Pages

Friday, 6 September 2013

11 remaja Cina bersunat




11 remaja Cina bersunat


PASIR MAS – Walaupun amalan berkhatan menjadi kemestian dalam kalangan umat Islam, namun masyarakat Cina di Kampung Pasir Parit menjadikannya sebagai tradisi sejak sekian lama.

Remaja, Justin Khor Han Shen, 15, berkata, dia sudah menanam niat mahu berkhatan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Justin berkata, ibu bapanya juga tidak menghalang malah menggalakkan untuk bersunat sepertimana yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang lain.

“Sebelum bersunat, saya ada bertanya kepada rakan saya yang beragama Islam dan mereka banyak memberi semangat agar tidak takut ketika berhadapan dengan ‘tok mudim’. “Keberanian saya mula timbul apabila melihat kanak-kanak Islam tidak gentar mahupun menangis ketika dikhatankan. Malulah jika saya yang sudah remaja, menangis ketika bersunat,” katanya semalam.

Menurutnya, rakannya juga ada memberi semua petua serta pantang larang sebelum dan selepas bersunat, agar ia tidak memudaratkan kesihatannya kelak.

Tradisi keluarga turun-temurun

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Gerakan Kelantan, Albert Khor berkata, tradisi berkhatan bukanlah perkara baru kerana ia dilakukan lebih 50 tahun lalu. “Ini bukan suatu yang pelik kerana rata-rata lelaki yang mencecah usia lapan tahun, akan bersiap sedia untuk berkhatan. Tanya sahaja penduduk lelaki di kampung ini, pasti sukar untuk mencari yang belum bersunat,” katanya.

Menurutnya, amalan ini diterima oleh masyarakat Cina kerana menjadi tradisi turun-temurun bermula daripada nenek moyang yang menetap di Pasir Mas puluhan tahun lalu. Albert berkata, tiada salahnya untuk berkhatan kerana ia baik dari segi kesihatan malah kebersihan turut terjamin. Katanya, amalan yang baik daripada kaum lain boleh dibuat, kerana ia memberi manfaat kepada pelaku malah ia juga tidak menyalahi agama yang dianuti. “Kanak-kanak masa kini bertuah kerana tidak akan merasa sakit kerana pelbagai kemudahan serta teknologi digunakan ketika bersunat. Berbeza dengan zaman dahulu, kami disunatkan tanpa menggunakan bius malah penggunaan batang pisang turut menyakitkan mereka sehingga sebulan lamanya,” katanya.

Menurutnya, penggunaan teknologi dan ubat ini dapat mempercepatkan proses pemulihan daripada sebulan kepada hanya tiga hari.

Generasi kelima

Sementara itu, Tok Mudim Kampung Buluh Melintang, Kangkong, Mohamad Suhaimi berkata, dia tidak menyangka seramai 11 remaja berbangsa Cina berusia lapan hingga 18 tahun berani untuk berkhatan.

Sebelum ini katanya, alternatif berkhatan secara separa tradisional dan moden ini, hanya disertai oleh pelajar Melayu. Menurutnya, dia menjadi tok mudim sejak 20 tahun lalu dan menjadi kepakaran turun temurun sejak lima generasi lalu. “Saya belajar daripada arwah bapa dan datuk, yang mana ketika itu masih lagi menggunakan rawatan tradisional. Ketika itu, remaja yang bersunat tidak dibius dan tidak dijahit, sebaliknya hanya dibalut menggunakan kain sehingga menyebabkan terpaksa berpantang selama sebulan,” katanya.

Beliau berkata, kaedah bersunat yang digunakan kini lebih moden dan tidak memakan masa yang lama untuk berpantang. Mohamad yang juga peniaga dan pembuat batu nisan menasihati remaja yang berkhatan, agar mematuhi semua pantang larang pemakanan, agar proses penyembuhannya lebih cepat.


sumber dari: sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment