Pages

Thursday 9 August 2012

amalan sunnah di pagi raya





Setelah hampir sebulan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, sedar atau tidak, Syawal telah menanti bagi menggantikan bulan barakah ini. Bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam. Dalam bulan Syawal ini, selain menyambut hari kemenangan dalam perjuangan menundukkan hawa nafsu, ia juga merupakan hari melahirkan kesyukuran dan kegembiraan.

Makna Aidilfitri dan hakikatnya

Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidilfitri adalah bermaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada maknaFitrah. Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah merayakan fitrah. Fitrah apakah yang ingin dirayakan?

Ramadhan adalah madrasah pengislahan bagi membaiki diri dan membersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengambil manfaat daripada madrasah ini, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada bulan yang lain iaitu dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah.

Semestinya keceriaan di pagi hari raya tidak akan sempurna tanpa melakukan solat sunat Aidilfitri. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri merupakan sunat muakad (sunat yang digalakkan) yang dianjurkan oleh Rasulullah swt. Waktu untuk mengerjakan solat Aidilfitri adalah setelah terbitnya matahari sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha.

Kaifiat pelaksanaan solat sunat Aidilfitri:

Niat solat

“Sahaja aku solat sunat ‘AidilFitri dua rakaat mengikut imam/imam kerana Allah Taala”

Selepas membaca doa iftitah, takbir sebanyak 7 kali dan membaca tasbih di antara satu takbir dengan takbir yang lain. Selepas itu, bacalah surah Alfatihah kemudian bacalah surah pilihan. Surah yang lebih afdhal ialah surah Al’Aala

Pada rakaat kedua pula, takbir sebanyak 5 kali dan membaca tasbih di antara satutakbir dengan takbir yang lain. Selepas itu bacalah surah Alfatihah dan surah pilihan.Surah yang lebih afdhal ialah surah Al-Qasyiah.
(Lafaztasbih)

Usai solat Aidilfitri, kita disunatkan untuk mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Khutbah yang sarat dengan peringatan dan pengajaran ini tidak terhad kepada mereka yang menunaikan solat semata, tetapi kepada semua umat Islam keseluruhannya. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah menceritakan,

“Kami diperintahkan supaya keluar pada hari raya, sehingga kami (disuruh) membawa bersama anak-anak dara dan perempuan-perempuan haid lalu mengambil tempat di belakang orang ramai (bukan tempat solat). Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama orang ramai dalam keadaan mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya (hari dosa-dosa diampunkan)”.

Amalan-amalan sunat

Pada hari kemenangan ini, seharusnya momentum memperbanyakkan amal ibadah patut diteruskan. Salah satunya adalah dengan mengerjakan amalan sunat Hari Raya. Terdapat beberapa amalan sunat yang amat digalakkan apabila menjelang Aidilfitri, antaranya:

1. Menghidupkan malam raya dengan ibadat seperti takbir, zikir, solat sunat tahajjud dan membaca al-Quran
2. Mandi sunat pagi hari raya
3. Memakai pakaian terbaik yang ada. Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran
4. Memakai wangi wangian
5. Menjamah makanan sebelum solat Aidilfitri
6. Pergi awal ke masjid sebaik-baiknya dengan berjalan kaki .
7.Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi)
8. Budaya ziarah dan merapatkan silaturahim sesama Muslim
9.Bermaafan dengan ibubapa, keluarga serta rakan-rakan.


Ramadhan Melabuhkan Tirai

InsyaAllah, tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan akan melabuhkan tirai. Moga segala usaha untuk merebut keredhaan Ilahi di bulan mulia ini, menjadikan kita hamba yang lebih bersedia untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya pada bulan-bulan mendatang. Selamat menyambut Aidilfitri. Sambutlah kemenangan ini, dengan kesederhanaan. Moga dengan kesederhanaan ini, akan membuahkan keberkatan.

“Ya Allah, andai ini merupakanRamadhan terakhir buat kami, jadikan Ramadhan ini sebagai Ramadhan terbaik buat diri kami. Jika tidak (Ramadhan terakhir), panjangkanlah umur kami supaya kami dapat memperbaiki amalan-amalan kami sebelum bertemu denganMu. Moga Engkau memberi kesempatan kepada kami untuk menjadi tetamu di bulan Ramadhan akan datang”. 

 AmeenyaRabb




sumber dari: pmiupm.net

No comments:

Post a Comment