SETIAP anak dilahirkan suci ibarat kain yang bersih. Ibu bapa dan persekitaranlah yang mencorakkannya. Jika baik persekitarannya, maka baiklah perwatakan dan pembawaannya.
Jika sebaliknya maka banyak kesulitan akan timbul terutamanya apabila meniti zaman remaja dan dewasa.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim. Justeru, ilmu membantu manusia menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya, menambahkan pengetahuan seseorang, meluaskan pandangannya terhadap kehidupan serta menyuburkan adab dan peribadi seseorang manusia.
Dengan ilmu, manusia menjadi tahu dan apabila disertai kemahuan, ia akan menjadi tindakan. Maka pendidikan yang baik dan sepadu memandu manusia untuk berfikir, merancang dan bertindak secara benar serta baik.
Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:
“Ya Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik.”
Ia memberi dua asas yang amat penting dalam proses didik iaitu addaba dan taadibi. Justeru, maksud pendidikan dalam Islam antara lain adalah proses memperadabkan insan. Proses ini merujuk kepada faktor dalaman diri manusia iaitu hati.
Adab menyentuh tentang peri pentingnya disiplin hati bagi seorang manusia. Disiplin hati dapat menjadikan manusia lebih teguh dan bakal memancarkan amal yang baik. Adab yang baik juga dapat memberi kesan dan teladan yang baik terhadap orang lain.
Minda atau akal manusia memerlukan disiplin dan fokus supaya apa yang dibaca, difikir serta idea yang diperolehi akan memberi manfaat yang berguna. Pemikiran yang terjana daripada disiplin berfikir yang baik bakal menghasilkan akal budi yang tinggi.
Oleh itu, makna pendidikan bukan sekadar suatu proses bagaimana pemindahan maklumat, data dan fakta berlaku tetapi ia menyentuh bagaimana proses perubahan berjalan.
Ilmu yang benar dan disampaikan dengan kaedah yang baik bakal mencetuskan perubahan terhadap minda, sikap dan amal. Dalam konteks masa kini, remaja perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu berbanding terutama sekali dalam ledakan maklumat dan jaringan telekomunikasi.
Ilmu yang diperoleh daripada sumber-sumber Barat misalnya bukan semuanya tidak baik. Malah banyak kemajuan terkini datangnya dari Barat. Tidak salah mengambil aspek-aspek yang boleh memberi manfaat kepada kemajuan kita.
Namun, negara-negara Barat mempunyai orientasinya sendiri bertunjangkan falsafah yang jauh lebih terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai agama. Ia menuntut keupayaan menyaring maklumat yang tinggi.
Keteguhan sistem nilai amat membantu dalam proses penggunaan sumber-sumber ini. Tidak semua maklumat yang ditampilkan oleh sistem yang berkaitan sesuai dengan matlamat membina faktor-faktor manusiawi dan manusia beradab.
Bagaimanapun, ini bukan bermaksud apa-apa yang datang dari Barat harus disanggah. Cuma sebagai seorang remaja dan Muslim yang berilmu, hendaklah berhati-hati dan peka terhadap proses pembaratan.
Oleh itu, cabaran utama pendidik, pembina perisian dan maklumat ialah menghasilkan modul-modul pendidikan berasaskan acuan kita sendiri.
Perkara ini amat penting kerana kita tidak harus selamanya menjadi pengguna setia terhadap sumber maklumat dan ilmu dari orang lain tetapi sewajarnya bersikap menyumbang terhadap perisian yang berasaskan acuan kita sendiri.
Pembangunan perisian di luar lingkungan budaya dan resam kehidupan kita selalunya tidak berasaskan nilai.
Pengguna teknologi rata-ratanya terdiri daripada remaja yang meningkat dewasa dan mencari-cari erti kehidupan. Sekiranya medium ilmu tidak terisi dengan maklumat yang berasaskan nilai dan adab, maka kecelaruan dan krisis nilai akan wujud kerana ia tidak selari dengan tuntutan fitrah manusia yang inginkan sesuatu yang baik dan luhur.
Dalam konteks pendidikan, kewujudan tenaga untuk membina perisian berasaskan acuan kita adalah dituntut. Lebih dituntut lagi ialah kekalnya peranan pendidik yang bukan saja bertindak sebagai fasilitator tetapi juga mampu memanfaatkan kepentingan teknologi dan juga perisian untuk membangunkan generasi terdidik yang memiliki kekuatan maklumat, ilmu, keterampilan dan sistem nilai yang tinggi.
Memahami falsafah pendidikan dalam Islam adalah amat penting supaya dalam mempelajari ilmu-ilmu Barat, para remaja tidak lupa dengan sejarah dan tamadun sendiri.
Menghargai tamadun sendiri menjadikan kita yakin bahawa tradisi ilmu Islam sentiasa menghubungkan dirinya dengan nilai dan agama. Faktor-faktor ini amat penting bagi mengekalkan faktor-faktor manusiawi agar terpelihara dalam apa zaman pun.
Lantas dalam usaha menjadikan pendidikan sebagai proses mengadabkan insan, pendidikan itu sendiri haruslah bersifat integratif dan holistik.
Model pembelajaran yang terkini yang diadunkan dengan model Islami serta berasakan nilai wajar diperkembangkan dalam sistem pembelajaran kini.
Apatah lagi dalam zaman ledakan maklumat serta perkembangan persekitaran yang kurang sihat yang mendesak manusia supaya sentiasa berhati-hati dengan setiap maklumat serta pengaruh persekitaran.
Globalisasi yang sedang menyemarak pengaruhnya terhadap dunia hari ini bakal memberi kesan terhadap pola-pola kehidupan remaja. Faedah berbanding dari faktor globalisasi perlu diambil.
Pada masa yang sama, para remaja harus mempunyai daya saring yang tinggi membezakan yang bermanfaat atau sebaliknya. Tanpa asas ini globalisasi boleh menjadikan proses pembaratan terhadap umat Islam berlaku secara sistematik.
Oleh itu integrasi ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi amat perlu dilakukan secara bijaksana supaya corak kurikulum yang diajar sifatnya pelbagai disiplin.
Ia jika diolah dengan bijaksana bakal menghasilkan ahli falsafah atau sejarah yang faham mengenai asas sains dan teknologi dan dalam masa yang sama turut menghasilkan ahli sains yang memahami maksud perubahan dalam masyarakat dan faktor-faktor kemanusiaan.
Mengadabkan insan memerlukan lebih daripada sekadar pemindahan maklumat. Ia memerlukan satu bentuk disiplin terhadap akal, minda dan hati.
Harus ada tekad dan azam dalam kalangan remaja Islam untuk menyesuaikan keunggulan ilmu dan teknologi yang diterima ke arah binaan acuan sendiri.
Acuan sendiri mengambil kira faktor nilai dan falsafah supaya arah tuju pembinaan dan penyuburan ilmu dalam masyarakat Islam tidak mengenepikan faktor-faktor akidah, akhlak, ibadah dan syariah.
sumber dari: faizsolehan.wordpress.com
No comments:
Post a Comment