Sudah saya katakan hidup ini hanya sementara. Tidak kekal lama, sampai waktu pergi jua. Hidup adalah satu perjalanan sampai masa kita akan berhenti menjadi manusia.
” Maha Suci (Allah) yang ditanganNya segala kerajaan. dan Dia terhadap sesuatu adalah al Qadir (Berkuasa). Yang menciptakan mati dan hidup, agar menguji kamu siapa diantara kamu yang baik amalannya…”
[al Mulk: 1-2].
Kita punya misi dalam hidup, iaitu berbuat yang TERBAIK diantara dua sempadan hidup-mati. Pasti yang diantara itu akan diperhitungkan.
51 tahun itulah angka umur Allahyarham Yasmin Ahmad. Satu tempoh yang sudah diperkirakan. Kita semua ada baki umur sendiri- modal kehidupan. Tidak ada yang bisa menangguh dan mempercepatkan walau sesaat melainkan Dia empunya umur manusia. Ada yang kata terlalu awal bagi arwah untuk Yasmin pergi, terasa kehilangan; ada yang kata dia belum sedia untuk mati namun itu kata kita. Moment sebenar hidup dan mati adalah urusanNya. Lama atau sekejap relatif sifatnya, jika banyak jasa, amal dan bakti yang ditabur maka pasti akan dikenang. Dia pasti akan terus hidup di hati sanubari. Akan disebut kebaikannya, akan harum sentiasa. Arwah Yasmin punya kelas tersendiri, dia tetap dihitung sebagai orang yang baik budi.
Namanya sudah selebriti, pasti tidak akan sunyi dari kata mahupun nista. Sama ada dibalik cuping atau di khalayak dia tetap akan diperkata. Itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang selebriti. Ia sudah menjadi rahsia umum. Semua ada sisi gelap sama ada yang menulis artikel ini mahupun yang membaca, hanya Dia, kamu dan segala makhluk yang ditugas untuk mencatat dan memerhati – maka sisi gelap kita akan diperhitungkan. Disatu hari dimana keadilan itu akan ditegak, dan kaki itu tidak akan berganjak. Justeru, semua bicara nista perlu dihentikan. Jangan kita menambah dosa. Menabur hina. Segala curiga wajar dikebumikan bersama jasad arwah Yasmin. Ia bukan untuk dijaja, dibongkar mahupun dititip orang, ia adalah kenangan silam yang kelam. Akan terhapus dengan taubat, sesal dan tangisan. Berhenti disatu noktah yang bertepi.
Sudah ramai bintang yang datang dan seramai itu jugalah yang pergi; dan ada bintang yang terbit pagi, belum sempat ia bersinar terang gemerlapannya hilang. Bak bintang kejora, yang hadirnya hanya sementara. Allahyarham adalah diantara bintang yang hilang dalam persada dunia seni. Jika anda berada di posisi ini- dialam seni maka anda akan merasainya. Dunia kita dan mereka tidak pernah sama. Tidak akan bertemu dan tidak akan difahami. Umpama alam ikan dan burung. Berkelip bintang seni, dari apa kau jadi, jauh tinggi di awan, tak tercapai jangkauan tangan. Kata seorang insan tua yang sering menyanyikan lagu P Ramlee, barangkali boleh nama Yasmin ini ditekan dalam simen batu ‘walk of fame’ Malaywood.
Saya melihat kerja Yasmin dalam Rabun persis karya Terrance Malick dalam New World. Hening dan sunyi, namun tetap ada makna. Arwah Yasmin sering mahukan kelainan. Mesej yang tegar dan segar. Menongkah arus. Menjadi pertikaian akademik dan ilmuan shariah. Bicara, debat, marah dan kecewa itulah nada semua yang prihatin dengan agama – ironisnya arwah Yasmin juga katanya membela agama. Ketika orang menghambur kata keras dia tetap dia disitu tidak mahu mengubah malah menambah. Identitinya menjadi bicara namun biarlah berahsia, biarkan dia pergi di alam sana kekal mencari damai yang dicari – rest in peace…
sumber dari: kalamnurani.wordpress.com
No comments:
Post a Comment