Pages

Friday 10 August 2012

ramadhan pengubat rindu








Adelaide, 09 Ogos 2012 – “Ramadhan Pengubat Rindu”. Itulah ungkapan yang amat sesuai untuk menggambarkan perasaan majoriti masyarakat melayu Malaysia yang sedang menjalani ibadah bulan puasa di bumi kangaroo ini pada hari sabtu dan ahad yang lepas. Kelab UMNO South Australia telah menganjurkan bazaar ramadhan pada hari sabtu (04 Ogos 2012) bertempat di Barr Smith Lawn Universtiy of Adelaide. Pada hari berikutnya bersamaan 05 Ogos 2012, MyPSA dengan kerjasama ISMA SA, MASCA SA, Kelab UMNO SA dan KIA telah mengadakan program berbuka puasa atau lebih dikenali sebagai iftar dan solat sunat terawih secara berjemaah di Payneham Library & Community Facilities.

Bazaar ramadhan yang telah berlangsung sabtu lepas begitu meriah kerana dibanjiri dengan pelbagai lapisan umur masyarakat Malaysia. Tidak ketinggalan juga, penduduk tempatan turut sama-sama memeriahkan bazaar ramadhan ini. Bazaar ramadhan yang bermula seawal pukul 3.00 petang waktu tempatan dan tamat dalam 5.40 petang ini telah memuatkan sebanyak 8 gerai yang mempunyai keistimewaan masing-masing. Sambutan yang hangat daripada semua masyarakat yang hadir telah melariskan jualan setiap gerai yang beroperasi dalam 2 jam lebih ini. Kelab UMNO SA telah memberikan bubur lambuk secara percuma kepada setiap pengunjung yang hadir.

Pada keesokkan harinya, satu lagi program yang mengubat rindu masyarakat melayu telah diadakan atas inisiatif MyPSA dengan kerjasama kelab-kelab yang lain. Progam iftar ini telah dihadiri oleh masyarakat melayu di Adelaide yang hampir mencecah sebanyak 500 orang. Program ini bermula seawal pukul 5.00 petang dan tamat sejurus selesai solat sunah terawih secara berjemaah dalam pukul 8.00 petang. Program ini begitu istimewa kerana dihadiri oleh seorang ustaz jemputan daripada Malaysia iaitu Ustaz Fauzi. Ustaz Fauzi telah mengimamkan solat sunat terawih dan memberikan sedikit sebanyak tazkirah untuk tatapan para jemputan yang hadir.

Semoga program-program sedemikian akan diadakan lagi pada bulan ramadhan tahun hadapan dan tidak lupa juga, semoga kerjasama antara kelab-kelab pelajar seperti MyPSA, ISMA SA, Kelab UMNO SA, MASCA SA dan KIA dapat diteruskan untuk program-program yang akan datang. ISMA SA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada yang turut menjayakan program bazaar ramadhan dan iftar yang mampu mengeratkan lagi ukhuwah sesama saudara seagama islam khususnya masyarakat melayu Malaysia.



sumber dari: ismaaustralia.com

No comments:

Post a Comment