Pages

Saturday 22 March 2014

mengurangkan risiko kanser serviks






Lelaki berkhatan mampu mengurangkan risiko kanser serviks dan payu dara yang disebabkan oleh perpindahan kuman Human Papilloma Virus (HPV) kepada wanita semasa melakukan persetubuhan sehingga 20 peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kajian telah membuktikan bahawa berkhatan mampu mengurangkan perpindahan kuman virus HIV yang berlindung di bawah kulit hujung zakar.

"Kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin iaitu lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah sebagai pembawa virus yang boleh menyebabkan kanser serviks dan payu dara pada wanita ketika melakukan persetubuhan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis berkhatan beramai-ramai UMNO Cheras dengan kerjasama Hospital Pantai di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu di sini hari ini.

Program itu dianjurkan bagi membantu golongan sasaran iaitu golongan tidak berkemampuan untuk berkhatan secara percuma.

Seramai 120 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun berkhatan hari ini. Menariknya seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang merupakan penduduk kawasan tersebut turut serta berkhatan.

Tambah Rosnah, selain itu, mereka yang berkhatan pada usia kurang dari setahun pula mempunyai kadar kanser prostat dan risiko jangkitan kuman pada saluran kencing sehingga 10 kali lebih rendah.

Menyedari kebaikan berkhatan, beliau menyarankan mereka yang bukan beragama Islam supaya turut berkhatan dari segi aspek kesihatan.

Sementara itu, pelajar tahun empat, Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Eldred Wong, 10, berkata, doktor menasihatinya supaya berkhatan ekoran jangkitan pada saluran pundi kencing yang dialaminya sejak dua tahun yang lalu.

"Sebelum ini saya takut, apabila ramai kawan-kawan saya yang lain berkhatan, saya tidak sabar pula," katanya.

sumber : Utusan Malaysia Online



sumber dari: http://www.abhamz.com/

No comments:

Post a Comment