Pages

Saturday 2 November 2013

Perlis mahu jadi hab ulam terkemuka






Perlis akan mewujudkan hab ulam berikutan perkembangan dan potensi pasaran ulam-ulaman yang semakin meluas dalam masyarakat di negara ini.

Penubuhan hab itu juga bertujuan menarik minat generasi muda untuk mengenali ulam-ulaman di negeri ini dan sebagai salah satu pendekatan untuk mereka menjadikan ulam sebagai makanan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, usaha tersebut akan dipergiatkan dan peranan itu perlu dimainkan oleh agensi berkaitan dalam memberi maklumat khasiat ulam-ulaman terhadap kesihatan.

Katanya, berdasarkan sambutan masyarakat di negeri ini dalam pertandingan Bumi Hijau jelas telah memberi impak yang baik kepada masyarakat di pelbagai peringkat untuk memahami betapa pentingnya ulam, sayur dan buah serta herba terhadap kesihatan.

"Kalau kita bercakap tentang ulam-ulaman, tentunya kita kena faham bahawa ulam itu merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur sebelum dimakan bersama-sama dengan perasa seperti sambal belacan, budu atau cencaluk sebelum dimakan bersama nasi," katanya.

Menurut beliau, ulam sudah terkenal sebagai antara hidangan harian utama dalam kalangan masyarakat Melayu di kampung, malah hari ini pun ulam amat diminati oleh semua kaum di negara ini termasuk pelancong asing.

Ramai yang mengetahui bahawa ulam diambil dari pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan termasuk pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga.

Di Malaysia terdapat lebih 120 jenis tumbuhan telah dikenal pasti sebagai tumbuhan yang boleh dijadikan ulam.

Sama ada daripada tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga dan sehinggalah pokok-pokok renek dan
pokok besar seperti petai, jering dan kerdas selain pucuk putat, lemak ketam, kedondong, cemumar dan daun selom yang popular dimakan bersama laksa.



sumber dari: utusan.com.my

No comments:

Post a Comment