Pages

Thursday, 17 April 2014

Bila Hati Berbicara





bulan


Sudah beberapa malam tidur aku ditemani bulan. Indah. Aku ungkapkan bicara hati pada sekeping kertas. Bulan pada malam ini memanggil aku untuk meluahkan apa yang aku rasa. Bukan luahan karya penulis agung terkenal. Hanya sebuah coretan dengan sedikit ilmu yang aku coretkan. Selebihnya hanya sebuah perasaan.

Melihat bulan aku terus tertancap dengan wajah-wajah yang aku kenal. Mungkin aku terlalu rindukan mereka. Mak, kakak dan rakan-rakanku. Seolah ternampak wajah mereka di mata. Adakah itu yang aku nampak, itu yang difikirkan atau itu bisikan hati… aku rindu?

Minda ku bermain sendiri. Berbicara dengan hati. Berbicara dengan bulan. Aku teringat tulisan pada sebuah buku yang ku baca. Jika kita rindukan seseorang maka sampaikanlah meskipun pada angin. Dan kemudian lepaskanlah. Merindu boleh menjadi penyakit jiwa. Mungkin aku salah seorang yang mengalami penyakit ini. Namun aku rela, kerana ia membuatkan aku rasa aku masih punya hati.

Bicara dari buku
Siapa yang aku rindukan. Siapa yang aku cari? Aku terbaca sebuah buku, yang selalu ku simpan dan ku ulang baca. Ya, bukulah menjadi peneman ku sekarang ini. Setia.

Sebenarnya bukan seseorang yang kamu rindukan, tetapi kasih sayang dari Allah yang disampaikan melalui temanmu yang kamu rindui. Kamu rindukan kasih sayang DIA.”

Ringkas kata-kata itu namun terkesan di hati. Kebahagiaan datangnya dari Allah, sebuah anugerah yang jarang-jarang kita syukuri.

Apabila anugerah itu menjauh, kita mula merindu. Begitulah manusia. Sesudah kehilangan baru menyedari apa yang dipunyai sebelum ini. Malam ini juga ingatan ku kuat pada sahabat ku. Seorang demi seorang. Kami berbeza tetapi kami serasi bersama. Seorang dengan gayanya yang yakin, seorang lembut dan baik hati dan seorang lagi penuh sifat keibuannya.

Bicara seorang teman
Baru-baru ini aku berbual dengan salah seorang daripadanya. Berbicara tentang apa yang kami lalui bersama. Bahagia. Itu sahaja perkataan yang boleh menggambarkannya. Ingatan itu semakin kuat satu persatu sehingga aku merasa amat rindu. Hampir boleh aku dengar degup jantung ku sendiri. Kembara hati malam itu membawa aku ke lembah sunyi.

Jika boleh diundurkan masa, aku mahu merasakan kembali bahagia itu. Tetapi sudah ketentuannya masa itu beredar. Dunia itu berubah. Manusia juga berubah. Keadaan tidak akan sama seperti dulu. Mungkin bahagia itu hadir dengan cara berbeza. Aku yang perlu mencarinya.

Aku kemaskan duduk di atas katil. Terus menulis berteman bulan. Aku rasakan tidak ramai antara kita yang mengambil peluang sebegini untuk menyelami rasa hati. Malam ini aku bersyukur kerana aku masih ada kesempatan untuk menulis, untuk berkongsi.

Aku tidak mahu lagi rasa merugi kerana membiarkan memori indah aku terkubur tanpa coretan. Takut minda ini lambat laun tidak lagi mampu berfungsi. Sedangkan rasa itu terlalu indah untuk diingati.

Bicara memori
Sahabat tidak perlu berbicara untuk menyatakan dia sahabat. Sahabat tidak perlu diminta untuk berada di sisi. Sahabat itu hadir bila kau memerlukannya. Sahabat itu ada meskipun tanpa bicara. Airmatamu satu kesakitan buatnya. Senyummu cahaya. Aku melemparkan pandangan jauh ke langit malam. Aku rindu.

Memori dan suara hati bersilih ganti, dalam sebuah kembara jiwa yang tidak ada garis panduannya. Aku biarkan sahaja semuanya mengalir. Tentang sahabat, tentang diri ku, tentang keluarga, tentang semuanya.

Banyak memori yang aku lalui. Suka duka, dan itulah kehidupan. Tidak akan terasa manis jika tiada pahitnya. Tidak akan terasa suka jika tiada dukanya. Aku menilai diri pada malam itu, betapa kurangnya aku bersyukur dengan keduanya. Suka dan duka.

Kehidupan itu seimbang. Nafas yang diambil perlu dikeluarkan. Suka yang diperoleh perlu dikongsikan. Bersyukurlah dengan setiap kesempatan yang ada. Merindu satu anugerah dan bersyukurlah meskipun sakit yang dirasakan. Namun merindui tuhanMu adalah terpaling indah.
Malam itu juga baru aku sedari banyak memori manis yang telah aku lalui. Sedangkan pahit itu hanya akhir ini. Tidak cukupkah dengan manis yang aku rasakan? Mungkin sudah tiba masanya aku merasa pahit pula. Supaya lebih manis yang ku terima selepas ini?

Bulan pembuka bicara. Hati mencurah rasa. Minda menulis kata. Malam ini aku seakan menulis semua kisah. Seakan belajar pada diri ku sendiri. Inikah yang dinamakan Uzlah? Ya mungkin inilah dia aku rasa. Maaf, aku cetek ilmu. Tetapi sungguh banyak yang kita boleh belajar dengan melihat diri.

Di manakah bulan anda malam ini? Lihatlah, berbicaralah hati. Anda dapat menyelami diri. Melepaskan setiap rasa yang terbuku di hati. Bila hati berbicara, dunia seolah mendengarnya.
Tanamkan dalam khayalmu tentang keindahan dan biarkan ia tertulis di hatimu.



sumber dari: aninadila.com/

No comments:

Post a Comment