Lailatul Qadar atau Malam Al-Qadr merupakan suatu malam yang dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Sebahagian ulama’ menyebut bahawa ia adalah malam yang berlaku sekali pada setiap Ramadhan sehingga hari kiamat, bukannya hanya sekali ketika zaman wahyu diturunkan.
Diriwayatkan oleh Atha’ daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau menceritakan kepada Nabi S.A.W. tentang seorang lelaki Bani Israel yang berjuang di jalan Allah S.W.T. selama seribu bulan. Nabi S.A.W. sangat kagum mendengar khabar tersebut dan baginda berharap agar umatnya diberikan beberapa kelebihan.
Baginda bersabda : “Wahai Tuhan, Engkau telah menjadikan umatku pendek umurnya, dan sedikit amalnya. Maka Allah S.W.T. mengurniakan Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu tempoh lelaki Bani Israel tersebut yang berjuang di jalan Allah kepadamu dan umatmu sehingga hari kiamat”.
Sebahagian Sejarawan Islam menyebutkan bahawa seorang lelaki pada zaman dahulu tidak dinamakan sebagai ‘abid (orang yang melakukan ibadah) melainkan jika dia beribadah kepada Allah S.W.T. selama seribu bulan. Maka Allah S.W.T. mengurniakan kepada umat Nabi S.A.W malam Lailatul Qadar, apabila mereka menghidupkannya adalah lebih layak digelar sebagai ‘abid berbanding ‘abid pada zaman dahulu.
Pendapat yang paling tepat ialah malam lailatul qadar dikurniakan kepada umat nabi Muhammad S.A.W. sehingga hari kiamat, bukannya sekali sahaja ketika zaman Nabi S.A.W. kerana hadith-hadith shohih menerangkan ia berlaku pada beberapa malam yang berlainan dan ini tidak akan berlaku melainkan tempohnya berterusan sehingga ke hari kiamat.
Kenapa Dinamakan Malam Al-Qadr?
Maksud Al-Qadr dapat diterjemahkan kepada dua makna :
1. Kedudukan yang tinggi seperti apabila kita menyebutkan di dalam bahasa Arab – فلان ذو قدر iaitu “dia seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi”.
2. Penentuan hukum dan pemberian hak manusia. Hal ini kerana pada malam Lailatul Qadar Allah S.W.T. menurunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia yang di dalamnya terkandung pelbagai hukum dan panduan kehidupan manusia.
Waktu Berlakunya Malam Al-Qadr
Perselisihan para ulama’ kemudiannya tertumpu kepada beberapa perkara :
1. Adakah ia hanya berlaku dalam bulan Ramadhan?
• Kebanyakan mereka mengatakan ia hanya khusus pada bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah S.W.T. :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان
Ertinya : Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran.
Firman Allah S.W.T. lagi :إنا أنزلنه في ليلة القدر
Ertinya : sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadr.Maka berdasarkan dua ayat ini, malam Lailatul Qadar adalah malam yang diturunkan padanya Al-Quran.
• Sebahagian Mereka mengatakan ia berlaku bukan sahaja dalam bulan Ramadhan malah turut berlaku dalam bulan-bulan yang lain.
2. Perselisihan seterusnya pada pendapat pertama yang mengatakan ia berlaku dalam bulan Ramadhan : Adakah ia berada pada malam-malam dalam bulan ini atau hanya di 10 malam yang terakhir?
• Sebahagian Ulama’ mengatakan ia berlaku pada malam-malam dalam bulan Ramadhan.
• Kebanyakan Mereka menyebut ia berlegar sekitar sepuluh malam terakhir khususnya pada malam-malam yang ganjil.
sumber dari: wanfauzi.com
No comments:
Post a Comment