Pages

Wednesday 1 August 2012

niat untuk membayar hutang






Sahabat sekalian, jika disebut mengenai hutang ia adalah sinonim dengan kehidupan masa kini. Tiada apa yang hendak dipelikkan jika masa kini orang berkata ' aku banyak hutang la..keliling pinggang hutang aku' sebaliknya akan berasa pelik apabila orang berkata 'aku takde hutang la, ..senang hidup aku'. Dua hutang yang boleh dikatakan jenis 'wajib' adalah kenderaan dan rumah selain beberapa hutang 'sunat' seperti pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman pendidikan dan sebagainya.

Bagi seseorang yang berhutang, adalah penting untuk dirinya mengurus hutang tersebut dengan baik dan efisien. Niat untuk membayar itu adalah sangat penting kerana apabila kita berniat untuk melakukan kebaikan yakni membayar, insyaAllah jalan akan dibukakan untuk kita membayarnya. Bagi hutang yang sumbernya adalah dari institusi seperti bank, kebiasaannya seseorang itu akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikannya. Ini bagi mengelak dari 'nama suci' mereka di senaraihitamkan oleh institusi tersebut selain mengelakkan kenderaan dan rumah itu sendiri 'dirampas' oleh pihak bank. Walau bagaimanapun, bagaimana pula dengan pinjaman yang sumbernya bukan dari institusi seperti pinjaman dari ahli keluarga, badan kerajaan seperti Yayasan Negeri, JPA, MARA, Tabung Pembangunan dan sebagainya.

Pinjaman dari institusi seperti Yayasan Negeri, JPA, MARA, Tabungan Pembangunan dan sebagainya menjadi rebutan pelajar kerana kebiasaannya ia tidak mengenakan apa-apa kos pentadbiran atau kadar keuntungan. Walau bagaimanapun, pinjaman dari insitusi diataslah yang kebiasaannya pelajar agak liat untuk membayarnya dek kerana aspek penguatkuasaan ia tidaklah sehebat pihak bank. Walau bagaimanapun, adalah penting juga untuk kita membayarnya kerana :-
  • Bayaran balik yang dikutip dari pelajar terdahulu itulah yang akan digunakan untuk mengeluarkan pinjaman baharu kepada pelajar yang terkemudian.
  • Jika kita tidak membayarnya, sanggupkah kita melihat adik-adik atau anak -anak kita gagal untuk menerima pinjaman baharu dek kerana fiil kita yang liat untuk melunaskan pinjaman.
  • Terdapat juga keadaan dimana prosedur pinjaman terpaksa diketatkan bagi pelajar baharu memastikan mereka tidak mengikut 'jejak' generasi terdahulu yang liat untuk melunaskan pinjaman tersebut.
  • Jika ini berlaku, jangan sesekali berkata 'susahnya mohon pinjaman sekarang' sebaliknya salahkan generasi terdahulu yang menyebabkan perkara ini terpaksa diambil tindakan.

Kesimpulannya, janganlah sehingga tindakan penguatkuasaan dikenakan baharulah kita ada niat untuk membayar hutang yang telah menjadi darah daging kita. Sebaliknya, pasanglah niat dari awal bahawa apabila kita telah menerima sahaja wang pinjaman terrsebut, seboleh mungkin kita akan cuba untuk menyelesaikannya dengan apa cara sekalipun apabila tiba waktu yang telah ditetapkan.

Rasululullah SAW bersabda:

Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya
( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 ) 




sumber dari: sahromnasrudin.com

No comments:

Post a Comment