Hari itu tuan guru menangis. Kelancaran dia mengajar tersekat dari sebak yang muncul secara tiba-tiba. Hati Tuan Guru Haji Saleh Musa sungguh suci… dan akhirnya hati itu mengeluarkan titisan-titisan bening yang mengejutkan kami semua.
Kami terdongak, tertegun kenapa tiba-tiba suaranya berhenti… dan terlihat tuan guru sedaya upaya cuba menahan air mata itu dari tertumpah. Tafsir siri itu bukan berkisarkan tentang ibu… tetapi sedikit muqaddimah dia menceritakan mengenai sang kekasih yang abadi itu. Mengenai ibu… dan bila kita bersoal tentang ibu pasti tidak ketinggalan soal cinta dan kasih kepadanya.
“Suatu ketika kami di Masjid Nabawi… bersama dengan para jemaah haji pada tahun itu.” Tuan guru memulakan cerita. Saya tidak dapat agak ceritanya mengenai apa. Tuan guru selalu mengisahkan peristiwa-peristiwa ajaib yang pernah dilaluinya. Dia musafir ilmu yang penuh dengan pengalaman.
“Seperti biasa, semua orang dikehendaki menunaikan solat selama 40 waktu berturut-turut. Jadi lapan hari kami berkampung di situ. Kemudian, mereka tertanya-tanya kemana kelibat seorang imam?… seorang imam yang selalu memimpin kami mengerjakan haji.”
“Kami tak nampak beliau langsung selama dua hari.”
“Kami berkunjung ke hotel kediaman imam tersebut.
Kemudian melihat imam itu sedang duduk di atas katil.
Dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.” Tuan guru meneruskan kisah.
“Kata imam tersebut, dia muntah-muntah dan pengsan setiap kali azan berkumandang. Lima kali azan sehari, lima kali dia termuntah, pening dan terus pengsan. Kemudian sejurus imam masjid memberi salam di tahiyat akhir, dia tersedar semula. Itulah yang berlaku, yang menyebabkan beliau tidak berkesempatan lagi menunaikan solat berjemaah di masjid nabi itu.”
“Kami bertanya kenapa boleh jadi begitu. Jawabnya tidak tahu. Perkara begitu berulang selama 40 hari tidak henti. Setelah kami selesai dan ingin berhijrah ke tempat lain pula, imam itu datang menerpa kami dan menyatakan kekesalannya dan sebabnya.”
“Kenapa tuan guru?… kenapa dengan imam itu?” tanya salah seorang muridnya.
“Dia pernah menendang ibunya hingga terjatuh ke tanah.” Tuan guru menjawab sambil tidak daya lagi menahan air mata.
“Ingat… jangan pernah mimpikan syurga, tanpa taat kepada kedua ibu bapa.”
Nasihat tuan guru seolah-olah terbang dan menghinggap di kepala saya.
Tertunduk… malu… kesal… menyesal.
Terbayang wajah seorang tua yang akan kejutkan saya setiap subuh. Dia mengetuk pintu kamar saya dan tidak akan berhenti mengetuk selagi mana saya tidak menyahut. Cukuplah hanya sekadar “ya”, ataupun “Hmmm”, ianya sudah menyedapkan ibu.
Dialah insan yang akan menghubungi saya setiap minggu. Dia juga insan yang akan meminta saya menyalin jadual peperiksaan ataupun ujian kepadanya. Jika tiada, telefon dan beritahu kepadanya. Walaupun dia sendiri tidak faham dan tahu subjek-subjek yang saya sebutkan untuk saya duduki peperiksaan.
Teringat kepada wajah ibu… yang akan bertanya saya “Nak makan apa?” setiap kali saya pulang ke rumah. Baginya, memasak masakan yang saya inginkan suatu kebahagiaan yang sungguh berharga.
Terbayang potret seorang wanita tua yang memakai baju lusuh saban pagi, menyarung but dan memakai topi. Sambil memegang pisau penoreh getah, dia akan berjalan seorang diri ke kebun getah. Dia selalu pergi lebih awal dari ayah kerana ingin pulang awal untuk sediakan makan tengahari. Disebabkan terlalu awal… dia akan membawa lampu suluh yang boleh diikat di kepala.
Cukuplah sekadar kucupan dan sentuhan tangannya di dahi saya yang panas ketika demam, untuk mengubati sakit itu. Cukuplah sekadar suaranya mengingatkan saya untuk makan ubat pada waktunya.
Cukuplah sekadar dia meminta saya menemaninya ke kedai untuk membeli lauk masakan. Sudah saya rasa sungguh bahagia bersamanya….
Selepas maghrib, saya dan ayah akan bersama-sama menonton berita di televisyen. Kami akan berborak-borak. Tidak sampai lima belas minit, siapa lagi yang akan menghidangkan kepada kami dua cawan kopi dan cucur pisang, atau cengkodok, atau jagung rebus untuk disantap bersama-sama? siapa lagi yang akan duduk dan memegang kepala saya seolah-olah mencari uban di kepala saya?
“Anak manja… anak manja… anak manja!” panggilan dan ejekan yang selalu saya terima sejak dulu… dan mungkin hingga kini.
Bila difikirkan kembali, saya berasa bangga dipanggil dan digelar begitu. Itulah tandanya kasih sayang ibu bapa terhadap saya terlalu istimewa sehingga digelar ‘anak manja’. Itu satu anugerah… bukan perkara yang menjatuhkan maruah. Buat ibu… terimalah hadiah ‘anak manja’ ini dariku yang tidak tahu apa lagi balasan yang setimpal pengorbananmu.
Ibu… ibu… ibu… sebut Rasulullah S.A.W sebanyak tiga kali. Diulang-ulang… seolah-olah Nabi S.A.W itu memberitahu, kasihanilah ibumu, sayangilah ibumu, jagailah ibumu. Syurga di bawah telapak kaki bonda… pesanan maha hebat ini menjengah di telinga. Ah, seluas lautan emas ku berikan kepada bonda, belum cukup untuk membeli syurga di bawah telapak kakinya.
Pernah suara ini meninggi… pernah hati ini tersakit hati. Ketika itu bukan anakmu… tapi syaitan yang bertopengkan anakmu. Maafkan kanda duhai bonda.
Biarlah diri ini pergi dahulu… kerana aku tidak sanggup melihat dirimu pergi menemui Temanmu yang Maha Tinggi itu. Biar anakmu yang menunggu di sana… tanpa tiada putus-putus berdoa.
Hari ini dia menghantarku pulang. Aku menyalaminya, memeluk dan mencium pipinya. Lalu aku ingin lepaskan, tapi tangan ibu masih mahu mendakapku. Tidak terhiraukan lagi bau busuk getah sekerap di pipimu itu… dihijabi kasih dan sayang yang maha luas. Dia tidak memberi pesan apa-apa, cuma matanya ada sejuta pesanan terukir. Ya, mata dan kebisuan ialah kalimah yang sangat bermakna. “Hanya kerana kau bahagia duhai anakku, ibumu pasti bahagia jua.” Seolah-olah itulah yang telinga hati mendengar.
Tidak terkejar lagi harta bergunung-gunung, pangkat bertingkat-tingkat, nama disebut-sebut… tapi tanpa restu ajaib ibu… apa faedahnya? Apa ertinya? Tiada. Hati tidak tenang, jiwa tidak tenteram. Terkenang wajah ibu yang boleh menyelesaikan seribu masalah itu, membuatkan hati ini begitu sayu dan ternukil lembaran ini… menulis… menukil sesuatu yang bakal ku tinggal… andai aku pergi dulu sebelummu.
Andai aku pergi dahulu sebelummu… tiada keindahan selain mendapat doa restu. Tiada kebahagiaan selain dari senyumanmu itu. Cukuplah sekali pandang, wajahmu sudah bisa melapangkan hati, menyejukkan jiwa.
Buatmu ibu… bonda… emak… mama.
Suatu hari aku berhenti
Di sebuah stesyen hati yang sunyi
Kelibat tua yang pernah ku temui menghilang pergi
Hanya bayang-bayang wajahnya datang menghiasi
Belum mampu memuaskan hati
Aku… ingin bertemu dan mendakapmu
Penuh rasa sayang bak
Perpisahan Adam dan Hawwa’ berkurun lama
Bertemu kembali atas nama cinta
Umpama merpati kelaparan
Akhirnya bertemu si ibu membawa makan….
Hanya kerana kucupan lesu itu
Dan dakapan busuk itu
Kebahagiaan ku hanya padamu… berada di telapak hatimu
Iringilah daku ke sana… membawa nur wajahmu sebagai senjata…
sumber dari: hafizulfaiz.com
No comments:
Post a Comment