Pages

Thursday 30 August 2012

pelancaran bulan kemerdekaan 2012






KUALA LUMPUR 17 Julai - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bertemakan Janji Ditepati tahun ini bermula secara rasmi dan penuh bersejarah menerusi pelancaran serentak Kibar Jalur Gemilang di tiga lokasi berbeza malam ini.

Di Little India, Brickfields, pelancaran Kibar Jalur Gemilang itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula merasmikan majlis itu di Kampung Baru.

Satu lagi majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Jalan Petaling, di sini.

Ketiga-tiga lokasi itu dipilih bagi melambangkan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang mana setiap kawasan itu mewakili kaum majoriti Melayu (Kampung Baru), Cina (Jalan Petaling) dan India (Little India).

Najib dalam ucapannya berikrar tidak akan membenarkan mana-mana pihak menodai kemerdekaan negara yang diperolehi hasil daripada perit jerih pejuang-pejuang tanah air terdahulu.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negara ini tidak kira kaum dan agama merapatkan segera barisan, meningkatkan perpaduan serta memupuk semangat yang sama supaya kemerdekaan negara dapat terus dipertahankan.

Kata beliau, kemerdekaan merupakan sesuatu yang tidak ternilai dan berasaskan itu juga setiap rakyat atas satu suara, satu impian, satu harapan serta semangat 1Malaysia perlu berganding bahu supaya kemerdekaan yang dikecapi 55 tahun lalu sentiasa terpelihara.
"Ayuh kita rapatkan barisan agar nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini dapat dipertahankan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, rakyat tidak boleh alpa dengan nikmat kebebasan yang dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan, sebaliknya, nikmat tersebut bukan sahaja perlu dipelihara tetapi mesti dihayati semua pihak.
Katanya, kemerdekaan yang dinikmati itu tidak datang secara mudah tetapi hasil perjuangan dan pengorbanan pejuang negara terdahulu dan nikmat itu harus dipertahan melalui perpaduan di kalangan rakyat.
Menurut beliau, rakyat yang bersatu padu dan bekerjasama adalah benteng paling kukuh dalam menghadapi sebarang ancaman yang mahu menganggu-gugat kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Tiong Lai pula menyifatkan usaha mengibarkan Jalur Gemilang merupakan simbol perpaduan dan identiti 1Malaysia yang dapat membangkitkan semangat jiwa merdeka di kalangan rakyat berbilang kaum.
Katanya, rakyat Malaysia harus bangga mengibarkan Jalur Gemilang yang merupakan lambang persefahaman, perpaduan, dan toleransi antara kaum di Malaysia.



sumber dari: utusan.com.my

No comments:

Post a Comment