Pages

Saturday, 15 March 2014

6 Soalan Yang Remaja Tak Mahu Dengar!






Panasnya hari ni, cetus hati Munira sambil memasak di dapur. Tidak lama kemudian terdengar anaknya memberi salam. Alhamdulillah dah pulang pun anaknya dari sekolah. Pasti anaknya juga kepenatan kerana cuaca yang panas terik itu, fikir Munira.


Izzat anak lelaki bongsu beliau membuka pintu dan berjalan ke dapur sambil menggalas begnya yang berat. Tanpa membuang masa, Munira bertanya kepada Izzat, “Macamana hari ni?” sambil beliau tersenyum.


Malangnya, bukan sahaja soalannya tidak dijawab malahan dibalas dengan muka yang masam, lantas Izzat bergegas masuk ke bilik beliau dan menutup pintu dengan sekuat hati.

Munira mengurut dada kehairanan, kenapa pulak Izzat marah-marah ni. Bukannya dia marahpun apatah lagi menengking.

Sebenarnya senario tersebut tak ada mana salahnya. Menyapa anak kita bila balik dari sekolah adalah bagus. Berkomunikasi dengan anak-anak adalah kemestian untuk menjalin kemesraan antara ibubapa dan anak remaja. Namun di dalam sesetengah situasi ibubapa perlu mengkaji mood dan kehendak anak-anak. Bukanlah di sini kita hendak mengiakan dan menyokong perangai Izzat tadi – sikap seperti itu perlu diberi hukuman ya…

Tetapi kadangkala kita juga perlu peka suatu perkara yang kecil bagi kita dianggap suatu benda yang amat menyinggung perasaan anak remaja mereka. Bertarik tali dalam mendidik remaja ini amat perlu. Di sini, bukanlah pula bermakna kita mesti memahami mereka dalam setiap keadaan. Anak remaja juga perlu memahami kehendak dan keperluan ibubapa mereka. Biarlah kemenangan menjadi milik kedua-dua belah pihak.

Bercakap dengan anak remaja ibarat suatu misteri. Kadangkala bila kita bertanya sesuatu kepada mereka, sambutannya menjadi hambar. Tak dijawab atau mereka menarik muka masam dan paling teruk jika ianya akan mengundang perbalahan pula antara ibubapa dan anak remaja.

Kadang-kadang nak berkomunikasi dan bertanya anak-anak ini juga perlu berseni… dan soalan-soalan pula kenalah penuh hemah (sekali lagi ini bukan bermakna kita kena tunduk selalu dengan kerenah dan perangai anak ya).

Di sini ada beberapa soalan-soalan yang kalau boleh dielakkan bila bertanya kepada anak-anak:

1. Jangan tanya : Bagaimana keadaan hari ini?
Soalan seperti bagaimana sekolah hari ini? Bagaimana periksa? Dan yang seumpamany iaitu pertanyaan yang terlalu umum seringkali mendapat sambutan yang hambar dari anak remaja anda. Mungkin jawapannya  adalah umm.., oklah… ataupun entah.. dan selalunya dijawab dalam bunyi yang endah tak endah sahaja. Remaja merasakan soalan seperti ini adalah seperti soalan yang tidak jujur dan sudah basi. Dan selalunya… mereka hanya sekadar menjawab tanpa menunjukkan reaksi yang mereka ingin meneruskan perbualan dengan ibubapa mereka.

Sepatutnya..

Seboleh-bolehnya elakkan soalan yang memerlukan jawapan Ya atau Tidak. Sepatutnya ibubapa menyelitkan sedikit unsur prihatin dan lebih spesifik di dalam soalan tersebut serta masukkan unsur yang anda juga ingin tahu tentang hal-hal yang mereka minati.
Contohnya: “Seronok tak kelas memasak hari ini? Masak apa pulak tadi? Cikgu tu pakai apron pelik tu lagi tak?

2. Jangan tanya; “Ala kamu cakaplah kat dia jangan kacau kamu lagi?”
Soalan sebegini paling pantang terutama kalau anak anda punya masalah dengan kawan-kawan atau menjadi mangsa buli. Apapun gejala buli memang sinonim dengan remaja. Laporan mengatakan seorang dari setiap tiga orang remaja terlibat dalam gejala buli ini samada menjadi mangsa ataupun sebagai pembuli.  Remaja yang menjadi mangsa selalunya merahsiakan perkara sebegini daripada ibubapa mereka kerana takut dimalukan dan diapa-apakan oleh pembuli. Mereka merasakan yang diri mereka yang bersalah dan mengharapkan ibubapa mengambil berat dan membuat tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mengajukan pertanyaan dengan memulakan soalan dengan perkataan mengapa menunjukkan yang ibubapa tidak serius untuk menolong seolah-olah  menuding jari kepada anak tentang situasi yang terjadi adalah kerana kesalahan mereka.

Sepatutnya……

Soalan yang diajukan mestilak lebih detail supaya anda dan anak remaja anda boleh membuat perancangan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Soalan anda perlu mengandungi  isyarat yang anda mempercayai mereka dan sanggup menolong anak remaja anda. Sebagai contoh: Bila kejadian ini berlaku? Siapa yang terlibat? Soalan-soalan sebegini akan menjadikan anak remaja anda merasakan yang mereka dilindungi dan seterusnya dapat menerima nasihat dan bersedia untuk membuat tindakan bersama-sama anda.

3 . Jangan tanya: “Apa punya fesyen baju kamu pakai ni?”
Seringkali bila kita bertanya sebegini, anak remaja pasti akan berasa hati dan tersinggung. Bila difikir-fikirkan balik memang patut pun mereka terasa hati sebab sah-sah soalan ini berbaur sindiran… kena pulak bila soalan dilontarkan dikhalayak ramai. Jangan lupa bahwa tatkala menginjak dewasa, hampir semua remaja mula mencari identiti diri melalui penampilan mereka dan fesyen baju yang dipakai. Ini perkara penting bagi mereka dan kalau kita bertanya dengan nada sinis pasti disambut dengan rasa tidak puas hati. Lantas mereka melabelkan kita ibu bapa old fashion dan kuno dan lebih teruk lagi mula memberontak.

Sepatutnya…

Sebagai ibubapa kita pasti mahu anak-anak berpakaian sopan dan tidak menjolok mata (walaupun ada juga yang suka kalau anak-anak mereka berakaian pelik dan seksi… itu cerita lain lah) dan kita pasti merasa gusar kalau cara berpakaian tampak pelik. Memang patut dan kita berhak menegur tapi mestilah kena caranya. Mungkin kita boleh menegur dengan cara berhemah seperti :Selesakah berpakaian macam ini? Kalau kita labuhkan skirt tu lagi nampak pelik tak? Tunjukkan juga bahawa kita menganggap mereka tetap penting dalam hidup kita .

4. Jangan tanya: “Kenapa nak sensitif tak tentu pasal ni?”
Kita kena ingat bahawa zaman remaja memang amat-amat mencabar… mana dengan perubahan hormon dan pelbagai cabaran dari segi sosial lagi. Jadinya kita perlulah sedar akan mood-mood tak baik yang bakal melanda dan beri peluang untuk mereka calm down. Dan paling penting sekali jangan sekali-kali menegur mereka di hadapan orang lain terutama rakan-rakan mereka. Malah bergurau pun kena berhati-hati kala ini sebab silap-silap dalam banyak hal ia akan menjadikan mereka marah pula.

Sepatutnya..

Anda boleh bertanya “Nampak muram aje Mama tengok. Ada apa-apa yang tak kena ke? Ada apa-apa yang boleh Mama bantu? Atau nak Mama buatkan segelas Milo ais?
Anda perlu peka dengan emosi anak remaja anda. Hormati ruang mereka. Dan jangan sekali-kali menyakitkan hati mereka dengan kata-kata sindiran ataupun gerak laku seumpama seperti membuat muka mengejek dan sebagainya. Ingat, anak remaja amat sensitif akan perkara-perkara sebegini.

5. Jangan tanya: “Kenapalah kamu buat macam tu?”
Peringkat remaja adalah satu peringkat di mana prefrontal cortex didalam otak yang bertanggungjawab dalam urusan membuat keputusan masih dalam proses pembentukan. Itulah sebabnya  remaja tidak begitu matang dalam membuat keputusan dan tidak tahu kesan di atas keputusan yang dibuat. Perasan tak apabila kita bertanya , kenapa kamu buat begini? Dan mereka kan melemparkan muka yang kosong seperti terkejut dan terganga, tak tahu nak buat apa.

Sepatutnya..

Adalah lebih baik jika ibubapa tidak menggunakan perkataan ‘kenapa’ kepada remaja. Lebih sesuai anda menggunakan perkataan ‘apa’ kerana ia akan meransang mereka untuk berfikir. Mereka akan memberi respon terhadap soalan tersebut dan berfikir dahulu sebelum membuat tindakan.


6. Jangan tanya: “Kenapa tak cakap ‘tidak’saja ?”
Penyesuaian diri remaja terhadap keadaan sekeliling banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya. Kadang-kadang agak sukar anak remaja berkata ‘tidak’ jika rakan sebaya mengajak anak anda melakukan perkara yang beliau tidak suka. Di sinilah rakan sebaya boleh menjadi tekanan kepada anak remaja anda. Mereka sebenarnya memerlukan ibubapa untuk membantu mereka mengatur  mengurangkan tekanan sedemikian. Soalan seperti diatas menunjukkan yang ibubapa tidak mahu terlibat untuk menyelami serta menyelesaikan masaalah anak remaja anda.

Sepatutnya…

Pembuka soalannya mestilah menunjukkan keprihatinan anda terhadap mereka dan pada waktu yang sama memberi cadangan terhadap penyelesaian masaalah tersebut. Sebagai contoh: “Memanglah susah untuk berkata tidak kepada kawan , tetapi apa salahnya kalau mencuba, dah cuba tak? “ Bukankah ia teknik terbaik untuk menunjukkan yang anda prihatin terhadap anak remaja anda.



sumber dari: http://azianhasan.com/6-soalan-yang-remaja-tak-mahu-dengar

No comments:

Post a Comment