Pages

Thursday, 27 September 2012

hari guru bukan sekadar mengenang jasa







Tanggal 16 Mei setiap tahun Hari Guru akan disambut sempena memperingati akan jasa dan pengorbanan guru-guru di negara kita. Namun harus diingat yang sambutan Hari Guru bukanlah hanya sekadar untuk “mengenang jasa dan pengorbanan” para guru malah sebagai momentum untuk mereka terus mendidik anak bangsa untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Seiring dengan tema Hari Guru pada tahun ini – “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”, guru harus menterjemahkan hasrat kerajaan dan juga masyarakat Malaysia amnya untuk bergerak maju ke hadapan dan melaksanakan transformasi dalam pendidikan negara seiring dengan kemajuan teknologi dan pemikiran masyarakat.

Guru-guru seharusnya mengaplikasikan kemajuan teknologi dan juga strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan berkesan berlandaskan syarak. Namun hakikatnya hal ini memerlukan keazaman dan semangat yang tinggi untuk direalisasikan ditambah dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh para guru pada hari ini.

Kita sedia maklum dengan hakikat yang mendidik bukanlah satu perkara yang mudah justeru masayarakat haruslah memberikan sokongan padu kepada guru-guru untuk meneruskan perjuangan dalam mendidik dan membentuk generasi masa hadapan dan bukannya sekadar melihat profesion guru dengan sebelah mata sahaja. Ini adalah kerana kurangnya rasa hormat masyarakat terhadap profesion guru akan member kesan negatif terhadap sistem pendidikan itu sendiri.

Para belia pula seharusnya terlibat dalam usaha untuk mengajak masyarakat khususnya para pelajar untuk sama-sama menghayati dan menghargai betapa bernilainya guru dalam pembentukan masyarakat malah ada di antara belia hari ini yang telah pun merasai penat lelah menjadi seorang guru.

Saya menyedari yang saya bukanlah orang yang paling layak untuk menulis tentang profesion guru yang mulia ini namun kita sebagai sebahagian dari masyarakat hari ini haruslah peka dengan sistem pendidikan hari ini demi kemajuan generasi kita sendiri pada masa akan datang. Begitu juga dengan persepsi sesetengah anak muda kita pada hari ini yang “melupakan terus” akan guru mereka setelah taman zaman persekolahan mahupun pengajian tinggi.

Saya ingin menegaskan kembali yang sambutan hari guru bukanlah sekadar untuk mengenang jasa guru, bermain permainan dengan guru-guru di padang, acara persembahan di dewan atau memberi hadiah, malah penghayatannya perlu dilihat dari skop yang lebih meluas kerana Islam memuliakan peranan guru dalam masyarakat dan mengangkat darjat mereka yang memiliki ilmu dan mengajarkannya kepada mereka yang lain.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Selamat Hari Guru 2011
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara



sumber dari: pembinagombak.com

No comments:

Post a Comment