Kitab suci Al-Quran atau kalam Allah diturunkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w, melalui malaikat jibril a.s secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Penurunannya adalah mengikut suasana semasa yang berlaku ketika itu, yang memerlukan istinbat hukum. Kandungan Al-Quran itu merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadat, pembahagian harta pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran dan pembangunan Negara, urusan pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kesemua kandungan ini tetap menjadi sumber rujukan yang unggul dan abadi sehingga ke hari kiamat.
Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah s.a.w, ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah s.w.t. Selain daripada itu, Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaan perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai, supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredaan Allah s..w.t. Lebih-lebih lagi kita wajib mempercayaĆ kitab Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukun iman seseorang Muslim. Iaitu kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada rasul-rasulnya.
Justeru, kita sebagai ummat yang mengaku beriman dengan kitab suci Al-Quran, mestilah menjadikan Al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan Menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohon dilindungi Allah s.w.t. Oleh yang demikian, dalam kesibukan harian, kita hendaklah berusaha sedaya upaya meluangkan masa diri dan keluarga kita untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. melalui pembacaan Al-Quran . Janganlah kita menjadi seperti segelintir orang yang mendakwa berilmu tetapi mereka tidak membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.
Peninggalan nabi yang kedua ialah as-Sunnah . As-Sunnah membawa maksud apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dari segi ucapan, perbuatan dan perakuan. Oleh itu, apa jua yang dilafazkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w bukanlah terbit dari hawa nafsunya, tetapi merupakan kata-kata yang berpandukan wahyu Allah s.w.t sebagaimana Firman Allah s.w.t, sebagaimana dalam surah An- Najm ayat 3-4 yang bermaksud:
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berbohong dengan Agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri, Segala yang diperkatakan itu (samada Al-Quran ataupun Hadis ) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepada-Nya”
Kita seharusnya merasa bangga jika mutiara as-Sunnah Rasulullah s.a.w yang merupakan khazanah peninggalan sentiasa menjadi bahan rujukan kepada setiap percakapan atau penulisan. Kerana suasana hari ini, terdapat orang yang lebih berbangga jika pengucapan atau penulisannya bersandarkan kepada pandapat sarjana-sarjana barat yang tidak diketahui asal-usulnya, sementara sangat sedikit usaha membawa hujah-hujah dan dalil-dalil yang bersandarkan as-Sunnah.
Akhirnya, ingin ditegaskan disini bahawa Al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi pegangan seluruh ummat Islam di dunia ini adalah dua sumber utama perundangan Islam. Oleh itu, wajib ummat Islam menerima kedua-duanya tanpa menolak salah satu darinya kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan di samping berupaya menangani pelbagai halangan,cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.
Dengan rasa ikhlas saya ingin berpesan, marilah kita menjadikan amalan membaca Al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat sehari dan mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar. Begitu juga dengan Hadis Rasulullah s.a.w, ia perlu diteliti supaya kita tidak tandus mencari panduan hidup. Dalam masa yang sama kita perlu merujuk kepada golongan pakar dalam kedua-dua bidang tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham. Ini penting bagi memastikan apa yang disampaikan bertepatan dengan disiplin ilmu. Mudah-mudahan kita semua mencapai kejayaan dalam menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan pedoman hidup .
sumber dari: mutiaraislam.wordpress.com
No comments:
Post a Comment