Kita seringkali mendengar misalan penjual minyak wangi dan tukang besi. Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita pun akan terkena tempias bau harum semerbak yang datang daripada minyak wangi yang dijualnya. Tapi kalau kita bersahabat dengan tukang besi, sedikit sebanyak percikan api dan bahang semasa dia sedang menukul besi itu akan turut terkena diri kita.
Itulah perumpamaan yang paling molek dalam kita mencari sahabat. Saya telah berjumpa dengan ramai orang yang berubah menjadi baik selepas mereka berkawan dengan orang-orang yang baik dan tidak lagi berkawan dengan rakan lama mereka. Sahabat yang baik sentiasa melakukan kebaikan, berkunjung ke tempat-tempat yang baik, bergaul dengan orang-orang yang baik. Ini akan mempengaruhi akhlak dan perilaku kita.
Sebutir mutiara yang cantik bersinar akan hilang serinya sekiranya diletakkan di dalam lumpur yang berbau busuk. Mutiara yang sangat mewah itu tidak akan dipandang manusia sekiranya ia bersalut dengan lumpur. Tiada siapa yang akan tahu bahawa adanya mutira di dalam lumpur tersebut.
Tapi sekiranya mutiara yang bergemerlapan itu dibersihkan, dikilatkan dan diletakkan di dalam bekas yang indah dan cantik, nescaya ia akan menawan hati sesipa sahaja yang melihatnya. Dan nilainya juga akan menjadi sangat mahal. Ia dihargai manusia dan setiap orang ingin memilikinya.
Begitulah juga dengan persahabatan. Andai kita berada di dalam bi’ah (suasana) yang baik, kita juga akan turut sama menjadi baik dan bernilai di sisi Allah. Tetapi sekiranya kita berada di dalam lumpur yang berdanur, yakni bersama rakan-rakan yang mendorong kita ke arah keburukan, kita tidak akan dihargai sedikitpun. Malah kita seolah-olah tiada nilai sama ada di sisi Allah dan juga pada pandangan manusia lain.Tiada sesiapa yang tahu bahawa kita punya kebaikan dalam diri kita.
Oleh itu, memilih sahabat adalah sangat penting. Dan maksud kita bersahabat adalah untuk menggapai redha Allah s.w.t. Untuk sama-sama menuju syurgaNya yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Sahabat yang baik akan mendorong kita ke syurga, tapi sahabat yang buruk akan mengheret kita bersama mereka ke neraka.
Bersahabatlah kerana Allah s.w.t.
Bercintalah kerana Allah s.w.t.
Formulanya senang. Kita sayang dan cinta hanya kerana Allah, Allah juga akan mencintai kita.Seperti yang dinyatakan dalam hadis ini.
Dari Abdullah Ibn Amr r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang mencintai seseorang kerana Allah dan menzahirkan kepada sahabatnya dengan berkata; Aku mencintaimu kerana Allah, maka keduanya akan memasuki syurga. Orang yang lebih mencintai akan memperoleh darjat yang lebih tinggi dibandingkan dengan yang lain, dan dia lebih berhak pada darjat itu. (HR Al-Bazzar)
Dari Muadz r.a. meriwayatkan bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah akan berada di bawah arasy Allah dimana tidak ada naungan pada hari itu (hari kiamat), kecuali naungan arasy. Mereka akan beriri hati kerana kedudukannya yang istimewa dalam kalangan para nabi dan para syuhada’.
(HR Ibn Hibban)
Pilihlah sahabat yang jujur dan ikhlas. Mereka itu adalah sahabat yang akan membawa kita bersama-sama ke syurga.
Berkasihlah kerana Allah, dan berpisahlah keranaNya juga.
sumber dari: mencintaidia.com
No comments:
Post a Comment