Di sana Ramadhan, di sini Ramadhan. Alhamdulillah kemeriahan menyambut bulan yang mulia ini semakin hangat terasa. Kalau dulu meriah bila nak raya sahaja. Tetapi Alhamdulillah sekarang ini saya turut terasa kemeriahan menyambut Ramadhan di Malaysia.
Mengimbau kembali pengalaman pertama menyambut Ramadhan di Jordan, alangkah syahdunya perasaan ketika itu. Berjalan ke masjid bersama teman serumah, mendengar tazkirah pendek di antara tarawikh, melihat rumah-rumah yang dihias cantik dengan lampu berwarna-warni. Masjidnya meriah sepanjang Ramadhan, tazkirahnya penuh dengan ruh. Bukan itu sahaja, air Tamar hind yang menyegarkan, kutayif yang gebu dan enak itu menjadikan Ramadhan di Jordan unik sekali.
Saya bukanlah berniat untuk membanding-bandingkan. Di Malaysia meriah juga Ramadhannya. Cuma bezanya di Malaysia, sebelum Ramadhan lagi dah keluar pelbagai iklan dan jualan Raya. Bahkan sebulan sebelum Ramadhan lagi orang dah mula sibuk mencari baju raya dan sebagainya. Tak salah untuk beraya sakan, tetapi Ramadhan pun biarlah sakan juga.
Kesibukan Bukan Pengahalang
Motivasi untuk diri sendiri yang sudah tentunya sibuk dengan kerjaya dan pelbagai urusan lain. Semoga segala kesibukan harian tidak menjadi pengahalang untuk kita mengimarahkan Ramadhan kali ini. Kalau sebelum ini masa-masa senggang kita diisi dengan makan-makan dan berehat, kini masa makan tersebut bolehlah diganti dengan tilawah al-Quran. Selaku orang berkerjaya, kita haruslah fleksibel dalam melakukan ibadah-ibadah sunat. Janganlah terlalu rigid hingga akhirnya satu pun kita tak buat. Solat Tarawih contohnya, jika kita bekerja shift malam, pandai-pandailah mencuri masa malam yang panjang itu untuk bertarawih. Tak semestinya kena ke masjid baru boleh bertarawih.
Selain itu, janganlah disempitkan ruang lingkup ibadah itu. Kerja kita juga ibadah. Niatkan setiap perbuatan ikhlas kerana Allah. Lazimkan diri dengan zikrullah semasa melakukan prosedur/ kerja. Mudah-mudahan setiap detik hidup kita diterima sebagai ibadah olehNya. Mudah-mudahan Allah berkati setiap kerja kita.
Puasa itu Kekuatan
Persepsi bahawa puasa ini meletihkan dan melemahkan sebenarnya tidak benar sama sekali. Lihat sahaja orang-orang terdahulu, mereka bertempur di medan perang ketika Ramadhan, mereka meluaskan ajaran Islam ketika Ramadhan. Mereka juga berpuasa, tetapi mereka tidak lembik. Puasa bagi mereka bukan melemahkan bahkan menjadikan mereka lebih kuat. Mereka juga tidak lupa untuk menghidupkan malam hari dengan ibadah meskipun telah memerah keringat di siang hari, lambang mereka sangat menghargai hadiah Ramadhan dari Allah.
Jika mereka boleh, mengapa kita tidak? Sedangkan kita telah disediakan dengan pelbagai kemudahan yang memudahkan kita dalam pelbagai urusan. Kita bukannya bekerja di bawah terik matahari. Bahkan kita bekerja dan berurusan di dalam bangunan-bangunan berhawa dingin. Kita bergerak ke sana ke mari dengan kenderaan bermotor, bukannya berjalan kaki. Kita juga dikurniakan Allah nikmat makanan yang melimpah ruah untuk bersahur dan berbuka. Maka apa lagi alasan kita?
Hadiah Dari Allah
Allah beri peluang keemasan ini setahun sekali sahaja. Amalan sunat diberikan pahala fardu, amalan fardu dilipatgandakan pahalanya berganda-ganda. Maka rebutlah peluang ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Ramadhan ini merupakan hadiah dari Allah buat hamba-hambanya. Rugilah sesiapa yang menolak hadiah Ramadhan yang sangat berharga ini.. Jom semarakkan Raudhah Ramadhan!
sumber dari: sentuhanjiwa.wordpress.com
No comments:
Post a Comment