Pages

Thursday, 1 December 2011

pembukuan Al-Quran






Pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah ramai huffaz mati dalam peperangan Yamamah iaitu hampir 70 orang. Lalu Saidina Umar mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar supaya dihimpunkan helaian ayat-ayat Al-Quran yang ditulis berasingan sebelumnya kerana bimbang akan kehilangannya dengan sebab kematian huffaz dan qurra’.

 
Pada mulanya beliau ragu-ragu kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya dan takut seandainya berlaku perubahan ayat atau pertukaran ayat al-Quran. Selepas dibincang dengan teliti, atas alasan maslahah dan menyedari bahawa ia adalah satu wasilah yang paling agung untuk memudahkan menghafaznya serta mengelakkan daripada hilang dan luput, maka Saidina Abu Bakar bersetuju untuk dikumpulkan ayat al-Quran itu. Maka dipanggil beberapa huffaz dan penulis wahyu zaman Nabi saw yang masih hidup antaranya Zaid bin Thabit bagi meneruskan usaha penulisan al-Quran. Al-Quran kemudian ditulis oleh Zaid hasil pengumpulan daripada lembaran yang ada dan akhirnya diikat kemas, tersusun turutan ayatnya sebagaimana yang ditetapkan oleh Rasulallah SAW.


Mashaf ini diserahkan kemudiannya kepada Saidina Abu Bakar. Selepas kewafatannya, diserahkan pula kepada Saidina Umar al-Khattab. Selepas beliau wafat, mashaf itu dipindahkan ke rumah Hafsah, isteri Rasulullah SAW yang juga anak Saidina Umar sehingga ke saat pengumpulan dan penyusunan Al-Quran pada zaman Khalifah Uthman.


Apabila berlaku pertentangan dari sudut bacaan ayat Al-Quran (disebabkan kemunculan ilmu Qiraat yang telah diizinkan Nabi Muhammad sebelumnya), ia akhirnya memaksa kepada tindakan Khalifah Uthman untuk membukukan Al-Quran. Maka dibentuk satu jawatankuasa penyelaras dalam usaha membukukannya.


Pada peringkat awal,jawatan kuasa penyelaras Al-Quran itu telah membukukan sebanyak 6 buah naskah Al-Quran iaitu untuk dipegang oleh Khalifah Uthman bin Affan sendiri,naskah dihantar ke Kota Basrah,naskah kepada kota Kufah dan kota Syam serta sebuah naskah ke kota Madinah Al-Munawwarah dan sebuah lagi ke kota Makkah Al-Mukarramah. Manakala,kemudiannya diciptakan 2 buah naskah khas yang disalin terus dari naskhah Khalifah Saidina Uthman bin Affan untuk pegangan Sheikh Umar Dany dan Sheikh Abu Daud Sulaiman bin Najah.Dua salinan baharu itu hanya digunakan tatkala timbulnya perselisihan berkenaan teks salinan sebenar Kitab suci Al-Quran, serta membetuli akan keraguan dalam mashaf Al-Quran enam buah seperti yang dinyatakan diatas, akibat timbul dari perbezaan sebutan dan periwayatan imam-imam Qiraat.


Mashaf Uthmani yang asli yang dipegang oleh Khalifah Uthman sendiri serta 2 buah kitab yang disalin darinya sebenarnya ditulis dan disalin mengikut ejaan dan sebutan Arab Quraisy yang tepat mengikut bacaan Nabi Muhammad selaku seorang yang berbangsa Arab Quraisy.Ini dapat dibuktikan dengan penulisan dan pembarisan ayat-ayat Al-Quran mashaf Uthmani itu sendiri yang diriwayatkan oleh Hafs bin Sulaiman ibn Mughairah Al-Asadi Al-Kufi menurut bacaan Asim bin Abi Najud Al-Kufi At-Taabie daripada Abi AbdilRahman Abdillah bin Habibi Sulami daripada Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Sabith dan Ubai bin Kaab dan akhirnya daripada Muhammad bin Abdullah(Nabi SAW).


Manakala cara membarisnya pula adalah diambil daripada apa yang telah diakui kesahihannya oleh para Ulama seperti yang dibandingkan dalam Kitab “At-Tarazu Ala Dhabtil Kharazi” karangan Imam At-Tanassi dengan mengambil tanda-tanda Al-Khalil bin Ahmad dan Para pengikut daripada kalangan(Masyariqah) Masyarakat Al-Quran,gantian daripada tanda-tanda yang disepakati oleh orang Andalusia(di Spanyol) dan orang-orang Maghribi.


Akhirnya terhasillah apa yang dinamakan Mashaf Uthmani hasil penggemblengan tenaga oleh Zaid bin Thabit sebagai ketua, Abdullah bin Zubair, Said bin Ash dan Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam.


Akhirnya mashaf Uthmani itu bertebaran ke seluruh dunia yang menjadi panduan umat Islam yang paling utama hingga hari ini.


Nota: Walaupun Al-Quran yang telah distandardkan mengikut resam mashaf Uthmani sekarang,namun masih ada lagi saki baki kitab-kitab Suci Al-Quran mengikut resam yang berlainan seperti Al-Quran Muhammad(Quranul Majid),Mashaf Madinah dan lain-lain.Hal ini disebabkan Al-Quran tersebut diselaraskan dengan bacaan sesuatu pegangan imam Qiraat(Imam-imam Syatibi) yang khusus,tidak mengikut standart bacaan Arab Quraisy yang dipersetujui bersama.Namun begitu ayat-ayat Al-Quran dalam Teks resam yang lain dari mashaf Uthmani tidak mengubah akan ayat-ayat dan maksud Al-Quran itu,Cuma mungkin berlainan dari segi tanda baris akibat dari sebutan yang diriwayatkan oleh imam-imam Qiraat yang berlainan.Namun diharapkan Al-Quran versi bukan mashaf Uthmani diminta untuk tidak dibuat bacaan ataupun hafalan bagi mengelakkan kekeliruan.

No comments:

Post a Comment