Pesawat Malaysia Airlines MH129 bertolak dari KLIA tepat pada waktunya membelah angkasa tanahair menuju ke Melbourne, Australia. Kurang 8 jam kemudian, aku sudah berada di Tullamarine International Airport, dalam keadaan suhu di luar sekitar 8’C – sudah cukup sejuk untuk menembusi jaket tebal yang aku pakai. Berlegar-legar keluar masuk lobi Tullamarine sementara menunggu Dr.DBI datang menjemput.
Terserempak dengan seseorang yang sangat familiar wajahnya, dia tersenyum terlebih dahulu, aku membalasnya, beberapa ketika kemudian kami bertegur sapa dan tidakku sangka dia kini berada di Melbourne dalam sesi latihan sepanjang tahun. Dia menghulurkan bantuan untuk menghantar ke rumah Dr.DBI, ataupun tumpang sahaja tidur di rumahnya. Perbualan kami sangat singkat, walau apapun aku doakan semoga dia akan menjadi Juara Dunia suatu hari nanti.
Nikmatnya makan malam berulam keropok ikan Terengganu dan lada tumbuk hasil masakan isteri Dr.DBI. Lauk-pauk yang panas dalam cuaca malam gelap yang dingin di bumi asing- syukur! Cuma sempat berbual pendek dengan tuanpunya blog Dari Bilik Ini ini, lagi pun Dr.DBI kena bangun amat awal dan agak sibuk dengan kehidupan barunya di sana. Selesai menikmati sarapan nasi goreng serta keropok ikan, Dr.DBI menghantar aku ke Tullamarine Airport yang terletak cuma 15 minit perjalanan dari tempat tinggalnya. Pagi itu pesawat DJ62 Pacific Blue bertolak menuju ke Christchurch, New Zealand – destinasi pertamaku di bumi Kiwi.
Lapangan Terbang Christchurch tidaklah begitu besar kalau dibandingkan dengan lapangan terbang Miri atau Senai, Johor. Perjalanan pesawat memakan masa lebih 4 jam dan sesampai di sana cuaca sudah agak gelap dengan tiupan angin yang sangat kencang berserta sedikit gerimis. Aku terus dihantar ke tempat penginapan yang terletak betul-betul di tengah kota Christchurch. Beberapa ketika kemudian Ms.Pinky datang menjemput, destinasi pertama ialah Starbucks sebelum kami dan 2 orang rakan beliau turut serta makan malam di Nando’s. Terima kasih kepada Ms.Pinky yang sangat peramah dan baik hati – patutlah ramai blogger yang senang dengan beliau.
Keesokkannya, seawal jam 6 pagi aku sudah bangkit dari tidur namun ada beberapa orang penghuni sudahpun berada di dapur menyediakan sarapan masing-masing. Sebelum jam 8 pagi, aku sudah dihantar ke Christchurch Railway Station untuk check-in dan seterusnya menaiki keretapi TranzAlpine menuju ke pekan kecil Greymouth di pantai barat. Perjalanan keretapi ini memakan masa selama 5 jam dan sejauh 225km merentasi South Island di celah-celah kawasan pergunungan Southern Alps, merentasi Canterbury Plains, mengekori aliran sungai yang menuju ke Tasman Sea.
Perjalanan keretapi berhenti seketika di Arthur Pass bagi memberi peluang kepada para penumpang untuk melihat kawasan pergunungan Southern Alps dengan lebih dekat sambil bermain dengan salji yang sedang renyai-renyai turun. Pemandangan sepanjang perjalanan menuju ke Greymouth memang amat indah dan menakjubkan. Dari kawasan tanah rendah di Christchurch , lembah, sungai, pergunungan bersalji, perkampungan, ladang, tasik-tasik membiru, hutan menghijau...semuanya cukup sempurna bak poskad!
Greymouth merupakan sebuah pekan kecil, perhentian terakhir bagi keretapi TranzAlpine dari Christchurch. Tidak ramai penduduk dan pekan ini tiada bangunan lebih tinggi dari 3 tingkat, kelihatan seperti sebuah pekan lama tetapi terjaga baik dan rapi. Tempat tinggal aku pula terletak beberapa ratus meter dari stesten keretapi, sebuah bangunan lama diperbuat dari kayu, di lereng sebuah bukit menghadap ke arah laut. Kainga-ra, nama rumah lama berusia lebih 75 tahun ini, amat bersih, teratur rapi, jauh dari hiruk-pikuk dan sedikit menyeramkan. Ludwig dari Sweden berkongsi bilik dengan aku dan kami bersama menuju ke Franz Josef keesokan harinya - sebuah kawasan pergunungan bersalji dan sesuai untuk membuat glacier hiking.
Sebahagian dari pemandangan di sekitar pekan kecil Greymouth di waktu petang. Foto di kiri ialah bekas bangunan Bank New Zealand tetapi kini merupakan sebuah galeri seni. Foto atas kanan merupakan pemandangan muara dan pelabuhan kecil di tengah-tengah pekan Greymouth. Foto seterusnya ialah bangunan yang dinamakan Kainga-ra, tempat penginapan aku ketika di sana dan akhir sekali ialah foto stesyen keretapi Greymouth, hentian terakhir TranzAlpine, stesyen keretapi kecil yang mempunyai rekabentuk seakan-akan stesyen keretapi di pekan Kulai. Hari ke-2 pengembaraan aku sudah pun selesai di Greymouth, masih berbaki 13 hari lagi untuk ditempuhi. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan aku sepanjang perjalanan ini.
Salah satu pemandangan di sepanjang perjalanan keretapi TranzAlpine.
sumber dari: tepaksirehblog.com