KAHERAH, 18 Sept 2012 -- Kompleks Hayyu 'Asyir sekali lagi telah menjadi lokasi tumpuan mahasiswa mahasiswi seluruh Mesir bagi meraikan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan ( MERDEKA '12 ) yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 11-13 September baru-baru ini.
Pelbagai acara menarik yang bertemakan kemerdekaan dan penghayatan sejarah telah berlangsung dengan jayanya di sekitar kompleks Hayyu 'Asyir.
Antara pengisian yang menambat hati para pengunjung adalah acara sukan, pertandingan sajak, debat ala parlimen dan nasyid. Turut menarik perhatian pengunjung adalah slot bersama MANHAL PMRAM, wacana bertajuk 'Perspektif Merdeka, Antara Negara dan Rakyat', Eskposisi, Festival Aneka Selera dan banyak lagi.
MERDEKA '12 dimulakan dengan acara pertandingan outdoor pada hari pertama di mana pelbagai pertandingan dan aktiviti sukan yang dianjurkan. Pembahagian kumpulan yang mengikut zon sistem taakhi telah mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama mahasiswa.
Acara outdoor bagi mahasiswa telah berlangsung di dataran Hayyu 'Asyir manakala bagi mahasiswi acara outdoor diadakan di Nadi Syabab, Hayyu Sadis.
Hari pertama bagi MERDEKA '12 diserikan dengan Majlis Perasmian yang dihadiri oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Profesor Dato' Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Encik Shaiful Anuar bin Mohamad, Ketua Canseri, Para pegawai kedutaan besar Malaysia Kaherah (KBMK), barisan Penasihat dan Badan Pengurus PMRAM, serta AJKT Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMRAM).
Antara pengisian yang menjadi telah menghangatkan pentas MERDEKA '12 ialah Wacana Ilmiah MERDEKA '12. Wacana ini menampilkan ikon-ikon terkenal di kalangan mahasiswa mahasiwi Mesir iaitu Encik Khairi Jalalluddin, Encik Mohd Faryzan Subkhi, dan Ustaz Abdul Hadi Jusoh serta Ustaz Azlan Hj Alias selaku moderator.
"Acara-acara yang telah disusun bertemakan kemerdekaan bertujuan memberi kefahaman kepada mahasiswa tentang makna dan konsep kemerdekaan yang perlu difahami serta dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa yang hadir tentang pentingnya peranan mereka dalam memenuhi kemerdekaan yang telah dicapai oleh negara kita Malaysia. Kesedaran ini penting kerana mereka adalah golongan yang akan mengisi tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan" ujar Timbalan Eksekutif II program MERDEKA '12 ketika ditemui.
Salah seorang ahli PMRAM yang hadir, Siti Aisyah Bt Ismail daripada PMRAM Cawangan Selangor berkata :
"Persembahan dan pameran yang cukup kreatif dan wacana ilmiah yang membina jiwa. Syabas kepada PMRAM kerana berjaya membuktikan kehebatan dan kematangan pemuda dalam dunia Islam kini. Teruskan menerajui perubahan dan membongkar lipatan sejarah yang dipendam buat pedoman generasi akan datang. Moga pengisian yang diatur dapat sama-sama kita mengambil manfaat seterusnya merubah diri menjadi daie intelektual, muslim profesional berjiwa murabbi kontemporari....Kita PMRAM!"
Melalui respon yang diberikan dapat disimpulkan bahawa perayaan menyambut hari kemerdekaan negara MERDEKA '12 anjuran PMRAM ini memberikan impak positif dari sudut penghayatan tentang erti kemerdekaan kepada mahasiswa mahasiswi yang berada di Mesir.
sumber dari: pmram.org
No comments:
Post a Comment