Jika ingin ke Hong Kong melalui Macau, anda boleh menggunakan perkhidmatan feri yang disediakan setiap hari di Macau Ferry Terminal. Terminal ini sentiasa sibuk, oleh kerana ianya merupakan salah satu laluan utama perjalanan dari Hong Kong ke Macau selain melalui udara.
Selalunya para pelancong yang bercuti ke Hong Kong pasti akan mencuri masa untuk berkunjung ke Macau. Kunjungan singkat boleh dilakukan dengan menaiki feri pada awal pagi dan pulang ke Hong Kong semula pada waktu petang.
Kawasan terminal ini agak luas, dari terminal ini kelihatan Macau Grand Prix Circuit yang terletak tidak jauh dari sini.
Hari ini lebih mencabar lagi. Ketiga-tiga kami sudah mula terkena selsema. Dugaan untuk kami. Masih ada beberapa hari lagi. Semua orang kena kuat.
Perjalanan kami diteruskan dengan mengunjungi kota metropolitan Hong Kong melalui jalan laut. Perjalanan dianggarkan mengambil masa satu jam. Ada dua terminal untuk para penumpang ke Hong Kong. Anda boleh memilih untuk turun di Kowloon (tanah besar Hong Kong) ataupun Pulau Hong Kong (Hong Kong Island Ferry Terminal).
Kami memilih untuk turun di Kowloon, kerana hotel yang telah ditempah terletak di kawasan Mongkok yang terletak di tanah besar Hong Kong. Harga tiket HKD 139.00 adalah untuk perjalanan sehala, lebih kurang RM70 matawang negara kita. Sebenarnya, ada beberapa syarikat pengendali feri yang boleh anda pilih. Harga tiket juga berlainan, bergantung kepada tahap keselesaan. Terpulanglah, tepuk dada tanya selera. Kami macam biasa, pilih yang murah
Setelah selesai pemeriksaan keselamatan dan sebagainya, kami dibenarkan masuk ke dalam feri. Setelah itu kami melepasi ruang menunggu. Di sini barulah kami diberikan nombor tempat duduk. Kedudukan tempat duduk ditentukan secara manual oleh pekerja di situ. Malang sungguh kerana kami ditempatkan di tengah-tengah, tak dapatlah aku menghayati pemandangan kiri dan kanan. Tak dapat nak ambil gambar pemandangan di sekeliling. Apa lagi, dengan keadaan selsema yang semakin teruk, aku hanya mampu tidur.
Seperti biasa, masuk tempat orang kena isi “Arrival Card“.
Sejam kemudian, kami tiba di terminal feri Kowloon. Urusan imigrasi berjalan lancar dan kami seterusnya melangkah keluar dari situ. Aku sempat mengambil peta untuk pelancong untuk mencari lokasi hotel kami.
Di luar bangunan terminal, kami disapa oleh beberapa orang yang mempelawa kami untuk makan di restoran halal yang terletak di kawasan tersebut. Rupa lebih kurang orang Pakistan, entah … aku kurang pasti. Yang pastinya aku ingin mencari stesen MTR terdekat untuk menuju ke hotel.
Entah kenapa, jauh berjalan masih tak jumpa stesen MTR. Kaki sudah penat melangkah, bahu sudah sakit memikul bebanan. Peta masih melekat di tangan. Puas sudah ku belek, tapi masih gagal menemukan aku dengan stesen MTR. Pelik juga. Ku perhatikan jarum jam yang terus berputar. Lebih 30 minit agaknya kami berjalan. Entah kenapa pandangan semacam tertutup. Dalam hati aku berdoa, “Ya Allah, tolonglah kami“…
Lantas kami melepaskan penat sebentar, duduk di bangku di tepi jalan. Akhirnya kelihatan sebuah teksi. Aku bangun dan menahan teksi yang berwarna merah itu. Tingkapnya dibuka, pemandu teksi merendahkan kepalanya. Aku menunjukkan alamat hotel. Dia menggelengkan kepala. “Sah, tak paham English“. Tingkap teksi ditutup dan teksi terus meluncur laju.
Aku kembali duduk di bangku. Air mineral yang dibeli di Macau ku teguk perlahan. Tiba-tiba kelihatan sebuah lagi teksi. Adikku bangun menahan. Kemudian dia bertanya pada pemandu. Mujur pemandu teksi mahu menolong. Kami cuma minta dia bawa kami ke Stesen MTR Mongkok. Aku pasti, aku akan dapat mencari hotel itu kerana berpandukan peta yang telah aku cetak lebih awal, ianya terletak berhampiran MTR Mongkok.
Kami masuk ke perut teksi. Pemandu itu tahu kami mahu ke Mongkok. Tapi kemudiannya dia bertanya dalam bahasa cina. Mungkin pertanyaannya yang lebih spesifik, kami mahu ke mana sebenarnya? Aku tunjukkan alamat. Nampaknya dia tidak tahu membaca dalam Bahasa Inggeris. Silap aku. Sepatutnya aku cetak alamat dalam karakter cina. Ini pengajaran, lain kali sediakan setiap alamat dalam karakter cina.
Kemudian pemandu mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon seseorang. Setelah beberapa saat telefon dihulurkan kepada kami. Adikku menyambut huluran telefon itu. Kedengaran di hujung talian seseorang sedang bertanya kami mahu ke mana. Bezanya kali ini dalam Bahasa Inggeris. Syukur Alhamdulillah. Allah menemukan kami dengan seseorang yang mahu membantu.
Setelah mendapatkan maklumat hotel, adikku menghulurkan kembali telefon kepada pemandu teksi. Pemandu kemudiannya tahu ke mana destinasi kami, lalu dia membuka petanya dan menunjukkan kepada kami arah yang kami ingin tuju. Aku mengangguk dan berterima kasih. “Sie Sie,” hanya ucapan ringkas untuknya.
Kingland Apartment, di mana terletaknya hotel kami. Sebenarnya, ini bukan hotel tapi hostel. Bangunan ini merupakan bangunan lama. Ianya terletak beberapa langkah saja dari stesen MTR, dan aku akui ianya merupakan antara sebab utama mengapa aku memilih untuk menginap di sini selain daripada komen-komen positif di Internet.
Lokasi strategik, berhampiran stesen MTR
Aku perasan pemandu teksi seolah-olah sedang mencari bangunan Kingland Apartment. Aku membuka helaian peta yang tertera nombor telefon tuan punya hostel. Aku mendail nombornya. Di hujung talian, kedengaran suara seorang perempuan. Aku memperkenalkan diri, nyata aku tidak silap kerana sebenarnya dia memang sedang menanti ketibaan kami. Namanya Kitty, meminta aku menghulurkan telefon kepada pemandu teksi. Dipendekkan cerita, akhirnya kami tiba di lokasi. Kitty telah menanti kami di bawah. Dengan penuh ceria dia menyambut kami.
Ok, walaupun sebentar tadi kami risau dan penat, tapi senyuman dan bantuan Kitty menghilangkan kegusaran kami. Pemilik hostel ini melayan kami dengan baik, rasanya seperti berada di tempat sendiri. Kadar sewaan satu malam untuk setiap orang adalah RM30. Bagi kami ianya berpatutan, lagipun kadar hotel lebih mahal. Hotel 3 bintang pun boleh mencecah hingga RM300 semalam. Hidup di kota yang sibuk, dengan kepadatan penduduk dan bangunan tinggi di kiri dan kanan, keluasan bilik tidak boleh dipersoalkan. Bilik kami amat kecil dan sempit. Ruang yang ada cukup untuk berdiri dan berjalan sahaja. Ada sedikit ruang untuk meletakkan beg. Malah, solat juga di atas katil.
Namun, walaupun kecil tetapi keadaannya bersih. Pemilik hostel menjaga kawasan persekitaran dengan baik. Itu sudah mencukupi buat kami, lagipun kami tak akan berada sepanjang hari di bilik. Bilik ini hanya tempat tumpangan tidur sebelum tibanya hari esok.
Ladies Market
Ladies Market, merupakan pasar jualan pelbagai barangan yang amat terkenal di Hong Kong. Rasanya, setiap pengunjung kat datang ke Hong Kong pastinya akan meluangkan masa untuk ke sini. Ini dibuktikan apabila kunjungan kami ke sini menyaksikan para penjualnya sudah boleh berbahasa Melayu. Sekali sekala mereka menegur, “Murah..murah” sebagai umpan untuk kami masuk ke gerai jualan mereka.
Ladies Market bukan sekadar menjual barangan wanita, tetapi merangkumi semua kelengkapan lelaki dan wanita juga. Pelbagai barangan dijual di sini, tapi yang paling banyak dijual adalah pakaian. Selain itu, ada juga barangan lain seperti beg, kasut, aksesori, permainan kanak-kanak dan sebagainya. Memang banyak pilihan, jika berkenan bolehlah memulakan silat tawar-menawar.
Ladies Market terletak di sepanjang jalan Tung Choi, juga terletak berhampiran hostel kami. Malam itu hanya aku dan adikku sahaja keluar berdua, suami tak sihat terkena selsema dan demam juga. Lagipun orang lelaki, mana mahu pergi ke tempat macam ni kan..
Suasana malam di Hong Kong, seperti bandar yang tidak pernah mati. Kawasan tumpuan sesak dengan orang tempatan dan juga pelancong. Kedai-kedai di sebelah kiri dan kanan memasang muzik yang kuat untuk menarik perhatian para pengunjung. Sesekali kelihatan beberapa orang berteriak memanggil pelanggan.
Ada beberapa kali mereka berteriak kuat di tepi cuping telinga aku. Bergegar gegendang telinga.
Sengaja barangkali. Dalam hati naik angin juga, tapi aku tahankan saja. Harus banyak sabar.
Sekitar Ladies Market
Beginilah pengalaman pertama kami di Ladies Market. Kami tak banyak membeli. Cuma beberapa helai baju dan cenderahati. Selebihnya hanya berjalan-jalan dan melihat kehidupan orang di sini.
sumber dari: aerodspace.wordpress.com
No comments:
Post a Comment