Pages

Sunday, 4 December 2011

tangisan takutkan ALLAH






Tangisan adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangisan, dicela oleh tangisan dan diakhiri dengan tangisan.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW,

“Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.”

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.” Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun ALLAH SWT telah berfirman,


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)

No comments:

Post a Comment