Makkah 34 darjah celcius, kering dan berdebu. Sudah 12 hari aku disini di bumi Makkah yang diberkahi. Menjadi tetamu-Nya. Demi Tuhan Baitul Atiq, aku datang menyahut seruan-Mu dengan penuh kerendahan dan mengharap Redha-Mu, ya Allah. Di sini airmata ku tumpah lagi sama ketika berada di bumi Madinah, tempat dimana jasad suci nabi disemadikan. Itulah bumi yang disinari cahaya, cahaya yang tidak akan padam sehingga kiamat tiba – Madinah al Munawwarah. Tidak tergamak aku melangkah pergi, memalingkan wajah ini dari sirna cahaya kedamaian yang yang dipancarkan, wahai nabi yang amat dicintai. Ku kesat airmata yang mengalir sepi, mengharap cinta nabi dan mencari redha Allah yang pastinya tak bertepi.
Apakah masih ada ruang buat diri ini memperolehi syafaat dari mu Ya nabi Allah, ya habibuLlah.
Sejak nama ini dipanggil untuk pergi bersama isteri sudah ku tanam tekad bahawa pemergian ini untuk menambah cahaya Qalbi dan mencari Redha Ilahi. Cuba memahami erti cinta yang tulus dan qudus. Inilah misi ku di bumi yang diberkahi. Sudah lama aku tinggalkan Malaysia bersama kisah suka dan duka kelmarin, kini ketika wajah hati ini berpaling menghadap kota kering dan tandus itu yang kelihatan hanyalah wajah Dia. “… dimana saja kamu menghadap disitulah wajah Allah..”.
Aku bersimpuh mengadap pancur emas tempat nabi Ismail berteduh pada satu ketika dulu, aku merenung jauh ketelusan sang nabi muda ini yang sanggup berkata ayah lakukanlah sembelihan itu jika ia perintah dari Tuhan nescaya engkau akan dapati aku dari golongan yang sabar. Aku malu melihat seorang wanita mulia yang dari keturunan Raja yang berkata pada sang suami yang juga seorang nabi “…jika benar engaku tinggalkan aku kerana perintah dari Tuhan-Mu maka pergilah dan tinggalkan aku dan Ismail. Aku redha. Dan jangan lupa doakan kami, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kami…”. Di sana di lembah yang kering dan tandus.
Begitu hebat Allah menguji mereka, semuanya ata nama cinta. Berat sungguh hati Nabi Ibrahim meninggalkan mereka namun demi sebuah cinta dan keyakinan pada sang Pencipta dia pasrah. Maka kemudian Allah ganti segalanya dengan keberkahan yang berpanjangan. Allah tunjukkan manasik (mana sikanna…) cara-cara mengerjakan Haji yang sebenarnya syiar, tanda dan bukti cinta ketiga-tiga insan mulia itu. LabaikaLlah hummalabaik labaiklla syarikkalla kala baik… Jutaan manusia kini datang menyusuri seruan itu dan aku adalah diantara mereka. Terimalah kami ini ya Allah sebagai tetamu-Mu yang istimewa….
sumber dari: kalamnurani.wordpress.com
No comments:
Post a Comment