Assalamu’alaikum wbt..
Bismillahirrahmanirrahim..
Peristiwa Nuzul Al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah (kegelapan) telah disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.
Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.
Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran, dan segala isi kandungan Al-Quran itu adalah benar.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-‘Alaq:1-5)
Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.
Al Quran telah diturunkan secara beransur – ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.
Waktu penurunan Al-Quran adalah mengikut perancangan dan ketentuan Illahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadhan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud:
“Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil).”
(Al-Baqarah, ayat 185)
Kenapa Allah SWT turunkan Al-Quran secara beransur-ansur ? Sudah tentu kerana ia mempunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Antara hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah :
- Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
- Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika Al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)
- Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
- Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah Al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam Al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?” Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
- Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika Al-Quran diturunkan sekali gus.
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul Al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap Al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredhai di sisi Allah.
Sumber :
- JAKIM. (Tulisan Dr. Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam UKM.)
- Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadhan. (http://ibnismail.wordpress.com)
No comments:
Post a Comment