wang di situ. Akhirnya wang itu tidak kemana, masuk semula ke akaun kasino.
Dari pagi kami tidak menjamah makanan berat, hanya beberapa keping roti dan biskut, tenaga juga sudah semakin kurang. Akhirnya tamat malam terakhir kami di bumi Macau. Masing-masing sudah tak mampu lagi berjalan, lantas sebuah teksi menjadi pengangkutan pulang kami ke hotel. Cuaca sejuk tidak dapat ditahan, dengan keadaan selsema..aku hanya ingin mandi dan tidur. Semoga hari esok aku lebih sihat kerana perjalanan kami masih jauh lagi.
sumber dari: aerodspace.wordpress.com
No comments:
Post a Comment