Pages

Thursday, 17 April 2014

Ubat Kesunyian – Penawar Penyakit Hati







Hati merupakan satu unsur yang unik yang boleh terpengaruh dengan berbagai anasir samada yang baik mahupun yang buruk. Ia juga merupakan unsur penting dalam pembinaan syaksiah seseorang. Sebab itulah Al Quran telah memberikan penekatan yang serius dalam pentarbiahan hati ini.

Hati ini adalah antara dua jari Ar Rahman, maka Allah taala boleh membolak balikkan hati itu seperti mana yang Allah Taala kehendaki. Sesungguhnya hati juga berada di antara dua persimpangan godaan, antara bisikan malaikat dan bisikan syaitan, maka jika hati itu terpengaruh dengan bisikan malaikat maka ia adalah satu perkara yang baik tetapi jikalau hati itu terpengaruh dengan syaitan maka akan terhasillah ملا يحمد عقباه iaitu sesuatu yang tidak indah hasil balasannya.

Hati itu ada tiga bahagian :
1-       Hati yang selamat sejahtera : mereka yang tidak berjaya pada hari akhirat melainkan apa yang di datangkan Allah  kepadanya. Firman Allah Taala :


“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

Hati yang selamat sejahtera itu ialah sesiapa yang selamat syahwatnya, berpaling  dari suruhan Allah Taala dan laranganNya, atau selamat dari segala syubhah yang berlawanan dengan setiap apa yang dikhabarkan olehNya dan selamat kehambaannya dari perkara yang menyengutukanNya. Selamat juga dari berhukum dengan selain dari apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Dengan kata lain, hati yang selamat sejahtera ialah mereka yang selamat dari apa yang selain dari Allah iaitu syirik kepadaNya malah mereka yang benar-benar ikhlas kehambaannya kepada Allah Taala dari segenap segi baik dari perbuatan, perkataannya dan lain-lain, ikhlas segala amalannya, kalau bercinta, bercinta kerana Allah, kalau marah, marah keranaNya atau sebagainya.

2-       Hati yang mati : hati yang berlawanan dengan yang pertama tadi iaitu mereka yang tidak kenal Tuhannya, tidak melakukan suruhanNya, tidak mencintaiNya dan meredhaiNya malah sentiasa mengikut nafsu syahwatnya walaupun ianya merupakan kemurkaan Allah. Pengabdiannya kepada selain dari Allah dari segenap segi, setiap perkara, kalau ia bercinta, bercinta kerana hawa nafsu semata, kalau marah, marah kerana hawa nafsunya, dan banyak lagi contoh yang menunjukkan hati yang mati ini. Kita berlindung dengan Allah agar dijauhkan dari tergolong di kalangan orang-orang yang mati hatinya.

3-       Hati yang sakit : iaitu hati yang hidup tetapi ada cacatnya. Ia mengandungi dua unsur yang berlawanan, pada satu ketika ia baik dan pada ketika yang lain pula ia buruk. Adakalanya di satu sudut hati itu di dalam keadaan cintakan Allah Taala, beriman denganNya, ikhlas kepadaNya dan sentiasa bertawakal kepadaNya dalam setiap perkara. Dari sudut yang lain pula hati itu di dalam keadaan suka mengikut hawa nafsu, serta sering cenderung kepadanya.
Penawar bagi kesemua jenis penyakit hati ini terkandung  di dalam Al Quran. Firman Allah Taala :


Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
FirmanNYa lagi :

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.



sumber dari: amirulasril.com/

No comments:

Post a Comment