Orang Islam digalakkan menulis wasiat.
Diriwayatkan Talha bin Musharrif "Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasiat? Dia menjawab tidak, saya bertanya beliau bagaimanakah umat Islam difardukan supaya berwasiat (atau diperintahkan supaya berwasiat? Ia menjawab: Raslullah berwasiat dengan kitab Allah (al-Quran)".
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1).
.
Hukum menulis wasiat ke atas orang Islam adalah sunnat kerana terdapat hadis yag menyuruhnya serta perbuatan sahabat-sahabat besar yang hampir keseluruhanya meninggalkan wasiat. Ibn Umar meriwayatkan Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Tidak wajar kepada seseorang Islam apabila terdapat sesuatu yang hendak ia wasiatkan maka ia tidur dari dua malam melainksn wasiatnya itu tertulis disisinya. (Riwayat Muttafaq Alaih).
Hadis riwayat Jabir menerangkan kelebihan orang berwasiat di mana Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka ia mati atas jalan Islam, mati dalam keadaan mengikuti sunnah, mati dalam ketaqwaan, mati dalam syahadah, dan matinya diampuni”. (Riwayat Ibn Majah).
.
Sebagaimana dinyatakan, kebanyakkan para sahabat Rasulullah s.a.w telah pun berwasiat. Al Qurtubi menceritakan di dalam tafsirnya bahawa saidina Abu Bakar dan Saidina Ali mewasiatkan satu perlima dari hartanya, saidina Umar mewasiatkan satu perempat, manakala Sa’ad ibn Waqas mewasiatkan satu pertiga. Manakala Saidatina Aisyah pula mewasiat barangan rumahnya kepada bekas-bekas hambanya. Ibn Umar pula mewasiatkan kepada bekas-bekas isterinya setiap seorang 4,000 dirham. Contoh-contoh ini menunjukkan para sahabat faham berwasiat adalah satu kewajiban agama yang dituntut walaupun ia bukan sesuatu yang difardukan (diwajibkan).
Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah setakat satu pertiga kepada bukan waris.
Namun Islam membenarkan berwasiat lebih daripada satu pertiga atau berwasiat kepada waris dengan syarat mestilah mendapatkan persetujuaan waris-waris lain selepas kematian pewasiat. Terdapat pengecualian di Selangor, menurut Seksyen Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 yang membenarkan berwasiat satu pertiga kepada waris tanpa perlu persetujuan waris lain.
Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pemilik harta untuk pemberian kepada bukan waris seperti kepada anak angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.
KESEDARAN TENTANG FARAID
Ramai yang salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus difahamkan bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris. Salah tanggapan ini menyebabkan banyak kes yang berlaku yang mana satu harta dikongsi oleh ramai waris yang tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi. Keadaan ini menyebabkan nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana para waris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut. Contoh terdekat dapat dilihat di Kg. Baru. Satu lot tanah yang hanya seluas 1.8kaki persegi dikongsi seramai 90 orang. Walaupun waris berhak ke atas lot tanah tersebut tetapi dari segi nilai tiada harga. Malah untuk memajukannya juga banyak kekangan kerana perlukan persetujuan semua pihak terbabit.
KESIMPULAN
Dalam menangani masalah ini wasiat boleh memainkan peranan. Orang ramai digalakkan membuat wasiat dan melantik wasi dalam wasiat tersebut untuk mentadbir hartanya kelak apabila meninggal dunia. Di dalam Wasiat juga boleh ditetapkan cara pembahagian harta tersebut adalah mengikut Faraid dari segi nilai saham / bahagian atau boleh juga menentukan secara khusus harta-harta tertentu kepada waris-waris tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki diberi rumah A manakala tanah B diberi kepada anak perempuan. Dengan berbuat demikian masalah perkongsian satu harta dengan ramai waris dapat dielakan. Sekiranya harta yang ditinggalkan tidak banyak adalah lebih baik memberi kuasa kepada wasi untuk membahagikan harta menurut saham faraid dan pada masa yang sama memberi kuasa kepada wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi.
sumber dari: http://harithiskandar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment