Pages

Saturday, 7 September 2013

Siri Bacaan Cabar Fikir 2






Kepelbagaian, Kepelikan

Mulai dari tiba ke Madinah dan berakhir di Mekah, Kita akan melihat pelbagai cara dan gaya oleh pelbagai manusia dalam melakukan amal ibadah. Di Madinah, kita menyaksikan antaranya:-

(1)  Apabila pintu babul salam Masjid Nabawi dibuka, manusia berebut dan bekejaran masuk ke dalam. Apa yang dicari? Berebut saf pertama? Alhamdulillah. Begitu juga apabila  Raudah dibuka? Manusia berebut memasuki taman syurga? Sebegitu penting dan berharga? Perlukah sampai begitu sekali caranya? Bila berdesakan, timbul risiko kecederaan.  Alasan, kita hamba yang berdosa, tinggalkan keluarga, tanah air kini jauh di mata. Sedikit kesakitan, kecederaan bertukar kepuasan. Dapat beribadah, berdoa di tempat mustajab lagi istimewa. Raudatulul Jannah, Taman Syurga.  

(2) Tahukah kita, apabila selesai solat jenazah di Masjid Nabawi, jenazah itu akan diusung dengan berlari sehingga ke perkuburan Baqi? Sebegitu kesungguhan ingin menyegerakan perkebumian, sedangkan di Malaysia, 3 langkah pertama dengan gaya perlahan. Al-fatihah, dibacakan.

(3) Dalam pada itu, kelihatan sebahagian manusia yang berdoa mengadap maqam Rasulullah. Lalu dimarahi pengawal dan disuruh mengadap kiblat. Ada pula yang mengusap besi-besi pintu di maqam nabi  dengan sapu tangan atau kain serban.

(4)  Saya juga masih ingat bagaimana jemaah berebut untuk solat di depan ruangan mimbar berdekatan Raudah, sedangkan didepannya terpacak pegawal arab berjubah. Bahkan dalam kesempitan itu ada seorang Indonesia yang lebih mengadap mimbar tetapi tersengit dari arah kiblat. 

(5) Di Mekah pula, kita melihat jemaah wanita menyertai solat jenazah tetapi di Malaysia, tidak kita perasaan wanita bersolat jenazah, sendirian atau berjemaah. Kenapa? Dalam hal tawaf pula, kita lihat ada dilakukan secara berpasukan dengan diketuai ‘ala-komando’ tak tahulah diupah dari kalangan ustaz atau kaki gaduh. Berzikir dan berdoa beramai-ramai secara kuat, seolah-olah kumpulan dia sahaja yang nak beribadat.

(6) Saya masih ingat sekali hal sekumpulan jemaah asing. Sebutan takbirnya agak pelat -allahu achbar- allahu achbar. Kenapa sebegitu pelik sekali sebutan suatu bangsa dari negara T___ yang di masa silam pernah mentadbir empayar Islam. Mungkinkah ia natijah tumbangnya pemerintahan khalifah diganti sistem sekular? 

(7) Kita juga kadangkala hairan melihat perangai orang lelaki, ada yang memakai ihram secara ittiba pada sepanjang hari walaupun tidak bertawaf lagi. Ada berihram secara ittiba pada semua pusingan. Ada yang pada sekadar awal 3 pusingan. Bagaimana pula dengan raml, adakah ia berlari-lari anak atau larian kecil pasukan tentera? Begitu juga semasa saie, Ada yang memakai ihram secara berittiba? Adakah ia kejahilan atau ketidakpedulian atau perkara remeh, tak perlu diberi perhatian?

(8) Kita juga tidak dapat lari dari terlihat sekian ramai wanita tidak memakai sarung kaki. Bersebabkan kebanyakan berkulit sedikit kehitaman, kita merasa mereka dari sebelah India, Bangladesh atau Pakistan. Setahu kita 4 mazhab (ahlul sunnah) sepakat ia adalah aurat. Mungkin ada mazhab (Hanafi?) memberi kelonggaran atau pengecualian tetapi adakah pergelangan kaki (1) tidak langsung dikira aurat, atau (2) hanya boleh terdedah semasa darurat? Kalau yang pertama (1), habislah kita. Apa lagi nak dikata. Kalau yang kedua (2), bolehlah kita tegur tok alim mereka. Takkan semasa tawaf tak boleh nak bersarung kaki (stokin) untuk menurup aurat, mana boleh dikira darurat. Lainlah semasa berwudu’ ditempat terbuka atau di zaman purbakala, ketika itu stokin mudahpakai belum dicipta.  

(9) Tumit-tumit mereka yang menganggu konsentrasi langkah kita. Semasa bertawaf secara berihram, bagaimana nak memberi tumpuan, asyik kena tengok kaki didepan. Tumit-tumit merekalah yang kekadang kita tersepak. Kaki-kaki merekalah  yang kekadang menyepak tumit-tumit kita.

(10) Kekadang kita juga melihat keadaan tudung mereka yang perlindungan aurat tidak   sesempurna tudung jemaah wanita kita, sekalipun dibandingkan dengan artis wanita tanah air, bertudung labuh sempurna sekali, walaupun tidak bertudung di negara sendiri. Lihat pula lelaki-lelaki sana yang mengiringi wanita mereka, berjanggut tebal dan panjang yang kalau di Malaysia kategori ustaz atau ahli ibadat. Berjanggut adalah sunnah tetapi kekadang ia lebih mudah kerana telah menjadi budaya. Jadi, jangan sekadar melihat luaran untuk mengukur keilmuan. Perhatikan juga pada perlakuan ibadah, adakah menepati sunnah.

(11)  Di Multazam, kita melihat ramai yang melekap badan, pipi dan tangan. Apakah yang   dilakukan? Merintih dan berdoa? Kenapa berbeza cara? Adakah kita mengerti mengapa? Janganlah sekadar ikutan tanpa mengetahui rahsia dan hikmah perlakuan? Ia membantu kita dalam penghayatan dan kekusyukan. Begitu juga halnya dalam perebutan untuk memasuki Hijir Ismail. Adakah kita turut merebut kerana ikutan-ikutan, atau kita faham kelebihan dan tahu apa nak lakukan bila diberi peluang dan kesempatan. Maksud saya, melakukan amalan mengikut sunnah, seperti disaran kekasih Allah.  

(11) Kita juga melihat orang ramai bergasak berebut untuk mencium Hajar Aswad? Kalau tak bergasak dan berdesak, kalau tak digunakan kudrat, tak nampak bagaimana boleh dapat. Ciuman nikmat. Tentu sukar dikata, tiada siapa akan disakiti. Kita tidak berniat menyakiti tetapi kemungkinannya sering ada yang disakiti. Secara sedar atau tidak, sengaja atau tidak. Melihat keadaan begitu, siapa yang masuk gelanggang pasti tahu apa yang akan dilaluinya itu. Seolah-olah wujud persetujuan tersirat. ‘Consensus’ pemikiran untuk reda disakiti pada kadar berpatutan. Mungkin ada yang sengaja menyakiti, tetapi itu satu, dua manusia yang sakit pada jiwa dan hati. Yang lain tak mungkin berniat di hati atau bersengaja pada perlakuan untuk menyakiti.

(12) Sebaliknya, selalu juga kita baca hal pengalaman insan-insan terpilih yang dapat  mencium Hajar Aswad tapi menafikan mereka bergasak, merebut atau menyakiti sesiapa. Seolah-olah jalan terbuka luas untuk mereka. Lalu mencium Hajar Aswad dengan mudah tanpa bersusah payah. Justeru tanpa melalui proses kemaknusiaan dan kemunasabah seperti manusia kebanyakan. Tentu dari segi logik, rasional dan akalbudi,  kita sukar percaya dakwaan sebegini. Kalau begitu, secara ajaib dan pelik, ia berlaku.  Benarlah, jika Allah  mengkehendaki, pasti terjadi. Memanglah, kalau ia berlaku secara ajaib dan pelik, kita pun takleh nak kata apa. Ia tidak dapat dibuktikan. Mungkin kalau tidak ada keperluan, tak perlu dicerita, lebih baik dirahsia. Hanya yang mengalami sendiri yang mengetahui. Cuma sesiapa sahaja boleh mendakwa, jadi tak kisahlah kalau ada yang tak nak atau nak percaya. Percaya kepada diri yang mengaku, bukan pada, sama ada ia tidak boleh, atau boleh berlaku. 

(13) Ramai di antara kita yang dapat mencium juga tapi kita tahu mereka telah perlu menggunakan kadar tenaga yang banyak dan terpaksa melalui proses usaha yang lasak tapi bukan untuk bergasak. Berusaha bukan berebut, melalui bukan meredahi. Tiada niat dan tanpa tindakan kesengajaan untuk menyakiti pada diri, hati dan perasaan. Sesiapa jua tanpa pengecualian. Itu adalah proses kemanusian dan logik musabab yang perlu dilalui tetapi dengan izin dan kurnia illahi, nikmat cium itu diperolehi. Bila selesai, kita menoleh kebelakang, kita juga pelik dan hairan bagaimana kita mampu melakukan, kalau sekadar bergantung pada kudrat dibadan. Yakinlah kita ia juga keajaiban, nikmat dan kurniaan. Ada yang bergasak dan berkasar  serta sengaja menyakiti, tapi kalau Allah tak izinkan, pasti tiada sesiapa dapat melakukan. Tapi… bolehkah kita berhujah begini?

(14)Kes paling mencabar kesabaran kita dan ilmu kita ialah apabila kita didatangi wanita yang berdiri untuk bersolat disebelah kita. Ada masa tu, di depan kita pula. Apakah tindakan yang patut kita lakukan mengikut petunjuk sunnah? Adakah kita diajar ustaz di Malaysia? Disuruh beredar sahaja. Kalaulah ada ruang solat lain tersedia untuk kita. Kalau tiada, macammana. Kawasan tawaf yang padat, bilal sedang melaungkan iqamat. Lalu?

(15)Jemaah Indonesia memang ramai yang bersolat sebelah menyebelah, lelaki dan wanita. Jemaah negara-negara lain pun ada yang begitu juga. Akhirnya, jemaah Malaysia pun ada yang terikut sama. Mata ini menyaksikannya. Sepasang suami isteri dari satu pakej yang sama, bersolat sebelah-menyebelah sedangkan tiada keperluan memaksa dan tiada masalah apa-apa. 
(16) Dalam hal lain pula, manusia begitu selamba melintasi atau lalu-lalang di hadapan orang yang solat. Mungkin ramai yang jahil. Masih tidak tahu hukum. Sesungguhnya ketahuilah! melintasi di hadapan orang yang solat khususnya di dalam anggaran kawasan sujudnya adalah suatu perbuatan yang haram dan berdosa. Mungkin ramai juga yang tahu tapi menganggap ia terpaksa dan perlu. Dikira daruratlah tu. Konon keadaan begitu mendesak dan  kesesakan, menjadikan ia ibarat satu keterpaksaan. Dusta!

(17)Kita melihat sendiri gaya perlakuan orang yang lalu-lalang di depan orang solat itu seperti tidak tahu hukum atau tidak kisah hukum. Mereka melintas dengan selamba, selalu dan kerap, tanpa rasa bersalah dan merasa tidak kisah.  Jika mereka harus melintas di depan orang solat kerana menggangap ia satu keterpaksaan akibat kesukaran yang tidak dapat dielakkan, ‘bahasa badan’ tentu ada kelainan. Raut muka juga pasti berbeza. Rasa bersalah. Rasa berdosa. Dah cuba cari jalan lain, tetapi tiada. Jadi, terpaksa dilakukan juga, kerana sebab yang memaksa. Sakit perut, wuduk terbatal dan sebagainya.

(18)Isu wuduk. Isu Sentuhan. Isu batal atau  tidak batal wuduk. Isu batal atau tidak batal wuduk kerana sentuhan. Bukan kerana keluar angin  kus-kus dari badan.

(19)Isu ini masih  terus diperkata. Takkan selesai punya. Sampai bila-bila. Selagi begitulah pendirian dan pendekatan kita. Memang tiada salahnya. Tetapi letihlah setiap tahun, kena disampai cerita yang sama. Maklumat yang dahulu kepada jemaah baru. Setiap tahun asyik begitu. Pembimbing haji atau dalam kursus haji terpaksa mengulang-ulang, sampai mereka sendiri dah begitu hadam. Mungkin timbul bosan, penjelasan ditakuti jadi kurang berkesan. Tapi kita katakan kepada mereka, bukankah ada kebaikan, keperluan tugasan terus berpanjangan.
(20)Maksud saya, takkan jadi isu yang dapat diselesaikan, bukan maksudnya, isu itu tidak selesai. Tapi isu itu dan penyelesaiannya itu, akan terus diperkata saban tahun. Sentiasa ada yang tidak faham, maka pertanyaan demi pertanyaan diutarakan. Penjelasan demi penjelasan kemudian diberikan. Sehingga semua diharap dan disangka faham.  Namun kesan kepentingannya dua iaitu (1) sebahagian masih tidak tahu (2) sebahagian tahu, tapi  merasa sukar untuk menyesuaikan dengan ‘hukum’ baru sedangkan selama ‘7 keturunan’ beramal dengan kepercayaan demikian, tiba-tiba disuruh berubah sekadar untuk sebulan.   

(21)Pembaca mungkin tidak faham apa yang dibebelkan. Itulah sebahagian tujuan, buat permulaan untuk mencetuskan rasa keinginan. Keinginan kepada kebenaran. Mengapa semua yang di atas dikatakan? Beginilah dipermudahkan. Semoga dapat pencerahan.

(22)Dalam soal sentuhan yang  membatalkan. Selama zaman berzaman, dari generasi ke generasi. Kita bepegang kuat kepada satu pandangan yang menghukumkan sentuhan lelaki dan wanita bukan muhrim dan isteri adalah batal walaupun tanpa rasa syahwat. Itulah yang kita pelajari sekian lama dan kita amalkan, zaman berzaman.

(23)Namun bila haji, umrah dan ziarah hendak dilaksanakan, di Mekah dan Madinah, kita kebingungan. Manusia terlalu ramai, lelaki dan perempuan bercampuran. Persentuhan  sukar dielakkan. Mungkin dalam keadaan biasa, kita boleh menutup kaki dan tangan.  Tapi bagaimana dengan kerja umrah dan haji, ibadah utama diperintah illahi. Sebahagian tubuh perlu didedahkan, terutama kaki dan tangan. Tawaf pula mesti dikerjakan, dengan wuduk dikekalkan, syarat kesahan.  Lalu, bagaimana dapat bertawaf 7 pusingan, tanpa risiko sentuhan.  Mana mungkin dapat dilakukan?

(24)Kecewa dan tertekan. Macammana nak khusyuk dan memberi tumpuan. Pegangan (hukum) kita dalam hal ini, kurang praktikal untuk ibadah haji. Sedangkan penganut kefahaman lain tenang tanpa kerisauan. Sentuhan tanpa syahwat, tidak membatalkan. Tak kiralah dengan isteri atau lain-lain perempuan.

(25)Akhirnya kita tiada pilihan, bertaklid kepada pegangan lain terpaksa dilakukan. Begitulah   diputuskan dalam sesuatu masa dan keadaan. Timbullah kisah bermacam-macam.  Sebahagian menjadi gurauan. Ialah, jika berwuduk, makan unta itu dikira membatalkan.

(26)Masa berlalu. Kekadang kita terasa malu. Bertaklid kepada pegangan (mazhab) yang berbeza bukan suatu yang kita suka. Sama ada mazhab Hambali, Hanafi atau Maliki. Mazhab Shafie tetap dihati. Namun bila berlaku situasi ini, seolah pegangan mazhab yang kita miliki, tidak sepraktikal yang mereka anuti.

(27)Haji. Pada ibadah paling utama, pendapat hukum pegangan kita, kelihatan kelemahannya.  Mungkin ada suara yang memerli dan mengata. Bagi segelintir yang tiada kerja cari kerja. Fanatik tanpa sebab nyata. Ketahuilah, mazhab-mazhab ini sekadar penerang hukum dan agama  bukan pencipta atau pembawa hukum dan agama. Agama itu ialah apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.  atas perintah Allah Azza Wa Jalla.

(28)Akhirnya terdengar maklumat tapi ketepatan fakta belum pasti. Fakta lengkap juga belum diperolehi. Pembaca boleh merujuk pihak urusan haji. Terdapatnya  pandangan minoriti dalam mazhab Shafie. Wuduk tidak terbatal lagi, jika bersentuhan antara perempuan dan lelaki. Pandangan berbeza dalam mazhab kita juga, tentulah amat bermakna. Tiada keperluan lagi untuk menoleh ke Mazhab Hambali atau Hanafi. 

(29)Pandangan relevan ini. Adakah boleh untuk umrah biasa atau sekadar semasa Haji. Bagaimana tafsiran dan keluasan. Had dan pemakaian. Adakah berbeza menyentuh dan disentuh? Adakah semasa tawaf sahaja atau sepanjang masa? Jika sekadar musim haji, bagaimana umrah di bulan Ramadan, manusia ramai sekali seumpama semasa musim haji. Timbullah pelbagai persoalan, sebahagian jawapan ada diketahui, namun kami memohon pembaca mencari jawapan sendiri. Kami takut terkhilaf dan mempengaruhi.

(30)Mengapa Jadi Begini
Begitulah apa yang dikehendaki berlaku. Telahpun berlaku. Tetapi mengapa harus melalui proses begitu. Mengapa perlu keterikatan, sedangkan agama itu memudahkan. Bukankah nabi telah mengingatkan kita, tiada orang yang memayah-mayahkan dalam agama ini melainkan dia sendiri yang kecewa (tewas). Sekiranya kita memayah-mayah dalam hal pembatalan sentuhan, nescaya yang kecewa dan tertekan, jemaah kita juga, kan.

Bayangkan semasa 2-3 tahun lalu saya pergi haji, isu ini masih dibincangkan. Entahlah, bagaimana keadaan jemaah kita, 3, 4,5,6,7,8,9,10 tahun yang lalu.

Mazhab-mazhab penting dan relevan sebagai penerang agama namun sunnah nabi, itu yang utama. Jika kebenaran sunnah dikatakan ada pada mazhab yang berbeza, tidaklah mengapa, yang penting sandarannya. Asalkan ia berdalil sahih, al-Quran dan hadith. Itulah sunnah, itulah agama. Tidakkah cukup kuat untuk berpaut padanya!

Kita bukan bertukar mazhab. Mazhab syafie sudah dihati, tidak perlu ditukar ganti. Tapi janganlah bertaklid ‘sampai sanggup mati.’ Fanatik tanpa hujah.  Kita ikutlah prinsip ulama hebat dalam mazhab syafie sendiri, seperti antaranya imam Nawawi dan Ibnu Hajar al-Asqolani. Masih membuka ruang kepada perbezaan. Mengutamakan amalan yang kuat sebagai pegangan. Hadith sahih diutamakan, mengatasi qias dan pemikiran. Walaupun kekadang terpaksa menjengah diluar pegangan kumpulan. Bukan selalu, sekadar kekadang. Hanya bila wajar dan memerlukan. 

Petunjuk nabi yang kita ikuti. Mazhab hanya membantu sekadar yang ia dapat membantu. Sekiranya di sana ada hadith sahih, atau beberapa hadith sahih yang membuka ruang pemahaman dan ijtihad kepada 2 pendapat dalam hal sentuhan batal secara mutlak dan sentuhan batal bila ada syahwat. Maka selesai masalah. Pilihlah antara dua. Pilihan pertama agak menyeksa, di sana, terpaksa bertukar kepada pilihan kedua. Tetapi pilihan kedua menjadikan kita konsisten dari dulu kini dan selamanya. Di Malaysia, di mekah, madinah atau di mana sahaja. Hatta ketika Syeikh Muszaphar di angkasa.   

Pilihan kedua tentulah melegakan suami dan isteri, ketika di tanah suci. Hakikatnya, sunnah meletakkan keterbukaan dan pilihan. Suami dan isteri itu tidak terbatal wuduk, asalkan sentuhan itu tanpa syahwat, yang difahami ertinya oleh semua dewasa. Cukuplah berkenaan sentuhan, ada perkara lain perlu juga dibicarakan.

(31)Kita juga hairan melihat seseorang yang telah tidur secara baring, lena dan berdengkur tiba-tiba terus bangun dan bersolat. Tak terbatalkan dengan tidur sebegitu? Benarkah ada hadith menyatakan bahawa  nabi juga pernah tidur berbaring, bangun semula dan solat. Tapi mata nabi mungkin tidur, hati nabi tidak tidur (tidak lalai dari mengingati Allah). 

(32)Adakah kita memahami maksud ‘berbantah-bantah’ yang dimaksudkan boleh menjejaskan haji, sebab agak ramai juga berbantah-bantah dengan penjual ditepi jalan disekitar Madinah dan Mekah.

(33)Bagaimana pula berbantah demi menegakkan kebenaran dan kebaikan? Adakalanya kita kena bertegas dan berhujah untuk menzahirkan kebenaran,  menegak makruf dan mencegah mungkar. Pastinya dakwah ‘mauizatul hasanah’ dan ‘bil-hikmah’ tidak terhenti sekalipun dibumi paling suci. Ada ulama berhujah begini. Tidak mengapalah, perkara ini masih boleh dibahaskan lagi.
(34)Bagaimana pula cara paling sunnah dalam berhadapan dengan maqam nabi? Sekadar meminta syafaat dan berselawat. Bolehkah kita berbicara lebih lagi? Ada sahabat tabligh memberi idea supaya membentang  ‘report’ kepada Nabi s.a.w. Laporan ‘diri dan dakwah’ setakat mana tugas sunnah itu telah dilaksana. Sesuai dengan manhaj gerakan tabligh, agaknya.

(35)Di musim haji, kerajaan Arab Saudi pula membahagikan buku-buku agama kepada para Jemaah haji. Kebiasaannya buku-buku tersebut diberikan di terminal kedatangan di lapangan terbang Jeddah, Madinah, Riyad dan di pelabuhan Jeddah. Buku-buku yang diberikan adalah mengenai manasik haji dan mengenai masalah-masalah keislaman lainnya seperti solat, puasa, akidah, tauhid dan lainnya. Inilah catatan seorang penulis buku bertajuk Rahsia Haji berstatus Profesor Madya. Beliau juga dipercayai ahli panel syariah atau seumpama kepada pihak berkuasa urusan haji. Sedangkan dalam masa yang sama, pada realiti dan praktiknya wujud larangan oleh pembimbing haji agar jemaah jangan membaca bahan bacaan yang diterima sepanjang proses haji.  

(36)Begitulah adanya. Terdapat sekian banyak lagi perkara-perkara lain yang berlaku di Mekah dan Madinah, yang mengusik sikap ingin tahu kita, kenapa, mengapa dan bagaimana?

(37)Begitulah. Pelbagai perkara yang kita terperasan atau tidak terperasan. Pasti ada sebahagian kecil dari kita yang bersifat seperti saya. Tidak dapat untuk tidak berbuat apa-apa. Tidak mampu untuk tidak endah atau tidak kisah. Tidak sanggup untuk memikirkan apa yang berlaku; perbezaan, kepelbagaian, kelainan dan kepelikan yang disaksikan, dibiarkan berlalu. Tidak teringinkah mendapatkan jawapan bagi sekian macam kemusykilan.

Kepada Bakal-bakal Haji dan yang juga kepada mereka yang berminat soal ibadah haji.
Tidakkah kita mempunyai kemusykilan-kemusykilan yang sama atau sebahagian daripadanya atau lain daripadanya. Setakat mana kita berusaha mencari jawapannya? Atau kita telah mempunyai semua jawapannya atau sebahagian jawapannya. Maka kongsikanlah….
Saya pula fikir saya pun juga ada sebahagian jawapannya… tapi tak tahu betul… atau sebaliknya. Kalau salah tolong tunjukkan, betulkan…

Untuk Jawapan saya anda boleh lihat dalam Blog saya. 


sumber dari: tranungkite.net

No comments:

Post a Comment