Pages

Wednesday, 30 November 2011

akidah ummah kian terhakis




Akidah adalah alat terpenting dalam diri manusia yang menentukan hubungan mereka dengan Allah SWT. Tanpanya mereka tidak akan diterima di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang patuh dan taat terhadap segala titah perintah-Nya yang mampu membawa mereka menempuh hidup yang penuh dengan rahmat, keampunan daripada Allah SWT.
Apabila akidah tidak dijadikan alat terpenting dalam kehidupan manusia, maka berlakulah krisis keyakinan manusia terhadap kebenaran yang ada dalam al-Quran dan apa yang disampaikan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w., apatah lagi yang dijelaskan oleh para sahabat baginda dan para ulama di kalangan Tabiin selepas kewafatan para sahabat.
Ini kerana, apabila akidah tidak ada dalam diri manusia, maka segala tindakan, ungkapan kenyataan, cara hidup, cara berfikir mereka disandarkan kepada ilham akal semata-mata yang akan berfikir pada perkara yang tidak sempurna dalam hidup mereka. Justeru, lahirlah manusia yang tidak percaya kepada kebenaran Islam, lantaran beranggapan bahawa akal adalah utama yang memuktamadkan segala keputusan dalam kehidupan.
Lahirlah selepas itu, manusia-manusia yang menduakan Allah (syirik) dengan anggapan bukan untuk tujuan mensyirikkan Allah, tetapi mahu mendekatkan diri kepada-Nya melalui perantaran, sepertimana yang pernah berlaku di zaman Jahiliyyah yang dirakamkan Allah menerusia ayat 3 surah az-Zumar, maksudnya:
 
Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi Pelindung dan Penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan Kami kepada Allah sehampir-hampirnya."

Jadi persoalan akidah tidak boleh disandarkan kepada akal semata-mata tanpa disandarkan kepada wahyu Ilahi dalam al-Quran atau yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. bagi memelihara ketulenan akidah daripada sebarang penyelewengan, kerosakan yang mengakibatkan seseorang itu menjadi murtad, musyrik, mulhid atau apa sahaja nama yang menunjukkan mereka terkeluar daripada agama Islam.

No comments:

Post a Comment