Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh..
Salam EidulAdha…
Besok kita akan menyambut Hari Raya Eidiladha. Hari yang mengingatkan makna dan erti pengorbanan. Pengorbanan seorang insan yang bernama Ibrahim A.S demi menjunjung dan melaksanakan makna taqarub kepada Allah.
Banyak ibrah dan durus yang dapat dikutip dari kisah Nabi Ibrahim a.s buat tatapan generasi masakini sama ada dari aspek dakwah mahupun tarbiyah. Antara ibrah tersebut ialah :
- Melaksanakan tuntutan allah mestilah didahulukan dari segala tuntutan kehidupan. Ia merupakan prioriti utama di dalam amal. Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s apabila diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Menjunjung perintah allah adalah bukti cinta sejati dan pengorbanan yang tertinggi di dalam hidup Nabi Ibrahim a.s.
- Pengorbanan tersebut memerlukan ketinggian iman yang tidak berbelah bagi terhadap seruan Allah. Ia tidak meletakkan syarat yang berbagai-bagai dan dilaksanakan dengan penuh perhambaan dan kerelaan. Justeru dalam kita melaksanakan tuntutan allah kita tidak perlu meletakkan banyak syarat dan alasan bahkan segera (proaktif) melaksanakan amanah tersebut.
- Pendidikan anak-anak (tarbiyatul awlad) bagi melahirkan generasi pewaris dakwah sebagaimana pendidikan rabbaniyah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s terhadap anaknya Ismail a.s. Didikan inilah menjadikan Ismail a.s model terbaik anak soleh, anak yang mewarisi dakwah ayahandanya dan membuktikan bahawa kewajipan melaksanakan arahan allah mengatasi segala-galanya.
- Keluarga yang soleh dan terdidik dengan didikan rabbaniyah adalah asas kejayaan pembinaan masyarakat muslim. Keluarga Nabi Ibrahim a.s adalah merupakan contoh unggul yang harus menjadi ikutan keluarga duat masakini.
- Isteri yang soleh memainkan peranan yang cukup besar dalam menjayakan agenda dakwah dan melahirkan sulbi soleh sebagaimana yang berlaku kepada Ibrahim a.s dan Ismail a.s. Hajar adalah contoh kecekalan, ketabahan, ketaatan dan kesabaran seorang isteri solehah.
- Setiap duat harus menyedari bahawa dalam kita melaksanakan tanggungjawab istijabah li amrillah ( menyahut panggilan allah) kita terpaksa berdepan dengan musuh. Musuh ini digambarkan di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s ialah hawa nafsu, syaitan iblis, anak-anak dan isteri. Begitulah lumrah kehidupan seorang Daie yang terpaksa mendepani angin kencang fitnah dan ujian dakwah.
- Pengorbanan di jalan allah menuntut harga tertinggi dan mahal iaitu dibalas dengan ganjaran Syurga. Begitulah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s sehingga ke peringkat mengorbankan anak tunggal kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s. Ini memberikan isyarat bahawa setiap Daie perlu mengorbankan sesuatu yang dicintai dan disayangi di dunia ini bagi meraih cinta dan redha Allah serta ganjaran syurga.
- Setiap kita ada memiliki Ismailnya tersendiri(barang @harta @manusia yang ia cintai). Setiap kita hendaklah berusaha mengorbankan Ismailnya untuk mendahulukan perintah dan arahan allah. Ingatlah pengorbanan itu bermakna berkorban dan berkorban itu maknanya terkorban.
- Islam tidak akan mampu dijulang dan diperkasakan melainkan perlu kepada sifat Tazhiyyah (pengorbanan). Pengorbananlah yang akan mendekatkan kita kepada allah dan memperoleh darjah ketaqwaan sesuai dengan falsafah penyembelihan binatang korban.
Semoga kisah Nabi Ibrahim a.s, anaknya dan isterinya memberikan spirit dan momentum kepada perjuangan kita yang belum selesai ini.
sumber dari: maalimfitariq.wordpress.com
No comments:
Post a Comment