Kedatangan musim perayaan memang dinanti penganut setiap agama. Ketika inilah pelbagai hidangan wajib perayaan akan terhidang di atas meja. Sudah menjadi tradisi, Aidilfitri rasanya tidak lengkap tanpa ketupat, lemang, rendang, kuah kacang dan masak lodeh yang diiringi beraneka jenis biskut raya, semuanya mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Mungkin tidak adil melabelkan musim perayaan sebagai musim banyak makan, tetapi hakikat ini perlu diakui.
Ketika musim perayaan inilah, ramai kadangkala terlupa tabiat pemakanan yang baik dan sederhana yang diamalkan sepanjang Ramadan. Ada pula yang berpendapat, tidak mengapa makan banyak kerana Aidilfitri cuma datang setahun sekali. Namun, sikap dan anggapan tidak apa makan banyak ketika musim raya dibimbangi akan berterusan hingga habis musim perayaan kerana bukan mudah untuk kembali kepada tabiat makan secara sederhana.
Kepelbagaian makanan enak pada musim perayaan sebenarnya menjadi cabaran tanpa disedari kepada kita, khususnya pesakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung, untuk lebih berhati-hati serta bertindak bijak mengawal kesihatan diri. Pertambahan kalori melebihi kadar keperluan badan biasa berlaku pada musim perayaan dan ia sukar dielakkan. Kebanyakan makanan wajib musim perayaan seperti rendang, kuah kacang dan lemang semuanya mengandungi banyak lemak. Itu belum termasuk beraneka biskut yang kebanyakannya menggunakan mentega, marjerin dan gula sebagai bahan utama. Masalahnya, apabila berdepan makanan, ramai kadangkala sukar mengawal keinginan makan, apatah lagi selepas sebulan berpuasa. Ini sebabnya ada individu menghadapi masalah berat badan bertambah beberapa kilogram, walaupun baru seminggu berhari raya. Bagi orang sihat, kesan tabiat makan dan pemilihan jenis makanan yang kurang sihat sepanjang minggu pertama perayaan dapat dilihat pada minggu seterusnya.
sumber dari: inhealthbeauty.com
No comments:
Post a Comment