Selama ini, ulam hanya sinonim dengan penduduk di luar bandar, namun senario ini telah berubah kerana ulam juga telah menjadi santapan biasa bagi warga di bandar dan juga semakin mendapat tempat di hati masyarakat antarabangsa. Ia bukan lagi makanan kampung sepertimana tanggapan sebelum ini malah ulam menjadi sebahagian menu di kebanyakan restoran mahupun hotel- hotel yang bertaraf lima bintang.
Kebiasaannya, ulam banyak terdapat di kawasan kampung sama ada ia ditanam mahupun tumbuh sendiri di hutan- hutan berhampiran, cuma dikhuatiri apabila pembangunan yang rancak dijalankan menyebabkan tumbuhan tersebut turut pupus. Kemungkinan disebabkan faktor tersebut maka ulam sukar diperolehi sama ada di kampung- kampung ataupun di pasar- pasar. Walaubagaimanapun kini, penerokaan teknologi yang semakin berkembang membolehkan ulam- ulaman ditanam secara kormesial dan boleh dipasarkan ke seluruh negara.
Pemakanan ulam- ulaman boleh dikatakan kembali ke alam semulajadi. Ini kerana ulam adalah tumbuhan yang dimakan secara terus dan mungkin sesetengah ulam dicelur sebelum dimakan tanpa melalui pelbagai proses memasak yang lama. Oleh sebab itu, khasiat yang terkandung didalamnya dapat dikekalkan tanpa mengalami kehilangan zat disebabkan oleh proses memasak yang dikenakan haba. Kehilangan zat semasa memasak boleh menyebabkan tubuh manusia tidak dapat mengoptimumkan penggunaan sesuatu nutrien di dalam badan. Pemilihan ulam- ulaman di dalam diet harian kita adalah tepat kerana khasiat yang terkandung dalam ulam tidak dapat dinafikan kelebihannya malah ia turut mendapat perhatian pakar- pakar pemakanan antarabangsa yang turut mengakui keistimewaan tumbuhan semulajadi tersebut.
Jika selama ini masyarakat Barat bangga menjadikan salad sebagai pilihan menu diet mereka, kita juga sepatutnya bangga memiliki khazanah semulajadi ini yang juga menyamai salad kerana ia dimakan secara langsung dan khasiatnya lebih asli. Ulam merupakan sayuran yang biasa ditanam sebagai pokok disekeliling rumah dan bukannya ditanam secara ladang. Oleh itu, penanaman secara ladang yang menggunakan racun serangga dan bahan kimia lain tidak diamalkan dalam penanaman ulam- ulaman. Tetapi disebabkan ulam yang semakin dikenali dan diminati ramai , ia mula ditanam secara besar- besaran untuk memenuhi permintaan pasaran. Namun begitu, ulam lebih baik ditanam sendiri di dalam pasu atau di sekeliling rumah. Kebanyakannya pokok ulam tumbuh liar dan mudah untuk dibiakkan serta boleh hidup walaupun kurang jagaan kerana ia tidak mempunyai banyak musuh perosak seperti sayuran lain. Oleh yang demikian, faktor ini boleh dijadikan sebab mengapa kita perlu menanam sendiri ulam- ulaman. Disamping itu, ia juga akan menjimatkan ekonomi kerana kita tidak perlu berbelanja lebih untuk membeli ulam di pasar kerana ia hanya boleh didapati di belakang rumah kita sahaja. Walaubagaimanapun, tanaman ini hanya sesuai bagi mereka yang memiliki ruang tanah tetapi bagi yang tinggal di bandar dan mendiami rumah yang tanpa tanah seperti rumah pangsa, teres dan sebagainya boleh mengambil inisiatif untuk menanam ulam secara ‘edible landscape' atau kebun kelompok yang menggunakan pasu atau bekas tin atau plastik yang terpakai untuk digantung di rumah dengan menggunakan tanah atau kompos. Semua pilihan di dalam tangan kita untuk menggiatkan usaha kerana dengan penanaman ulam sendiri kita dapat menjimatkan ekonomi, disamping mengisi masa lapang, memudahkan kita mendapat ulam yang berkualiti seterusnya meningkatkan taraf kesihatan kita.
Namun, masih ramai di antara kita yang tidak menyedari akan kelebihan dan keistimewaan ulam kerana masyarakat kita hidup di zaman yang serba ringkas dan sering mencari jalan yang singkat untuk mendapatkan sesuatu dengan mudah. Begitu juga dengan aspek pemakanan yang turut mendapat tempiasnya di mana masyarakat kita masih lagi terbelenggu dengan kebanjiran makanan segera yang berada di pasaran kini dan melupai yang kita juga memiliki rahsia keistimewaan alam semulajadi yang boleh dijadikan hidangan seharian iaitu ulam- ulaman. Kadang- kadang, kita sendiri pun masih belum mengetahui kebaikan ulam- ulaman tersebut walaupun ia hanya boleh dipetik di belakang rumah sahaja. Rakyat di Malaysia masih dianggap masih kurang lagi dalam pengambilan ulam- ulaman dan sayur- sayuran dalam diet harian mereka. Kecenderungan memilih daging, ayam atau makanan laut dalam setiap hidangan tanpa meletakkan ulam atau sayur sebagai menu utama tidak dapat dielakkan dalam masyarakat kita. Malah ada sesetengah yang menolak terus ulam tanpa menyedari mereka telah berlaku tidak adil dalam sistem pemakanan mereka.
Disebabkan ulam hanya dimakan secara langsung maka kandungan vitamin dan mineralnya tidak akan mudah termusnah. Ulam membekalkan fiber yang diperlukan dalam sistem penghadaman, merendahkan lemak dan kolesterol. Ulam juga merupakan sumber utama vitamin A, vitamin C, asid folik dan juga zat galian yang lain. Terdapat pelbagai kajian yang mendapati bahawa memakan ulam dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Walau bagaimanapun, ia perlu dimakan secara berterusan serta boleh dijadikan sebahagian daripada diet harian kita. Perubatan tradisional Melayu menyatakan bahawa memakan ulam perlu dijadikan amalan harian kerana kesannya mengambil masa yang lama untuk sebati dengan organ dalaman kita. Kenyataan ini adalah berasas kerana sesuatu zat dan mineral juga mengambil masa dan kesannya boleh dilihat jika kita mengambilnya secara berterusan. Mungkin juga benar apa yang berlaku kepada golongan tua dimana mereka masih kuat dan sihat walaupun berumur lanjut berbanding golongan yang lebih muda kerana membudayakan memakan ulam- ulaman semulajadi sejak dari awal lagi dan susah untuk mendapat penyakit. Dan amalan ini perlu dijadikan contoh agar kita dapat memupuk budaya makan ulam sejak dari kecil lagi.
Pemilihan makan ulam- ulaman ini dikatakan memakan yang segar dan semulajadi. Dalam Islam sendiri pun, seseorang disarankan agar memakan makanan yang segar dan asli serta mengurangkan dan menjauhkan diri daripada memakan makanan yang dicampurkan dengan bahan- bahan lain yang diproses. Berdasarkan riwayat- riwayat hadis, didapati bahawa Rasulullah sentiasa memakan makanan yang asli dan segar yang tidak dicampuradukkan dengan bahan- bahan lain yang boleh menghilangkan zat makanan tersebut. Di dalam satu riwayat, "Telah berkata Abdullah Ibn Jaafar: Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah bersama sayur- sayuran". Dalam hadis yang lain ada menyatakan kelebihan makanan yang segar iaitu; "Sesiapa yang memulakan waktu pagi dengan memakan tujuh biji tamar ajwah tidak akan mendatangkan kemudaratan kepadanya sebarang racun dan sihir pada hari itu". Oleh itu, jelas kepada kita bahawa mengambil makanan yang asli dan segar akan mendatangkan kebaikan kepada kesihatan tubuh badan kita juga.
Ulam- ulaman secara tidak langsung juga akan mempengaruhi kesihatan individu dan memainkan peranan penting dalam perubatan. Apatah lagi kini para pengkaji perubatan Barat turut mengakui khasiat ulam sebagai zat tambahan yang baik untuk badan. Pertubuhan Kesihatan Dunia juga telah mengiktiraf pegaga sebagai herba yang boleh menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak- kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit. Ia juga dikatakan dapat membantu pemulihan rahim bagi ibu- ibu yang baru bersalin. Kini, terdapat pula pengkormesialan pegaga dalam bentuk jus. Begitu juga dengan jus tomato, jus peria, jus mengkudu dan jus ulam yang lain. Oleh itu, peluang untuk kita menikmati khasiat ulam- ulaman terbuka luas dan dengan ini kita dapat menambahkan vitamin A, C dan zat galian lain dalam diet pemakanan harian kita. Ulam jering pula mengandungi sejenis sebatian alkaloid yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Selain itu juga, jering boleh dijadikan penawar yang berkesan kepada pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dalam kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan gula di dalam darah. Manakala cekur pula berpotensi untuk mengubati batuk, sakit tekak dan meredakan demam. Ini disebabkan ia mempunyai bahan antibakteria, antifungus dan antikeradangan. Pendek kata, ulam- ulam ini juga dapat mengubati pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kanser dan lain- lain. Walaupun mungkin tempoh penyembuhan mengambil masa yang lama tetapi jika diambil secara konstan dan berpatutan dapat membantu menyembuhkannya.
Memakan ulam- ulaman merupakan satu amalan yang baik kerana selain daripada membuka selera, ia juga mempunyai khasiat dari segi pemakanan dan perubatan. Penanaman ulam perlu dijadikan aktiviti pertanian kormesial yang dapat meningkatkan pendapatan para petani. Petani malah penggemar ulam harus digalakkan menanam sendiri ulam kerana penanamannya amat mudah dan tidak akan timbul masalah sisa racun kimia yang akan memudaratkan kesihatan kita. Walau apapun, pemakanan sihat melalui pengambilam ulam- ulaman amat bermanfaat. Selain menjamin kesihatan yang mantap, ulam juga halal dan mudah diperolehi. Sudah sampai masanya kita berubah dengan mengambil langkah pencegahan daripada mengambil langkah mengubat dengan memakan ulam- ulaman dan pasti kita mampu memiliki kesihatan yang membanggakan untuk kita menjalankan tanggungjawab secara seimbang sebagai hamba Allah di muka bumi ini.
sumber dari: http://www.ikim.gov.my/
No comments:
Post a Comment