Pages

Saturday, 15 March 2014

Emosi kanak-kanak tak sama







KEHADIRAN anak dalam sebuah perkahwinan memberikan makna besar kepada insan bergelar ibu dan bapa. Permata hati disambut riang gembira. Saban hari bertukar ganti, daripada telapak kaki sebesar dua jari hingga ke pandai ‘berdiri sendiri’, ibu bapa kadang kala terasa semakin jauh dengan anak yang dilahirkan.

Senario seperti ini bukan perkara baru, malah segelintir ibu bapa sendiri mengakui, semakin anak itu membesar, semakin sukar dikawal pergerakan mereka. Seorang teman menyebut ‘kalau masih kecil, bolehlah dipukul, ditampar, tapi bila sudah besar, dia pula yang memukul aku nanti’.

Realitinya bayi yang lahir ke dunia ini diciptakan memiliki emosi yang tidak sama. Ibu bapa tidak boleh menyangka sekiranya perangainya baik, maka anaknya akan mengikut perangai yang serupa. Sedikit sebanyak mungkin ada benarnya kerana pendidiknya adalah kita sebagai ibu bapa.
Tetapi pengaruh luaran kadangkala memberikan impak lebih besar kepada anak itu nanti. Sebab itulah mendidik anak perlu dilakukan mengikut zaman mereka berada, dan tidak sesuai mengamalkan didikan ‘zaman dulu’ kepada anak zaman ini.

Bagaimanapun, ramai pakar kanak-kanak bersetuju, andai emosi anak ditangani dengan baik sejak kecil, pergerakan mereka ‘lebih mudah dikawal’, umpama menekan alat kawalan jauh. Emosi yang stabil membantu melahirkan anak lebih cemerlang, emosi yang terganggu pula melahirkan anak sebaliknya.

Emosi dikaitkan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang. Ia menunjukkan pelbagai aspek termasuk negatif atau positif, kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan.

Pensyarah Psikologi Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka.

“Segelintir anak yang menangis, besar kemungkinan mereka berasa takut dan memerlukan perlindungan daripada ibu bapa mereka. Kanak-kanak selalunya belum mengenali konsep masa. Sama ada sekejap atau lambat, asal saja ibu bapa tiada depan mata mereka akan mula menangis.
“Kadangkala ibu bapa selalu merungut ‘budak ni, aku tak ada depan mata seminit pun menangis’. Mereka hanya tahu, bila tiada ibu bapa depan mata, maka sudah tidak selamat,” katanya pada Seminar Celik Emosi anjuran Hal Ehwal Wanita (Helwa), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini.

Beliau berkata, kanak-kanak menyuarakan ‘isi hati’ menerusi emosi yang ditonjolkan dan ibu bapa selalunya adalah idola kepada mereka. Segelintir ibu bapa yang marah terhadap anak andai menjerit, tetapi pada masa sama si ibu atau ayah tetap mengherdik seperti ‘mak kata jangan menjerit’.
Penggunaan intonasi yang tinggi, sedangkan ibu inginkan anak bersuara rendah, menjadi anak berkenaan keliru dengan apa yang diperkatakan. Memandu atau menangani emosi anak ke arah positif adalah perlu dalam usaha melahirkan anak yang seimbang.

“Setiap anak itu unik dan tersendiri. Along dan angah mungkin mempunyai emosi yang berlainan. Dalam usaha mengenali anak, ibu bapa perlu memahami emosi mereka kerana kita tidak mahu anak membesar dalam emosi yang terganggu.

“Ada anak yang sensitif tetapi ada anak yang merajuk mahu dirinya dipujuk serta dirayu. Andai betul caranya, kita ‘melayan’ emosi mereka, si kecil akan membesar merasa dirinya dihargai dan diperlukan, bukan dibiarkan bersendirian dan dibenci,” katanya.



sumber dari: http://intim.wordpress.com/2007/10/17/emosi-kanak-kanak-tak-sama/

No comments:

Post a Comment