Pages

Thursday 2 August 2012

17 ramadhan -sambutan nuzul quran






Orang Islam Nusantara termasuk di Malaysia benar-benar ambil cakna tentang tarikh peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Tidak hairan apabila tiba tarikh-tarikh tertentu, pelbagai upacara persis perayaan disambut di pelbagai peringkat. Siapa kalangan kita tidak pernah mendengar tentang sambutan Maal Hijrah, Maulid Nabi, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Nuzul Quran, dan macam-macam perayaan lagi.

Dari satu sudut, sikap ambil peduli orang kita terhadap sejarah Islam, apatah lagi sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam patut dipuji malah disemai dalam masyarakat. Kerana ia secara langsung akan membenihkan rasa cinta dan kasih kepada baginda.
Cuma dalam keghairahan menyambut sambutan-sambutan bersejarah, wajar diperjelaskan kepada masyarakat dua perkara penting. Ia bagi memastikan perbuatan kita yang bersangkutan agama berasaskan fakta yang benar dan berpayung di bawah petunjuk agama.

Pertama, ialah memastikan kesahihan tarikh sesuatu peristiwa. Kita tidak boleh bergantung hanya kepada kepercayaan masyarakat semata-mata. Kerana kajian-kajian ilmiah masakini sudah membuktikan bahawa banyak tarikh-tarikh yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu, sebenarnya tidak berasas kepada bukti dan fakta yang berwibawa.
Untuk ini, kita hendaklah membuat kajian terperinci dan meluas terhadap sumber-sumber sejarah berpandukan metod yang diiktiraf dalam dunia akademik. Ataupun merujuk kepada ilmuan yang pakar dalam bidang sejarah dan riwayat.

Kedua, selepas ditemui dan dipastikan secara yakin tarikh yang tepat terhadap sesuatu peristiwa sejarah, perlu pula kepada persoalan adakah di sana syarak menganjurkan diadakan apa-apa sambutan terhadap peristiwa tersebut. Jika ada anjuran daripada syarak, maka kita hendaklah meraikannya sepertimana yang dianjurkan. Sebaliknya, jika syarak tidak menganjurkan apa-apa sambutan, janganlah kita terpedaya dengan amalan yang diada-adakan oleh orang terkemudian. Kerana amalan rekaan seperti ini pasti ditolak oleh Allah Taala.

Berpandukan kepada dua asas yang disebutkan, mari kita selusuri perayaan Nuzul Quran yang disambut pada 17 Ramadhan. Adakah terdapat sokongan daripada fakta sejarah atau tidak?

1) Tarikh Nuzul Quran

Selepas mengambil kira beberapa pandangan sejarawan Islam, serta bandingan hujah dan fakta setiap pendapat, memang ada kalangan mereka menyebut 17 Ramadhan sebagai tarikh permulaan turunnya Al-Quran. Tetapi tidak ada dalil sahih yang menyokong tarikh ini.

Yang ada hanyalah atsar daripada Abu Jaafar al-Baqir yang menyebut, “Permulaan turunnya wahyu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah pada hari Isnin, pada tujuh belas Ramadhan”. Atsar ini diriwayatkan oleh Al-Waqidi dengan rantaian sanadnya. (Al-Bidayah Wa Al-Nihayah 3/11).

Dari sudut ilmu kajian hadis, atsar seperti ini tidak diterima sebagai hujah. Selain ia tidak bersambungan sehingga Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, ia juga adalah riwayat Al-Waqidi yang dipertikaikan kewibawaannya dalam ilmu periwayatan.
Maka, jelas bahawa sandaran kepada sambutan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan tidak berasaskan kepada hujah yang dipercayai.

Di sana terdapat pendapat yang lebih kuat iaitu Nuzul Quran berlaku pada 24 Ramadhan (yakni: pada malam 25). Ia berdasarkan satu hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:
“Diturunkan Suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama Ramadhan. Diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan. Dan (diturunkan) Injil pada 13 Ramadhan. Dan diturunkan Al-Furqan (Al-Quran) pada 24 Ramadhan”.
Direkod dalam Musnad Ahmad (no: 16984), dan Mukjam Kabir Oleh Tabarani (no: 18036). Al-Albani menilainya sebagai hasan. (Silsilah Sahihah 4/104)

Antara dua tarikh iaitu 17 Ramadhan dan 24 Ramadhan, ternyata tarikh 24 Ramadhan lebih kukuh dari sudut fakta dan riwayat.

2) Adakah terdapat anjuran sambutan Nuzul Quran?

Samada kita berpegang kepada tarikh 17 atau 24, mahupun tarikh-tarikh lain, persoalan kedua ialah adakah syarak menganjurkan mengadakan sambutan apabila tibanya tarikh ini?

Wujudkah dalam dewan sunnah walau satu hadis yang bermaksud hendaklah dianjurkan apa-apa perayaan apabila tiba tarikh Nuzul Quran ini? Jawapan yang pasti ialah: Tiada!!

Beberapa dekad yang lalu pada tahun 1966, Kerajaan Pakistan melalui keduatannya di Arab Saudi mengutusi Kerajaan Arab Saudi meminta supaya dipastikan tarikh yang tepat terhadap Nuzul Quran. Ketika itu Pakistan bercadang membuat sambutan perayaan 1400 tahun Nuzul Quran. Oleh kerana banyak pendapat tentang tarikhnya di kalangan ulama Pakistan, kerajaan Pakistan meminta ketetapan tarikh daripada Kerajaan Arab Saudi.

Antara kandungan surat jawapan daripada Mufti Besar Arab Saudi ketika itu, Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali al-Syeikh ialah:

“Manakala perbahasan tentang keharusan menjadikan hari Nuzul Quran sebagai perayaan yang disambut saban tahun, maka sungguhpun tujuan penganjurnya baik, tetapi oleh kerana ia tidak dianjurkan syarak, tidak warid daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, juga tidak dinukilkan dari seorang pun khulafa rasyidin, dan seluruh sahabat dan tabien, tidak juga dinukilkan daripada empat Imam mazhab, Abu Hanifah, Malik, Syafie, dan Ahmad, dan tidak juga daripada imam-imam lain yang dituruti dari kalangan salaf dan khalaf, maka hendaklah diambil perhatian bahawa perbuatan seumpama ini adalah tidak harus dari segi syarak.”

Ini bererti perayaan Nuzul Quran yang disambut oleh masyarakat hari ini rupa-rupanya tidak ada langsung anjurannya daripada syarak. Ditambah pula dengan kedhaifan dalil yang menjadi hujah bagi tarikh 17 Ramadhan.

Yang paling saya ingin tekankan di sini, ialah dua elemen penting yang patut menjadi dasar dalam apa-apa sambutan perayaan dalam Islam. Pertama: Menilai kesahihan tarikh peristiwa. Kedua: Memastikan wujudkah anjuran syarak untuk diadakan perayaan sempenanya.

Dengan menyelesaikan dua jawapan secara akademik dan berfakta, In Sya Allah tindakan kita tidak akan terpesong daripada dasar-dasar Islam.

Wallahu A’lam.



sumber dari: abuumair1.wordpress.com

No comments:

Post a Comment