Pages

Monday 3 March 2014

SAYUR ULAM : DUNIA PEMAKANAN SIHAT





ulam-ulaman for breakfast. Awet muda



Sayur-sayuran dan ulam-ulaman mengandungi banyak serat (fiber) dan kurang kalori. Ia adalah kaya dengan sumber utama vitamin C, vitamin A, asid folix dan zat galian yang sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan serta minda yang sihat. Khasiat yang terdapat dalam sayur-sayuran dan ulam-ulaman ini dapat menyelenggara tisu-tisu kulit, mata, tulang dan otak. Ulam-ulaman biasanya banyak terdapat di kawasan kampung sama ada ditanam atau tumbuh sendiri di hutan-hutan yang berhampiran.
Apabila pembangunan rancak dilaksanakan, banyak kawasan hutan diteroka sekali gus menyebabkan ulam-ulaman turut pupus. Berikutan itu, ulam-ulaman sukar diperolehi di kampung-kampung dan pasar-pasar termasuk pasar tani. Namun, teknologi terkini dalam bidang pertanian membolehkan ulam-ulaman dan tumbuhan herba ditanam secara komersial dan mula dipasarkan ke seluruh negara.

Sebagai contoh, ladang satelit berkelompok yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah iaitu satu kawasan pengeluaran ulam-ulaman dan rempah ratus bagi memenuhi keperluan harian pengguna-pengguna di kawasan bandar dan menjadi suatu prasarana yang baik untuk mengenali dunia pertanian. Jika anda tinggal di kawasan kampung, anda bertuah kerana mempunyai tanah yang agak luas untuk dimanfaatkan dengan menanam tumbuhan jenis herba dan ulaman.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan menetap di kediaman yang tidak mempunyai halaman bertanah, usah berdalih untuk mengamalkan pemakanan ulam-ulaman. Ini kerana di bandar juga terdapat banyak pasar yang menjual ulam-ulaman.

Sebagai contoh pasar Chow Kit, pasar borong Selayang dan banyak lagi. Jika tidak pun, ambil sedikit usaha untuk menanam sayur ulaman melalui penanaman edible landscape atau kebun kelompok di sekitar rumah menggunakan pasu atau bekas tin dan plastik terpakai dengan menggunakan tanah atau kompos.Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang telah mengkaji dan mengenalpasti 62 jenis sayur dan ulam meliputi 37 jenis ulam daun atau pucuk, 16 jenis buah dan 9 jenis sayur kampung. Namun, menurut kajian oleh wikipedia.org, terdapat lebih 120 jenis ulam-ulaman di Malaysia meliputi ulaman jenis pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga.

Antara ulam-ulaman yang tersenarai ialah rebung, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, ulam raja, kerdas, jering, genuak, pucuk gajus, beluntas, pucuk betik, pucuk putat, daun selom, jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda, daun kunyit/kunyit hidup, daun kesom, pegaga, daun kadok, daun salad, kacang panjang muda, pucuk mengkudu, buah mengkudu, batang lambok (sejenis keladi) dan banyak lagi.

Usaha menyelidik ulaman oleh FAMA ini bertujuan memperkenalkan dan memasarkan ulaman kepada masyarakat dan membantu petani di kawasan kampung meningkatkan pendapatan mereka melalui hasil jualan ulam-ulaman itu nanti. Antara sayur ulam yang kurang dikenali yang diselidik oleh FAMA ialah bayam orang putih, pucuk ara, tenggek burung, kaca lima, cemperai, mata ayam, sepayang, balik angin, umbut kelapa. Manakala jenis-jenis buah ulam pula ialah buah ara nasi, gadung, peria katak, keladan, terung, peparu dan sebagainya. Menurut Kajian Industri Herba di Malaysia yang telah dilaksanakan oleh MARDITECH dan dibentangkan di Hotel Nikko, Kuala Lumpur, nilai pasaran industri herba dunia dijangka akan mencecah US$5 trillion menjelang 2050.

Menurut Tuan Haji Mansor Puteh, Ketua Penyelaras Teknikal bagi kajian ini, pasaran dunia herba pada 1997 yang bernilai US$60 bilion akan meningkat kepada US$200 bilion pada 2008 dan seterusnya mampu mencecah US$5 trilion menjelang 2050. KHASIAT BEBERAPA JENIS ULAM Oleh kerana ulam dimakan secara langsung tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan kalium (K) di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Sebagai contoh, daun kaduk didapati mempunyai kalsium (Ca), fosforus (P), dan besi (Fe) yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain. (sumber : wikipedia.org)

Ulam juga membekalkan serabut yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serabut memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus. Ulam juga memainkan peranan penting dalam perubatan Melayu dan kini pakar pengkaji perubatan barat juga turut mengakui khasiat ulam sebagai tambahan yang baik untuk badan.
Sebagai contoh, pegaga kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak selain dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit. Ulam jering mengandungi sejenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Jering juga boleh menjadi penawar yang berkesan pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana, kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Daun kaduk pula mempunyai kandungan kalsium yang tinggi yang diperlukan oleh badan untuk memperkuatkan tulang, dan mengelakkan daripada penyakit osteoporosis terutama di kalangan kaum wanita. Ulam pegaga dan akarnya dikatakan membantu pemulihan rahim. Jus pegaga juga senang disediakan.

Di samping itu juga, amalkan memakan pucuk kaduk. Rasanya agak lemak dan senang dibiakkan di dalam pasu. Di Sarawak pula, ibu-ibu yang berpantang akan memakan bunga kunyit. Oleh kerana rupanya yang cantik, ia juga sesuai digubah bersama dedaun dan bunga segar bagi hiasan di meja makan.Ingin menambah pengetahuan atau membuat kajian mendalam mengenai ulam-ulaman? Jangan risau kerana terdapat banyak maklumat dan data boleh diperolehi melalui internet, media cetak dan media eletronik.



sumber dari: http://psittacula.wordpress.com/2007/02/13/sayur-ulam-dunia-pemakanan-sihat/

No comments:

Post a Comment