Pages

Thursday 2 August 2012

khutbah jumaat nuzul quran 1432H





16 Ramadhan 1432H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
الٓمٓ ﴿١﴾ ذَ‌ٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Hadirin yang dirahmati Allah,

17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran, Kalam Allah s.w.t. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.

Sidang Jumaat Sekelian,
Penurunan Al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada 17 Ramadhan. Al-Quran seterusnya diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun. Firman Allah s.w.t.:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil” - Surah al Baqarah ayat 185.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berapa ramai di kalangan umat Islam yang benar-benar menyedari bahawa al-Quran adalah merupakan mukjizat yang paling besar diberikan oleh Allah kepada manusia. Kehebatan bahasanya, keindahan ayatnya dan keunggulan isi kandungannya menjadikan al-Quran tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kitab lain. Cabaran Allah terhadap manusia dari zaman berzaman tidak pernah disahut sehingga ke hari ini.

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ﴿٢٣﴾

Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah yang setanding dengannya serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah jika kamu orang yang benar - Surah al Baqarah : 23.

Saudara Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Al-Quran telah terbukti berjaya membentuk para sahabat menjadi generasi al-Quran yang unik ( جِيْلُ الْقُرْآنِ الْفَرِيْد ) di bawah pentarbiahan secara langsung oleh Rasulullah saw. Generasi ini telah membawa panji-panji kebenaran Islam sehingga dikecapi oleh umat manusia sejagat.

Generasi ini berjaya membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah. Generasi ini telah berjaya mengeluarkan segala bentuk penindasan dan kezaliman sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam.

Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran telah diakui oleh Perdana Menteri Britain yang pertama sebagaimana ungkapannya:
“Selama mana kitab ini (Al-Quran) berada di tangan orang Islam, maka selama itulah Eropah tidak akan dapat menguasai Timur Tengah”

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu apabila hilangnya sistem khilafah. Umat Islam bagaikan kehilangan tempat mengadu segala masalah yang kita hadapi.
Kita hanya mampu merayu kepada musuh agar tidak menzalimi kita kerana kita tidak dapat mengharapkan bantuan daripada negara-negara umat Islam yang lemah dan berpecah belah. Kekuatan umat Islam tidak akan dapat dikembalikan selama mana kita tidak menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat Islam hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar. Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :

a. Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu mendengarkannya.
b. Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c. Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d. Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran.
e. Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f. Berpaling daripada Al-Quran kepada yang lain

Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita selalu mengatakan kita berpegang teguh dan tidak meninggalkan al-Quran. Kita sering mendengar ungkapan mengajak manusia kembali kepada al-Quran. Namun kita masih melihat berbagai tindakan kita yang bercanggah dengan al-Quran. Kita seringkali memutuskan sesuatu dan kemudiannya mencari dalil keharusannya di dalam al-Quran.

Dalam urusan kehidupan seharian selain persoalan ibadat, kita sering kali tidak bertanya apa kata al-Quran seolah-olahnya urusan kehidupan tidak ada kena mengena dengan al-Quran. Kita mengatakan bahawa isi kandungan al-Quran adalah yang terbaik tetapi kita masih memilih untuk melaksanakan peraturan yang bercanggah dengan al-Quran.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.

Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya.

Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain daripadanya. Jika kita masih masih memandang serong apatah lagi menentang ajaran al-Quran maka Ramadhan sebenarnya memang bukan untuk kita, maka bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari Allah swt.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak.



sumber dari: idhamlim.blogspot.com

No comments:

Post a Comment